Menjemput khusyu’ : Hadir dalam keadaan suci dengan ingatan yang kerap kepadaNya

Ibarat seorang kekasih yang mahu hadir bertemu cinta hatinya dalam keadaan terbaik, bersih daripada sebarang noda. Bahkan antara satu pertemuan dengan pertemuan berikutnya, masanya terisi dengan ingatan murni tulus kepadanya, terus menyebut namanya lalu si dia yang diingati seakan-akan sentiasa hadir bersama dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, detik demi detik.

Bagaimana pula cinta seorang hamba terhadap penciptanya? Apakah telah hidup dengan namaNya?

Allah, dengan nama-Mu aku hidup!

Solat itu bukan sekadar stesen perhentian seorang hamba yang menjadi rutin sekurang-kurangnya 5 kali setiap hari.

Solat perlukan persiapan agar pertemuan denganNya menjadi rutin penuh makna yang sentiasa dirindukan.

Hadirnya seorang hamba dalam solat bukan sekadar suci dari dimensi fizikal (suci daripada hadas) tetapi turut perlu disucikan dari dimensi rohaninya. Antara Subuh dengan Zohor, Zohor dengan Asar,  Asar dengan Maghrib, Maghrib dengan Isya dan Isya’ dengan Subuh. Semuanya perlu usaha seorang hamba yang taat kepada tuhannya dengan berhati-hati daripada terjerumus ke lembah dosa.

Dosa utama yang perlu disucikan adalah dosa syirik. Kerana itulah sebesar-besar dosa yang tidak diampunkan Allah.

 

1. Menyucikan diri (daripada dosa)

Dosa itu pelbagai. Apa kata dalam ruang yang terbatas ini kita perhalusi dosa terbesar iaitu dosa syirik, untuk disucikan daripada relung hati kita.

Yang pertama, sudahkah kita menyucikan diri daripada mensyirikkan Allah dengan syaitan? Kerana setiap ketaatan terhadap bisikan syaitan adalah kesyirikan kepada Allah. Setiap kepatuhan terhadap janji syaitan adalah penafian atau pendustaan terhadap janji Allah.

Dan syaitan berkata ketika perkara (hisab) telah diselesaikan “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencela aku, tetapi celalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu, dan kamu pun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. Sesungguhnya, orang yang zalim akan mendapat seksaan yang pedih.

Ibrahim, 14 : 22

Licik sungguh permainan syaitan. Ketika Allah menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan dengan ikatan cinta selepas akad nikah, syaitan menjanjikan kebahagiaan dengan ikatan perhubungan cinta terlarang yang melanggar batasan syariat .

Ketika Allah menjanjikan terpeliharanya kehormatan diri dengan pakaian yang menutup aurat, syaitan menjanjikan kecantikan dan “perjuangan kebebasan wanita” dengan pakaian yang mendedahkan aurat.

Janji Allah dan syaitan akan selama-lamanya bertentangan.

Sedangkan syaitan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bagaimana untuk menghindarkan diri daripada taat kepada bisikannya sehingga tanpa sedar mensyirikkan Allah dengan syaitan?

Dan barangsiapa yang berpaling daripada pengajaran Allah Yang Maha Pemurah (Al-Quran), Kami biarkan syaitan menyesatkannya dan menjadi teman karibnya.

Az-Zukhruf, 43 : 36

Tidak mahu mensyirikkan Allah dengan syaitan?

Harus peduli memahami Al-Quran. Menjadi perisai “tahu” dan “mahu” menepis bisikan-bisikannya yang memukau.

 

2. Ingat nama Tuhanmu.

Hanya hati yang penuh cinta kepada yang dirindui sahaja akan terus dan terus menyebut nama dia yang dicintai. Mana mungkin seorang hamba akan sentiasa ingat nama Tuhannya tanpa mengenaliNya?

Wahai diri, sudahkah mengenali Tuhanmu? Sehingga hati itu mahu terus dan terus menyebut nama Tuhanmu?

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lalu berkata) “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami daripada azab neraka.”

Ali-‘Imran, 3 : 190-191

Seorang manusia itu, tidak akan lari daripada 3 keadaan. Sama ada dirinya sedang berdiri atau duduk ataupun berbaring. Apakah sememangnya wujud manusia begitu? Yang tiada satu pun keadaan yang berlaku dalam dirinya melainkan dirinya berfikir dan ingat Tuhannya?

