Tadabbur Tazakkur

Allah, tolong aku!

Terasa lumpuh seluruh badan ketika ditimpa ujian demi ujian. Dan aneh, adakalanya ujian itu yang sama berkali-kali. Dan apakah dunia ini sememangnya penjara bagi orang mukmin? Dari sekecil-kecil perkara sehingga ke sebesar-besar perkara apakah memang sentiasa berkait dengan Dia? Apakah setiap satu yang ditempuhi adalah jalan kembali kepada Dia?
Apakah begitu?

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang membenarkan, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Al-‘Ankabut, 29:2-3

Ujian, peluang untuk membuktikan apakah aku beriman.

Ujian, peluang untuk membuktikan apakah aku membenarkan atau mendustakan ayat-ayatNya.

Nah, terbentang lebih 6000 ayat-ayatNya di hadapanku, apakah setiap satu telah aku taati sebagai manifestasi membenarkan ayat-ayatNya? Apakah masih ada rasa enggan untuk “Dengar dan Taat” tatkala diposisikan di satu-satu stesen ujian kehidupan? Atau, aish… bukan tak nak taat, bukan tak nak membenarkan. Tapi, taat itu sulit. Sehingga ada ketika terasa “Allah, Engkau ambil sahajalah nyawaku.” Hati ini sesak. Daripada berterusan tidak taat, apakah keinginan untuk mati itu lebih baik. Atau, Allah, hentikanlah aku daripada berterusan menghadapi ujian ini.

Ujian, dari sekecil-kecil perkara ya?

Adakalanya, diuji dengan kerosakan harta benda. Terlibat dengan kemalangan kecil di jalan raya. Apakah ada kaitan dengan Dia? Apakah itu salah satu ujian kehidupan untuk membawa aku kembali kepadaNya? Memang semua ujian ada kaitan dengan Dia?

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Al-Baqarah, 2:155-157

 

Bahkan, setiap kali diuji, sama ada suka atau tidak, mahu tidak mahu, harus bertanya kepada diri sambil mengoreksi “Allah nak ajar aku tentang apa ya kali ini?”

Heh.

Tatkala terlepas daripada radar kawalan akhirat, tidak memaknai setiap ujian sebagai jalan kembali kepadaNya, memang setiap ujian itu terasa amat berat. Bahkan amat-amat berat. Kerana yang dituju hanyalah dunia sementara.Yang dirasakan “terlepas” itu adalah sesuatu yang fana.

***

Dia, diuji dengan penyakit kanser stage 4. Mengenangkan anak-anak yang masih kecil, dia meraung. Dia terus murung. Buntu mencari jalan keluar. Hilang tempat berpaut. Hilang tempat bersandar.

Dia yang lain, diuji dengan penyakit kanser stage 4. Terasa panggilan untuk kembali bertemu denganNya semakin dekat. Dia menyusun baki kehidupannya bersungguh-sungguh beramal mencipta peluang berprestasi di Hari Akhirat

***

Dia, diuji dengan suami yang gagal adil dalam rumahtangga. Kerana pihak isteri yang satu lagi lebih mendominasi. Lalu terciptalah segala drama demi berebut hati lelaki yang realitinya adalah manusia tak punya apa. Luka-luka tercipta akibat emosi yang tak terkendali lantas menjemput kemurungan. Apakah hidup yang “indah” ini layak dikorbankan hanya untuk membuktikan yang diri lebih hebat dan lebih layak diberikan perhatian?

Dia, diuji dengan suami yang gagal adil dalam rumahtangga. Kerana dia bukanlah watak yang dominan untuk berebut hati si suami. Lalu ujian yang ditimpakan dianggap peluang meluruskan aqidah yang selama ini tidak sedar telah jauh tersasar. Pergantungan yang selama ini jatuh kepada dia diluruskan agar kembali berlabuh kepada Dia. Pengharapan dan sumber rezeki yang selama ini diletakkan kepada dia terus dikemudikan agar kembali kepada Dia. Allah, andai ujian yang perit ini Engkau kurniakan untuk membersihkan aqidah diri sebelum Engkau menjemput diri ini menemuiMu, bahkan itulah nikmat terbaik kurniaanMu.

***

Dia, diuji dengan lesapnya ratusan ribu simpanan wang. Puncanya adalah ditipu teman kepada isterinya dalam urusan perniagaan. Tiada kata-kata yang boleh diungkapkan sehingga hari-hari yang dilalui terus bisu tanpa komunikasi antara sesama. Lafaz “cerai” nampak semakin mudah akibat emosi marah yang tidak terkendali. Wang yang dikumpul bertahun-tahun lamanya lesap begitu sahaja akibat tipu daya seorang syaitan yang bertopengkan manusia. Apakah rumahtangga itu pula yang patut dikorbankan?

