Ciri-ciri Hamba Allah Yang Maha Penyayang

Ciri-ciri hamba Allah yang penyayang ini dinyatakan di dalam surah al-Furqan pada ayat-ayat terakhir di dalam surah ini.

Apakah tema surah al-furqan? Surah al-furqan bertemakan kepada kesan yang buruk kepada golongan yang mendustakan Allah, Rasul dan kitabNya dan perbezaan antara hak dan batil.

Antara ciri-ciri ibadurrahman (25:63-74)

– Berjalan dengan sopan santun. Apabila ada yang berkelakuan tidak elok atau kurang adab kepadanya, mereka akan menjawab dengan perkataan ‘selamat’ jauh dari kata-kata yang tidak elok

– Tekun menjalani ibadah di malam hari dengan sujud dan  berdiri

– Mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan, Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk”

– Apabila berbelanja harta, tidak boros namun tidak juga kedekut. Mereka berbelanja dengan sederhana

– Tidak menyekutukan Allah

-Tidak membunuh jiwa yang diharamkan untuk membunuhnya kecuali dengan sebab (hudud atau qisas)

– Tidak melakukan zina

–  Tidak menghadiri ke tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya

– Apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah seperti orang-orang yang pekak dan buta, iaitu tidak ambil peduli. Malah, mereka respon, ambil peduli terhadap ayat-ayatNya.

– Yang berdoa “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

 

Jika kita telusuri dan berfikir secara mendalam, kita akan dapati bahawa ciri-ciri yang dinyatakan hamba Allah yang penyayang ini, ia saling berkait antara ciri ibadah dan ciri akhlak. Contohnnya pada ciri yang pertama ialah berjalan dengan sopan santun, ianya berkaitan akhlak manakala yang kedua ibadah di malam hari, yang mana ia terkait dengan ibadah. Maka, kita dapat simpulkan bahawa seorang yang beribadah, juga seharusnya mempunyai akhlak yang baik, kerana itu Allah menggunakan namaNya ar-Rahman pada ciri-ciri ini, supaya disamping ibadah yang kuat kepada Allah, kita disuruh untuk berkelakuan baik kepada sesama manusia.

Ya Allah, jadikan kami hambaMu yang sebenar-benar hamba, bersifat penyayang pula sesama makhlukMu yang lain. Rezkikan kami mencontohi sifat rahmanMU.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.