Di saat diuji dengan karenah anak-anak yang nakal, dia teringat Qalam Tuhannya dan mahu meneladani keperibadian Nabi Yaakub dalam surah Yusuf yang menyebut nama Tuhannya Ya Khairu Hafidz Ya Arhamurrahimiin (Yusuf, 12 : 64). Nabi Yaakub, seorang ayah yang sabar terhadap anak-anaknya, yang terus menyebut namaNya.

Di saat sedang membuat uji kaji, membuat eksperimen terhadap tools yang baru direka di dalam makmal, dia terus teringatkan pelatihan yang diberikan Allah kepada Nabi Musa untuk memanfaatkan tools mukjizat tongkat, bermula dengan mengajar nabi Musa menyebut namaNya Ya ‘Azizul Hakiim (An-Naml, 27 : 9-10). Terus berbisik di dalam hati penuh ketundukan, “Allah, Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Tidaklah aku mampu mencipta tools ini tanpa bantuanMu.”

 

Seorang hamba yang terus menerus ingat nama Tuhannya di luar solat, tidakkah akan turut merindukan pertemuan dengan Tuhannya di dalam solat?

Justeru, suburkanlah hati ini dengan mengenalNya, menyebut namaNya, agar tidak menjadi segolongan manusia yang lalai daripada mengingati Sang Pencipta.

Maka apakah orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam, lalu dia mendapat cahaya daripada Tuhannya, (sama dengan orang yang hatinya keras membatu)? Maka celakalah mereka yang hatinya telah keras membatu untuk mengingati Allah. Mereka itu di dalam kesesatan yang nyata. (Az-Zumar, 39 : 22)

Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa ajaran dan amaran Allah, mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah! Bahawa golongan syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi. (Al-Mujadalah, 58 : 19)

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah membuatkn mereka lupa akan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik. (Al-Hasyr, 59:19)

 

Kesimpulan

Sebelum hadir, berdiri menghadapNya dalam pertemuan yang dirindukan (solat), sucikan diri daripada sebarang dosa dan teruslah menghadirkan ingatan kepadaNya, sebut namaNya setiap ketika dalam kesibukan berkerja detik demi detik.

 

***

Catatan nota Kursus “Khusyu’ dalam Solat berdasarkan Al-Quran.” Bahagian ke-2.Disampaikan Ustazah Nora pada 3 Mei di Taman Sri Ukay.

Berpandukan Buku Dr. Said Bin Ali.

Bahagian 1 boleh di baca di sini.

 

***

p/s tiba-tiba rasa nak memiliki buku “Mengenal Allah” oleh Dr Nabulsi.  (^_^)

c.c Harun, jom kumpul duit gi beli.

3 thoughts on “Menjemput khusyu’ : Hadir dalam keadaan suci dengan ingatan yang kerap kepadaNya

  • May 9, 2017 at 11:40 am
    Permalink

    Subhanallah.. nice articles:)

    Reply
  • May 10, 2017 at 2:53 am
    Permalink

    Jom. Kita ada saving dan boleh guna baucar kad debit siswa ^^,

    Reply
  • May 11, 2017 at 7:27 am
    Permalink

    Kak ayat….
    Sharing maksud sucikan diri

    قُلِ ٱللَّهَ أَعۡبُدُ مُخۡلِصٗا لَّهُۥ دِينِي ١٤
    14. Katakanlah: “Hanya Allah saja Yang aku sembah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agamaku”
    (Az-Zumar:14)

    Kata Akar:
    مُخۡلِصٗا : خلص

    Maksud :
    1. Khusus: Khas,Istimewa(untuk seseorang atau sesuatu), tidak umum (KD3,675)
    2. Ikhlas: Hati suci, jujur, tidak menipu atau tidak berpura-pura. (KD3,480)
    3. Pilihan/pilih: memandang kedudukan/darjat, bangsa, keturunan. (KD3,1036)
    4. Mengasing/Asing: Berlainan, terpisah, tersendiri. (KD3,68)
    5. Menyendiri: Duduk seorang diri, mengasingkan, memencilkan,menyisihkan diri. (KD3,1240)
    6. Bersih/Suci: tidak kotor, bebas daripada pencemaran, jujur, ikhlas, suci, murni, bebas daripada amalan yang tidak baik, bebas daripada anasir yang tidak baik, keuntungan. (KD3,146)
    7. Murni: tidak mengandungi unsur yang asing(Biasanya unsur-unsur yang menyemarkan), bersih benar, suci, tulen. (KD3,910).

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.