Apabila Kita Berdoa
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul (al-Baqarah 2:186)
Harun keluar dari bilik Dr.Ibrahim dengan perasaan yang bercampur. Dia baru menerima perkhabaran dari doktor yang merawat anaknya tadi bahawa anaknya disahkan menghidap kanser tahap tiga. Dr memberitahu, anaknya masih boleh dirawat. Namun, perlu menjalani beberapa rawatan susulan.
Dr.ibrahim menetapkan bahawa temujanji seterusnya ialah pada hari khamis minggu hadapan, jam 9.30 pagi. “Aku mesti datang tepat jam 9.30 atau sebelum, sebab jadual doktor pakar macam Dr.Ibrahim pasti padat. Kalau aku terlambat, mesti terlepas nak jumpa”, bisik hatinya.
**
Khamis, jam 9.35 pagi.
Encik Harun bergegas masuk ke pintu bangunan dan menghala ke arah bilik Dr.Ibrahim. Dia tahu, dia sudah terlambat lima minit dan kemungkinan untuk berjumpa Dr amat tipis. Namun, dicuba juga, mungkin jika masih ada rezeki buatnya.
Namun, ternyata, harapannya hampa apabila diberitahu oleh jururawat yang bertugas di kaunter bahawa Dr.Ibrahim baru sahaja berjalan keluar dari bilik beberapa minit sebelum kedatangannya.
**
Sebaliknya yang berlaku dalam perhubungan kita denganNya. Istimewa benar kita, hambaNya. Dia akan merespon pada setiap permintaan kita, ketika kita meminta. Setiap kali semasa kita berdoa. Tidak perlu membuat ‘temujanji’ untuk meminta padaNya. Jika terlewat, kedatangan kita, masih tetap diterima.
Allah, Rob kita. Tiada tuan yang lebih tinggi pangkatnya dari Dia, tiada yang lebih besar dari Dia, cepat sahaja merespon ketika kita memanggilnya.Sedangkan kita, hamba. Tiada yang lebih rendah dari hamba, tiada yang lebih kerdil dari seorang hamba. Kuasa zatNya yang paling agung, cepat merespon kepada yang tidak punya kuasa, yang hina ini.
Dan di pengakhiran kalamNya, Dia al Khobeer Maha Tahu akan keadaan iman kita yang boleh sahaja goyah natijah dari rasa kecewa kerana tidak beroleh seperti apa yang kita minta.
Kerana itu, di akhir ayat ini, Dia al Haleem meegaskan sekali lagi tentang konsep iman, yakin akan peraturannya yang terbaik walaupun tidak perolehi seperti yang dipinta. Seolahnya Dia berkata
‘Kalau kau hambaKu, tak dapat apa yang engkau hajati, tak pe. Tetaplah teguh imanmu padaKu’.
Harus tetap yakin dengan ketetapanNya kerana Dia beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita kerana Dia lebih dekat dengan diri kita.
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya (Qaf 50:16).
Mari bersama membina stamina menghadapi Ramadhan. Banyakkan berdoa, semoga Ramadhan yang bakal menjelma lebih baik dari sebelumnya. Dan stamina kita berpanjangan sepanjang tahun untuk ke Ramadhan seterusnya. Ameen
Allahumma Aamiin
Dear, tq so much for the reminder.
Cer share sket “Al-Khobeer” tu apa?
Nama Allah Al-Khobeer ialah bermaksud Yang Maha Mengetahui. Namun, ‘pengetahuan’ Allah al-Khobeer berbeza sedikit dengan al-Aleem (Maha Mengetahui).
Pengetahuan al-Khobeer adalah, contohnya jika saya mengalihkan gelas di hadapan anda. Anda melihat gelas itu di alihkan, dan anda ‘tahu’ (aleem) gelas itu bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain kerana saya yang menggerakkan. Anda aleem. Anda tahu.
Namun, Allah Al-Khobeer, bukan setakat mengetahui siapa yang menggerakkan gelas, tapi Dia tahu apa perasaan anda ketika menggerakkan gelas, apa saraf-saraf anda yang bergerak ketika anda menggerakkan gelas, apa yang terbuku dalam sanubari anda ketika gelas itu bergerak, apa yang sedang anda fikirkan.. dan semuanya yang berkaitan dengan apa yang berada dalam sanubari anda. Itu pengetahuan al-khobber.
Sebab tu, kita tengok pattern dalam quran, jika Allah sebut khobeer, kebiasaannya Allah akan sambungkan dengan ‘apa yang kamu lakukan’. Dengan maksud, Allah bukan setakat tahu apa yang kamu lakukan, (di luar) tapi Allah juga tahu apa perasaan, apa yang difikirkan ketika kamu sedang melakukan (di dalam).
Allahu a’lam.