Bersandar pada yang rapuh
SATU
“Kak, saya dah tak tahu nak buat apa dah. Mak ayah taknak dengar dah.”
Dia menangis, runsing mencari jalan keluar. Ayah yang diuji penyakit kanser tahap 4, mengundang resah dan takut di hati si ibu sehinggakn kedua-duanya sanggup bertemu bomoh bagi mendapatkan rawatan. Tatkala dinasihati untuk tidak mensyirikkanNya, dengan lantang si ibu menjawab ..
“Kamu nak ayah kamu mati ke?!”
Anak-anak buntu. Meskipun kedua-dua ayah dan ibu mereka “kuat agama”, tiba saat diuji, siapa sangka ikatan cinta yang kuat antara kedua-dua suami isteri itu berisiko membawa kepada syirik?
DUA
Dia tiba di perkarangan rumah kakak. Memimpin si kecil sulung sambil mengendong seorang bayi yang baru seminggu mengenal dunia. Jiwanya sesak, menghitung-hitung angka baki yang ada di bank. Acapkali rasa benci dan marah hadir kepada bekas suami yang enggan memberikan nafkah kepada anak-anak. Adakalanya rasa mahu menyalahkan Tuhan, mengapa mengujinya sedemikian rupa.
“Saya dah takde duit dah ni. Lepas berpantang ni banyak kerja kena buat, membesarkan anak-anak kecil ni.”
TIGA
Kosong.
Semuanya lesap.
Dia mengalami kemurungan yang dahsyat. Tanpa sedar setiap hari akan hadir ke “bekas rumahnya” yang hanya tinggal tangga, lalu menjirus tangga tersebut dengan niat “membersihkan” rumah pasca banjir.
Banjir telah menarik segala miliknya.
Aset rumah.
Aset kereta.
Aset perniagaan.
Segala-galanya musnah.
Yang tinggal hanyalah dirinya, bangkit memulakan hidup baru.
***
Ikatan, persandaran, pergantungan, kesemuanya sulit untuk dilepaskan sehingga mengundang sakit yang perit tatkala dipaksa untuk dileraikan.
Kasih sayang penuh cinta antara dua hati berisiko membawa kepada kesyirikan tatkala diuji untuk melepaskannya melalui ujian penyakit yang membawa kepada kematian.
Pergantungan dan persandaran kepada manusia, berisiko mengundang kekecewaan bahkan menjemput kemurungan tatkala “dia” yang disandarkan memilih untuk melepaskan dan membiarkan.
Pergantungan kepada diri sendiri dalam meraih sukses perniagaan dan rumahtangga, berisiko mengundang rasa putus asa bila mana segala hasil kejayaan itu ditarik kembali sekelip mata.
***
Perjalanan kehidupan ini realitinya adalah ruang memanifestasikan tauhid kepada Rabb Yang Maha Menciptakan, Maha Memberi Rezeki, Maha Mentadbirkan alam dan Maha Memiliki.
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan daripada sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman) “Bukankah Aku ini Rabbmu?” Mereka menjawab, “Betul (Engkau Rabb kami), kami bersaksi.” (Kami lakukan yang demikian itu ) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan “Sesungguhnya ketika itu kami leka terhadap ini.”
Al-‘Araf, 7 : 172
Rabb ertinya pemilik, tuan, pendidik, pemberi nikmat, pengatur, pencipta maslahat. Kata ini memiliki akar kata kerja “Raba” yang bererti tumbuh, bertambah dan meninggi. Justeru, Rabb dapat diertikan sebagai “Zat yang menciptakan, memiliki, memberi rezeki, mendidik, memelihara dan mengatur semua makhluk”. Pendek kata, Dialah sumber segala-galanya.
Bicara soal tauhid, bukanlah sekadar teori yang dihurai panjang di dalam kitab-kitab. Tetapi, tauhid adalah tindakan yang tercermin dalam sikap setiap manusia.
“Apakah benar aku telah mengesakan Allah sebagai Rabb?”
Dan sebagaimana asal permulaan kita adalah dengan persaksian bahawa Allah adalah Rabb, apakah di saat bertemu denganNya kelak, kita dapat membuktikan bahawa rentang perjalanan kehidupan kita berpaksikan pada Dia sebagai Rabb?
Ketika pulang daripada tempat kerja dengan rasa lelah seluruh badan, tiba di rumah mencari makanan tetapi hampa kerana ahli rumah tidak sempat menyediakannya. Adakah memilih untuk memarahi ahli keluarga yang “melupakanmu” atau tersenyum tenang muhasabah diri, kembali mengesakan Allah sebagai Rabb. “Ya Allah, Engkaulah Ar-Razzaq. Engkau yang memberiku rezeki, bukan mereka. Engkau yang memberiku makan, bukan mereka. Mungkin rezeki makananku hari ni harus diusahakan dengan tanganku sendiri.”
