Seperti binatang ternak dan anjing.
Seorang ibu risaukan perihal anaknya
“Setiap hari, dia cuma keluar bilik untuk ke bilik air dan makan je. Selain dari tu, dia duduk dalam bilik, tengok movie seharian. Selama bertahun-tahun. Tak kisah nak cari kerja, tak kisah nak bantu keluarga.”
Masalah akar bukan pada pendidikan akademik si anak. Sedangkan pencapaiannya setidak-tidaknya pada posisi sarjana muda. Bagaimana jiwa muda yang penuh kudrat tenaga dan potensi boleh memilih hidup yang lalai dan leka?
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah dan mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakannya untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
Al-‘Araf, 7 : 179
“Aish, apa kena-mengena ayat ini dengan saya? Saya tak kacau orang lain. Saya buat kerja sendiri sahaja..”
Ada manusia, hidupnya sama matlamat seperti binatang ternak. Pagi-pagi mencari rezeki untuk makan. Kemudian menguruskan keperluan tabi’i (ke tandas etc). Seterusnya tidur kembali. Begitu sahaja pola hidupnya. Sama seperti binatang ternak. Tiba saatnya mati menemui Tuhan. Seperti itu sahajakah? Hidupnya telah mati sebelum mati. Sedangkan hidup manusia bukan untuk itu. Kerana selepas kematian ada kehidupan yang harus dipersiapkan.
Golongan binatang ternak ini, ada sesuatu yang hilang dalam diri mereka. Mereka kehilangan fungsi penciptaan diri. Lalu menjalani hidup tanpa fungsi. Bagaimana mahu berfungsi?
Dan bacakanlah kepada mereka, khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayaat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami menghendaki sesungguhnya Kami tinggikan derajatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing. Jika kamu menghalaunya dijelirkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjelirkan lidahnya juga. Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakn ayat-ayat Kami. Cerita-cerita demikian bermaksud agar manusia memikirkannya.
Al-‘Araf, 7 : 176
“Aish, tapi saya tidak mendustakan ayat-ayatNya. Saya tak pernah menghinakan Al-Quran”
Ada manusia sama sahaja. Dapat Al-Quran atau tidak sama sahaja. Tiada yang berubah. Kerana AlQuran menjadi sekadar “objek” yang disia-siakan. Tidak digunakan, tidak dimanfaatkan.
Boleh atau tidak bersikap begitu?
Manusia, yang sama sahaja sikapnya sebelum mendapat Al-Quran atau selepas mendapat Al-Quran, diumpamakan seperti anjing yang tetap menjelirkan lidahnya. Sama sahaja. Tiada bezanya. Baik takyah bagi!
Dan berkatalah Rasul “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.”
Al-Furqan, 25 : 30