Terperangkap dalam kitaran dosa yang berulang?

“Aku tahu benda ni salah, tapi aku tak boleh berhenti.”

Pernahkah kita mendengar ungkapan ini? Kata-kata yang terbit dari jiwa insan yang mahu berubah tetapi masih terperangkap dalam kancah kesilapan dan kemaksiatan yang sama berulang-ulang. Proses perubahan jiwa itu dirasakan begitu susah sekali. Dosa-dosa dilakukan, kemudian disesali, kemudian diulang lagi, kemudian disesali sekali lagi. Sehinggakan diri merasakan seolah-olah, tiada peluang untuk berubah. Begitulah keadaannya, tatkala memilih untuk memberikan kekuasaan demi kekuasaan kepada syaitan, dengan mengikuti bisikan-bisikannya sedikit demi sedikit. Sehingga akhirnya, syaitan memiliki pengaruh kuat terhadapnya.

“Bukankah ayat-ayatKu telah dibacakan kepadamu, tetapi kamu selalu mendustakannya? Mereka berkata :   Ya Tuhan kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami dan kami adalah orang-orang yang sesat. “

Al-Mukminun, 23 : 105-106

 

Bukan demikian! Barangsiapa berbuat keburukan dan dosanya telah menenggelamkannya maka mereka itu penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya.

Al-Baqarah, 2 : 81

 

Ada di kalangan manusia,meskipun menyesali kesilapan yang dilakukan, tetapi telah memilih untuk berputus asa terhadap diri sendiri. Merasakan diri hina tatkala melakukan kesilapan dan membiarkan diri terus hanyut kerana merasakan

“Kalau aku taubat pun, nanti minggu depan aku buat lagi.”

Meskipun jiwanya mahu bertaubat, tetapi jiwanya telah menyerah kalah terhadap dorongan nafsu syahwat sehinggakan tidak meletakkan kesungguhan untuk menundukkan hawa nafsu dengan sekeras-kerasnya. Akibatnya, jadilah dirinya, insan yang kerapkali bertaubat, dan masih juga melakukan kemaksiatan yang sama. Kerana taubat yang diungkapkan, tidak dipasakkan sebenarnya-benarnya, dan terselit niat “Aku tahu nanti aku buat balik dosa ni.”

“Sesungguhnya taubat kepada Allah itu hanya (layak) bagi mereka yang melakukan kejahatan kerana tidak mengerti, kemudian segera bertaubat. Taubat mereka itulah yang diterima Allah. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah (diterima Allah) taubat itu daripada mereka yang melakukan kejahatan hingga apabila datang ajal kepada salah seseorang di antara mereka, (barulah) dia mengatakan “Aku benar-benar bertaubat sekarang” Dan tidak (juga diterima taubat) daripada orang-orang yang ketika meninggal, mereka tetap dalam keadaan mengingkari. Orang-orang sedemikian telah Kami sediakan azab yang pedih. “

An-Nisa, 4 : 17-18

 

Sebelum terus melangkah, koreksi persoalan ini sedalam-dalamnya.

1) Adakah saya mahu keluar daripada jeratan ketagihan dosa ini?

2) Adakah saya benar-benar berazam ntuk berubah menjadi peribadi yang mengingkari syaitan dan taat kepada Allah?

Selagi mana keazaman untuk berubah itu lemah, mana mungkin seseorang itu sanggup melancarkan jihad terhadap nafsunya agar tunduk terhadap apa yang dibawa Rasulullah s.a.w. Dan berbahagialah buat jiwa yang memilih untuk meletakkan usaha-usaha penuh kesungguhan dalam mencari redhaNya, kerana Allah menjanjikan pertolongan.

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya, Allah berserta muhsinin (orang-orang yang berbuat baik).

Al-‘Ankabut, 29 : 69

 

Bermula dengan memaafkan dirimu sendiri. Usah berputus asa dengan diri sendiri sedangkan bukankah Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang? Mengapa berburuk sangka dengan diri sendiri sehingga tidak memberi ruang dan peluang untuk berubah?

