Kotak-kotak amal

Andai setiap jam ditandai dengan satu kotak kosong dan setiap kotak mewakili kandungan amal, rasa-rasanya sejauh manakah beratnya kandungan kebaikan yang berjaya diri ini kumpulkan waktu demi waktu? Usai solat Subuh, ada sekitar 7 kotak amal untuk diisi sebelum tibanya waktu solat Zohor. Selesai Zohor, ada sekitar 4 kotak amal untuk diisi sebelum azan Asar berkumandang. Dan berbaki siang selepas itu, mungkin tinggal 2 lagi kotak amal yang berpeluang untuk diisi sebelum langit bertukar merah dan malam mula berlabuh menandakan tibanya waktu Maghrib. Begitulah siang. Sudahkah penuh kotak-kotakku dengan amal soleh?

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Al-‘Araf, 7 : 8

Hari pembalasan, bukan sekadar hari yang diimani tanpa rasa tanggungjawab untuk berjaya menghadapinya.

“Alaa… saya bukan buat jahat. Saya tak kacau orang lain. Cukuplah saya dengan dunia saya sendiri.”

“Kalau ada 7 kotak amal, saya nak isi satu je takpe kan?”

Persoalannya, timbangan di sana bukan sekadar antara yang berat timbangan amal atau berat timbangan kejahatan. Tetapi, andai timbangan amal itu sedikit, tidak takutkah diri ini terhadap ancaman neraka yang selama-lamanya.

Ini bukan perihal ada dengan tiada. Tetapi ini perihal banyak atau sikit.

Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang brjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka jahannam.

Al-Mu’minun, 102-103

Rugi, ya? Bukan tak beramal. Diri ini beramal. Tetapi banyak atau sikit?

Umpama seorang yang diberi Voucher bernilai RM12000 khusus untuk membeli-belah di tempat-tempat terpilih, lalu dia hanya mahu menggunakan RM1000 sahaja sebelum tamat tempohnya. Baki RM11000 lagi enggan digunakan.

Begitukah manusia yang dikurniakan 12 kotak-kotak amal untuk diisi pada siang hari bagi memberatkan timbangan kebaikannya di Hari Pembalasan, tetapi hanya memilih untuk mengisi satu kotak sahaja. Baki 11 kotak lagi dibiarkan kosong kerana diisi untuk kepentingan diri, mengikuti kehendak diri tanpa suluhan petunjuk wahyu ilahi?

Rugi?

“Dah tu, takkan nak duduk di masjid je?? Solat dan berzikir setiap jam?”

Amal soleh itu adalah segala apa yang tertuang dalam QalamNya. Selain solat, zikir puasa, bukankah banyak lagi panduan dari Al-Quran untuk kita “Hidup” di muka bumi ini?

Kotak pertama seawal Subuh boleh diisi dengan kepedulian mendidik anak-anak penuh kasih sayang, mengajak mereka memulakan pagi dengan pertemuan Rabb disuluhi pedoman dari Surah Maryam.

Kotak kedua boleh diisi dengan kesungguhan infaq tenaga dan masa mengurus rumah dan keluarga, memimpin anak-anak cerminan Surah Al-Baqarah. Terus berlapang dada infaq wang ringgit bagi memenuhi keperluan asas mereka yang di bawah peliharaan kita.

Kotak ketiga boleh diisi dengan terus memelihara kata-kata daripada ungkapan-ungkapan keji dan kesat serta memelihara telinga daripada mendengar umpatan-umpatan di pejabat ketika waktu kerja. Ini pedoman surah Al-Hujuraat yang mengajar kita etika dalam bersosial.

Bagaimana pula dengan kotak keempat. Mahu diisi dengan apa? Terbentang di hadapan sebanyak 114 surah untuk dipilih bagi mengisi kotak-kotak amal harian. Amal itu sememangnya bukan solat da zikir sahaja.

Kebaikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan ke arah barat, tetapi kebaikan itu ialah (kebaikan) orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, para malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan (musafir), peminta sedekah, dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila berjanji dan orang yang sabar dalam kesusahan, penderitaan dan ketika peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.

Al-Baqarah, 2 : 177

Permasalahan timbul apabila diri berlaku zalim terhadap ayat-ayatNya. Tidak memposisikan Al-Quran pada tempat yang sepatutnya. Ayat-ayatNya yang diturunkan sebagai pengajaran dan panduan hidup dilihat sebagai keramat yang sekadar diletakkan di almari-almari tinggi tanpa dibelek dan dipelajari kandungannya. Sehingga akhirnya, kurangnya amal bukan kerana enggan menghidupkan apa yang diajarkan dalam QalamNya, tetapi punca utama adalah “Aku tak tahu Allah cakap apa dalam Al-Quran.” Akibatnya, kotak-kotak amal seharian berterusan kosong.

Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami.
Al’Araf, 7 : 9

Justeru, sebelum nafas terhenti, mulakan langkah pertama mempelajari kandungan QalamNya. Agar kotak-kotak amal seharian itu terus terisi, sedikit demi sedikit.

One thought on “Kotak-kotak amal

  • April 29, 2017 at 4:23 pm
    Permalink

    Banyak lagi kotak saya yang kosong kerana ilmu Allah itu sangat luas dan tidak terkira…tiada penghujung…..tiada penghujung….tiada penhujung…..post Cik ada kaitan dengan post saya….bertajuk tiada v1.0… dijemput baca cik ayat….mungkin kotak amalan manusia ini sikit sangat bukan sangat tetapi emmmmm….x terkata…sebab inifinite kotak kosong manusia…..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.