Bahagia dan cinta tanpa syarat

Air mata diseka. Ini, entah kali ke-berapa. Dan hati itu hancur dirobek tatkala dia yang diharapkan melepaskan segala ikatan. Punah segala harapan.

Sakit bukan? Andai diuji sedemikian. Dan apakah berbaloi segala rasa itu?

***

Ketika membicarakan soal pengurusan emosi, Albert Ellis (Rational-Emotive Behavioural Therapy) mengetengahkan konsep Irrational Beliefs yang memandu diri manusia untuk terus memposisikan diri pada pihak mangsa (victimhood position), menyalahkan orang lain kerana bersandar pada asas yang tidak konkrit.

Irrational Beliefs?

Itu adalah sistem kepercayaan yang dicipta manusia sekeliling.

Manusia dengan akal terbatas, bukankah berisiko mencipta kepercayaan yang batil? Dan bahkan, “hukum-hukum” ini akan membinasakan diri manusia tanpa sedar.

“Saya akan bahagia kalau saya dikurniakan anak.”

Lalu dia terus merasai diri tidak berharga selama mana dia tidak direzekikan anak.

“Rumahtangga saya akan bahagia kalau dia peduli berbual-bual dan membuat kejutan istimewa buat saya.”

Lalu dia terus kemurungan bila dijodohkan dengan pasangan yang pendiam.

“Saya akan bahagia kalau saya mendirikan rumahtangga.”

Lalu dia terus merasai hidup tidak bermakna selama diuji hidup tanpa pasangan.

“Saya tidak bernilai dan rendah harga diri jika dia bersikap buruk kepada saya”

Lalu dia terus “menghukum” diri seakan-akan membenarkan tindakan pasangannya menzaliminya.

Cukup… cukup… dari mana datangnya semua “hukum-hukum” yang membunuh potensi jiwa manusia ini? Apakah kebahagiaan itu memang bersyarat sedemikian? Andai “syarat” itu tidak dipenuhi, kebahagiaan tidak selayaknya dikecapi selamanya?

Anda tidak layak bahagia tanpa syarat?

Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Yang mereka ikuti hanya sangkaan semata-mata …

Al-An’am, 6 : 116

Bahagia itu milik siapa hakikatnya?

Nabi Yusuf dibuang adik beradiknya dan dipenjara. Dan dia bahagia, memaafkan mereka semuanya.
Nabi Musa menjadi pelarian di negeri orang, dan dia bahagia, tenang membantu 2 wanita yang dalam kesulitan.
Maryam dicemuh dan dihinakan bahkan diuji sebagai ibu tunggal, dan dia bahagia, membesarkan Nabi Isa penuh cinta.
Nabi Ayyub diuji dengan kesakitan dan ditinggal anak-anak dan isteri. Dan dia bahagia, terus bersyukur kepada Allah.

Bahagia itu hadir tatkala berjaya memaknai dan menjalani sebarang ujian yang Dia kurniakan selari petunjuk Al-Kitab. Hidup yang sebentar cuma ini, bukan sekadar untuk dinikmati, tetapi untuk membuktikan bahawa diri layak pulang ke kampung syurga dengan jalan ketaatan kepadaNya.

Bahagia itu, milik siapa?

Wahai manusia! Sesungguhnya, telah datang kepadamu pengajaran (Al-Quran) daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman. Katakanlah (Muhammad) “Dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaknya mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.”
Yunus, 10 : 57-58

Bahagia itu bersyarat.
Dan syaratnya bukan terletak pada batas logik manusia.
Tetapi syarat bahagia yang mutlak itu ada pada QalamNya.

Kegembiraan itu, selayaknya kerana memperoleh Al-Quran,
sehingga menyuluh kehidupan ini penuh petunjuk menujuNya.

2 thoughts on “Bahagia dan cinta tanpa syarat

  • February 28, 2017 at 5:03 pm
    Permalink

    Alhamdulliah saya berulang kali baca post ini. Tazakkur setiap ayat. Persoalan dalam diri sampai bila kita nak berbahagia dimuka bumi, sedangkan Allah CINTA terhebat. Apa yang kita cari kebahagiaan? sedangkan kebahagian ada didepan mata. Allahuma Amin

    Reply
  • March 1, 2017 at 3:32 pm
    Permalink

    Bahagia itu apabila benar-benar mengambilNya sebagai Rabb. Dialah sumber rezeki, Dialah sumber perlindungan, Dialah Yang Maha Menciptakan, Dialah Yang Maha Mentadbir alam ini.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.