“Katakanlah “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong. Dan ikutlah sebaik-baiknya apa yang diturunkan kepadamu (Al-Quran) dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu secara tiba-tiba sedangkan kamu tidak meneydarinya.

Az-Zumar, 39 : 53-55

 

Pokok pangkalnya, kita perlu tahu dan sedar akan kehadiran bisikan-bisikan syaitan yang hadir setiap waktu di sisi kita. Cuba bayangkan pemikiran-pemikiran kita sebagai watak-watak yang berjalan dan berlalu dalam daerah kecil otak manusia. Kita melihat pemikiran-pemikiran itu bergerak satu-persatu, lantas mampu melabelkan apakah ini pemikiran di atas jalan kebenaran, atau apakah ini pemikiran akibat bisikan syaitan. Peduli untuk “melihat” pemikiran kita”. Peduli untuk melabel pemikiran kita. Peduli untuk muhasabah. Dan tatkala jiwa sedar akan bisikan-bisikan syaitan yang hadir, apakah yang mahu dilakukan?

“Hey! Saya tak nak dengar, saya tak nak ikut kata awak! Tidak seperti kaum Tsamud yang memilih untuk mengotori jiwanya dengan akur terhadap bisikan syaitan ”.

Terbentang di sana 2 pilihan. Mengikuti syaitan atau mengingkarinya? Mengabdikan diri kepada syaitan atau tidak?

“Demi jiwa serta penyempurnaannya (ciptaan). Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaan. Sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya. Kaum Thamud telah mendustakan (rasulnya) kerana mereka melampaui batas (zalim).

Asy-Syams, 91 : 7-13

 

Pun begitu, jalan untuk tidak terpengaruh dengan bisikan pemikiran jahat itu bukan mudah untuk dihindari. Kerana, setiap yang dibisikkan itu, ternampak begitu indah sehinggakan hawa nafsu  meronta-ronta untuk mengikutinya.

“Iblis berkata : Hai Tuhanku, kerana Engkau telah menjadikanku sesat, (maka) aku pasti akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya”

Al-Hijr, 15 : 39

Dan langkah-langkah strategik syaitan begitu licik sehingga mereka menyerang kita pada waktu yang tepat tanpa kita sedari. Kerana yang hadir adalah pemikiran-pemikiran di daerah kecil otak kita tanpa kita menyedari hadirnya syaitan mencorakkannya sedikit demi sedikit.

Misalnya,

Tatkala, duduk di hadapan komputer sambil melayari internet, timbul bisikan-bisikan fahsya’ agar menegur atau berinteraksi dengan teman berlawanan jantina meskipun tiada keperluan yang syari’. Syaitan membisikkan “Awak minta tolong dia je, bukannya buat apa-apa pun..”

Tatkala sedang bersama teman-teman sekumpulan berlainan jantina, muncul bisikan-bisikan syaitan agar melanggar adab-adab pergaulan. Mengajak bergurau-senda dan menarik perhatian “si dia”.

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan zaman ini nampak seperti perkara biasa, sehinggakan jiwa manusia itu tidak menyedari di sebalik setiap tutur kata dan gurau senda, terselit ajakan-ajakan syaitan yang tersembunyi. Justeru usaha mujahadah yang dilakukan setiap kita bukan sekadar melawan dan memaksa diri untuk ..

“Jangan ikut syaitan! Jangan ikut syaitan!”.

Bahkan perisai ilmu turut diperlukan agar mengetahui  jalan kebenaran tuntunan ilahi, melalui kaca mata Al-Quran, berbanding semua yang dijanjikan syaitan yang berterusan memesongkan arah. Keimanan terhadap jalan kebenaranlah yang mampu memotivasikan jiwa rasional kita untuk tidak terus terperangkap dengan janji-janji manis golongan syaitan.

Janji syaitan itu sangat memukau.

Juga, mintalah perlindungan kepada Allah

“Dan katakanlah “Ya Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan, dan aku berlindung pula kepada Engkau ya tuhanku, agar mereka tidak mendekati aku.”

Al-Mukminun , 23 : 97-98

 

 

Diolah daripada :

Nouman Ali Khan, Shame Series, Bayyinah.tv

One thought on “Terperangkap dalam kitaran dosa yang berulang?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.