Ujian (fitan) : Membenarkan atau mendustakan

Malam itu, seorang teman membacakan potongan ayat dari surah Al-Ankabut. “Ayat biasa”, tetapi memberikan makna yang luar biasa kali ini.

Adakah manusia fikir bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji? Sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta.

Al-Ankabut, 29 : 2-3

Orang yang mendustakan ayat-ayatNya? Seringkali “label” ini aku tujukan buat golongan yang ingkar. Tidak pernah terfikir ia tertuju buat diri sendiri yang juga berisiko mengingkari.

Fikiran terus tertumpu pada kes perceraian seorang teman baru-baru ini yang telah berbelas tahun mendirikan rumah tangga. Dikurniakan beberapa orang cahaya mata dan seorang suami yang sentiasa gigih bersama melaksanakan tugas-tugas kebaikan dan dakwah, siapa sangka mereka menghadapi masalah rumahtangga yang rumit.

“Dia sebenarnya tak pernah bagi nafkah. Makan pakai semua duit saya dari dulu. Saya tak tahan dah.”

Permintaan fasakh diluluskan atas sebab yang valid.

Diri ini, terkejut. Terkesima. Tidak menyangka.

Langsung hadir 1 ayat quran yang agak popular di tengah-tengah masyarakat.

Lelaki itu pelindung kepada perempuan, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah daripada hartanya.

An-Nisa’, 4 : 34

Meskipun sudah mendirikan solat. Aktif membuat amal kebaikan dalam komuniti masyarakat. Berperilaku sopan dan baik kepada anak-anak. Siapa sangka, syaitan ada menjerat pada titik kelemahan, membawa kepada pendustaan salah satu ayatNya dengan mengingkari perintahNya.

Apabila melepaskan diri dari tali Allah, melepaskan diri daripada membenarkan ayat Allah, mendustakan ayatNya dengan mengingkari perintahNya… akhirnya kita terlepas dari perlindungan Allah.

Ujian.

Rumahtangga itu juga ujian.

Ujian membuktikan ketaatan hamba terhadap ayat-ayatNya.

Ujian membuktikan sama ada diri ini benar-benar membenarkan ayatNya melalui tindakan ketaatan.

“Haish. Ustazah boleh lah cakap macam tu. Ustazah tahu ayat Quran. Ada je isu, boleh ting.. ting.. ting.. teringat ayat Quran. Boleh pilih nak taat atau ingkar. Boleh pilih nak membenarkan ayatNya atau mendustakan. Kami ni macammana? ”

Kerana itu, mempelajari kandungan Al-Quran itu, sedikit demi sedikit. Sama sebagaimana ia diturunkan. Sedikit demi sedikit bukan?

Dan (Kami turunkan) Al-Quran beransur-ansur agar engkau membacakannya kepada manusia perlahan-lahan dan Kami menurunkannya secara bertahap-tahap.

Al-Isra’, 17 : 106

Isunya, dalam setiap konflik atau cabaran yang dihadapi, sejauh mana diri yang beriman itu peduli mencari solusi melalui Al-Quran?

Konflik, hadiah yang Dia hadirkan agar hambaNya kembali mencari petunjuk melalui QalamNya.

and anyway, saya bukan ustazah in the first place

***

Sehingga akhirnya, kisah orang yang membenarkan atau mendustakan ayat-ayatNya, sama seperti kisah pemandu-pemandu di jalan raya terhadap undang-undang.

Ada pemandu, tahu undang-undang jalan raya, tetapi memilih mengingkari dan tidak membenarkannya (mendustakan). Dia langsung melanggar lampu isyarat dan memandu di laluan kecemasan. Terus mengingkari meskipun dia tahu. Inilah golongan yang dimurkai.

Ada juga pemandu, tidak tahu mengenai undang-undang jalan raya. Lalu dia berkali-kali “mengingkari” tanpa sedar bahkan menganggap pengingkarannya adalah tidak salah dan perkara kebaikan.  Inilah golongan yang sesat.

Dua-dua mengingkari. Mengingkari dalam sedar atau mengingkari tanpa sedar. Mendustakan ayatNya dengan ilmu pengetahuan atau mendustakan ayatNya tanpa ilmu pengetahuan.

Solusinya,

Ada pada wahyu pertama.

Iqra’

Bacalah.

#TadabburTazakkur

2 thoughts on “Ujian (fitan) : Membenarkan atau mendustakan

  • April 5, 2017 at 10:59 am
    Permalink

    Pentingnya tadabbur tazakkur pada satu-satu ayat bukan? Tadabbur menatijahkan percambahan ilmu. Tazakkur menatijahkan perasaan yang diimplemantasi dalam amalan.
    Namun, kedua-duanya perlu ‘dibaca’ dengan nama Tuhan.

    Reply
  • April 5, 2017 at 11:07 am
    Permalink

    Setuju Wan.

    2 kabel utama : Tadabbur & Tazakkur.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.