Dia, diuji dengan lesapnya ratusan ribu simpanan wang angkara teman kepada isterinya.Dia terduduk, terus mengoreksi “Allah, mengapa Engkau Yang Maha Memiliki mengambil semuanya kembali dengan cara yang merobek hati?”. Apakah puncanya komunikasi yang rapuh antara sesama kami? Adakah kerana aku seringkali tiada di sisi sehingga dia membuat keputusan tanpa musyawarah sesama kami? Adakah kerana kepercayaan sesama kami semakin memudar sehingga dia berpaling berpaut kepada temannya melebihi diri ini? Andai ujian seberat ini Engkau timpakan untuk mengajarku kembali membenarkan ayat-ayatMu, menyedarkan aku akan amanah-amanah yang telah aku abaikan, justeru aku bersyukur ya Allah. Engkau masih memberiku peluang membaikinya sebelum tiba saat bertemu denganMu. Bantu aku ya Allah. Bantu aku bina kembali hidup ini kembali menurut ayat-ayatMu.

***

Seringkali, ayat-ayat Quran itu nampak jauh. Nampak tidak relevan. Hanya hadir di majlis-majlis keraian. Sedangkan setiap perkara yang dilalui dalam hidup ini, ada kaitannya dengan “Apakah aku membenarkan ayat-ayatNya, atau apakah aku mendustakan ayat-ayatNya.”

Atau, sebenarnya, isu utama kebanyakan kita adalah “Aku tak tahu pun ayat ni wujud dalam Quran. huhu…”. Lalu ayat itu didustakan berkali-kali tanpa sedar.

***

Kita diuji dengan anak-anak dan harta benda. Kita diuji dengan amanah terhadap kedua-duanya. Apakah telah melaksanakan amanah tersebut? Apakah telah membenarkan ayat Allah yang satu ini?

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

8:27-28

Adakalanya, untuk memberi itu juga satu ujian. Infaq, bukan mudah. Bahkan untuk ahli keluarga sendiri. Sejauh mana menghadapi ujian bakhil ini lalu terus sanggup memberi nafkah kepada anak-anak yang dalam amanah kita?

Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

64:15-16

 

Kita, turut diuji dengan dorongan hawa nafsu yang dibisikkan musuh terlaknat. Kita diuji dengan kecenderungan syahwat yang apakah akan dilorongkan ke jalan yang halal ataupun dilorongkan ke jalan yang haram. Apakah telah membenarkan ayat Allah yang satu ini? Atau apakah telah mendustakannya?

Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.

Al-‘Araf, 7:27

 

Hidup ini, rutin. Macam biasa . Senyum . Menghadapi hari-hari penuh tenang. Tiba saat ditimpa kesulitan dan ujian bertalu-talu, lantas mahu segera menyalahkan Allah?

“Allah, mengapa Engkau menguji aku begini?”

Namun tatkala Allah melepaskan daripada ujian kesulitan itu, kembali lalai dan melupakanNya?

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.

22:11

***

Ujian tanpa henti.

Bahkan, jika engkau merasakan yang diri telahpun tetap istiqamah atas jalanNya. Dia akan terus menguji dengan melimpahnya kurnia.

Mengapa?

untuk membuktikan apakah engkau bersyukur?

(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): “Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.”(Pemberian yang demikian) untuk Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan keadaan) mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam); dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, (dengan berlaku ingkar – derhaka, maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.
72:16-17

***

Syukuri setiap nafas.

Hargai nikmat kehidupan.

Hidup ini, peluang untuk diujiNya. Peluang untuk “dibakar” sehingga yang terhasil adalah peribadi murni yang membenarkan ayat-ayatNya. Agar pulangnya kita dengan aqidah murni yang bebas daripada pergantungan, pengharapan kepada selainNya.

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Al-Mulk, 67 : 2

 

Allah, tolong aku!

 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

2:286

 

Tiba saat rasa nak mati je.

Heh.

Dzikrul maut. Mengingati mati itu, turut membawa ketenangan hati . Hidup ni tak lama. Serius. Tak lama. Di saat menyedari dunia ini tak abadi, hilanglah resah. Di saat menyedari segala milikmu akan musnah, labuhkanlah pengharapan kepada Dia Yang Maha Memiliki. Rancang, bina kembali hidup, sepenuh keyakinan bahawa Dia ada untuk menyuluhi perjalananMu.

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

21:35

 

Allah, help me!

Tawakal kepadaNya dengan berpegang pada Al-Quran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.