Ketika menguruskan pekerjaan di siang hari, bertemu dengan teman-teman yang amat diharapkan pertolongannya, namun hampa tatkala mereka yang diharapkan enggan membantu. Adakah memilih untuk merajuk, berkecil hati sesama teman atau tersenyum muhasabah diri, kembali mengesakan Allah sebagai Rabb. “Ya Allah, As-Somad, Engkaulah tempat pergantunganku, bukan mereka. Hakikatnya aku mengharapkanMu, bukan mereka. Mungkin saat ini bantuanMu hadir bukan melalui tangan-tangan mereka yang selama ini aku harapkan. Sedangkan aku meyakini akan pertolonganMu dari jalan-jalan lain yang tidak pernah aku sangka-sangkakan.”
Bukankah Allah telah menolong Nabi Musa yang tak punya apa?
Allah yang sama akan menolongmu jua.
Maka dia (Musa) memberi minum (ternakan) kedua-dua perempuan itu, kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.” Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang daripada kedua-dua perempuan itu berjaan dengan malu-malu, dia berkata “Sesungguhnya ayahku mengundangmu untuk memberi balasan sebagai bayaran ke atas kebaikan mu memberi minum (ternakan) kami.”
Al-Qosas, 28 : 24-25
***
SATU
Sakit yang Dia hadirkan memberi ruang membersihkan ikatan antara dua insan. Sama ada memilih untuk mengesakannya atau bahkan terus jauh dariNya. Sebesar mana sekalipun rasa cinta terhadap seseorang yang lain, jiwa yang mengesakan Allah sebagai Rabb akan mengerti bahawa hanya Dia yang mampu memelihara dan menjaga insan yang dicintai.
Sanggup menyerahkan pemeliharaan “dia” kepada Dia?
Bukankah Allah telah menyembuhkan Nabi Ayyub yang tenat, ditinggalkan keluarganya sehingga syaitan terus menghasutnya untuk berburuk sangka terhadap Rabb. Dan Nabi Ayyub tetap memilih jiwa kehambaan, mengesakan Rabb.
Dan ingatlah akan hamba Kami Nabi Ayyub ketika dia menyeru Tuhannya “Ssungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan penderitaan dan bencana” (Allah berfirman) ” Hentakkanlah kakimu, inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum. Dan Kami anugerahkan baginda (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan Kami lipat gandakan jumlah mereka, sebagai rahmat daripada Kami dan pengajaran bagi orang-orang yang berfikiran sihat.
Sad, 38 : 41-43
DUA
Perceraian memang menyakitkan.
Memutuskan ikatan kuat antara dua manusia.
Terputus segala persandaran dan pergantungan yang mungkin selama ini tersimpul dan berselirat dalam hati sanubari.
Dan Allah memujuk dalam surah Ath-Thalaq, bahawa Dialah Rabbmu. Dialah sumber rezeki. Dan Dia akan membantumu.
Dengan hukum-hukum tersebut, diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya. Sesungguhnya Allah tetap melakuan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Ath-Thalaq. 65 : 2-3
TIGA
Allah yang memberi, dan Dia boleh sahaja menarik kembali kurniaanNya bila-bila masa. Tiba saat diuji, langsung terduduk tiada tempat berpaut andai pergantungan kepada Allah tidak disemai sejak mula.
Dan harta kekayaannya dibinasakan, lalu dia membalik-balikkan kedua telapak tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang telah dia belanjakan untuk itu sedangkan pohon-pohon anggurnya roboh lalu dia berkata. “Betapa sekiranya dahulu aku tidak mempersekutukan Thanku dengan sesuatupun.” Dan tidak ada (lagi) baginya satu golonganpun yang dapat menolongnya selain daripada Allah…
Al-Kahf, 18 : 42-43
***
Andai tiba saat diuji,
ditarik kembali segala pergantungan dan persandaran yang rapuh itu.
hilang pergantungan kepada insan yang disayangi.
hilang pergantungan kepada diri sendiri.
yang tinggal hanyalah pergantungan kepada Rabb.
Mulakan dengan mensyukuri sebarang apa yang masih ada padamu.
Aqal yang hebat, mampu membongkar khazanah alam.
Jasad yang kuat, terus maju, menjalani hidup penuh semangat.
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memperingatkan “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu) pasti azabKu sangat pedih.”
Ibrahim, 14 : 7
***
Bersandarlah pada Rabb,
Esakan Dia sebagai Rabb.
Ikhlas, kerana Dia As-Somad
Masih belum ada
Alhamdulillah….penulisan dan perkongsian yang sangat membuka minda dan hati…terima kasih