Cahaya matahari dan bulan vs sabar dan solat

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya) (Yunus, 10:5)

Allah menggunakan cahaya Matahari dengan dhiya’ dan bulan nur. Apa beza cahaya pada penggunaan dhiya’ dan nur ? Mengapa Allah gunakan cahaya matahari sebagai dhiya’ dan bulan sebagai nur ? Apa beza pencahayaan pada dhiya’  dan nur ?

Seperti yang kita tahu, matahari mengeluarkan cahaya yang tersendiri dan ia adalah salah satu dari bintang-bintang yang terdapat di dalam galaksi bima sakti. Cahaya matahari terang benderang dan ia sangat panas, namun dengan kepanasan itu, menumbuhkan tanam-tanaman dan menghidupkan hidupan di muka bumi ini.

Manakala cahaya bulan pula, ianya terhasil dari pantulan cahaya yang dipancarkan oleh cahaya Matahari. Bulan tidak mengeluarkan cahayanya yang tersendiri. Sebab itu, cahaya bulan tidak sepanas dan seterik yang dirasakan seperti cahaya matahari kerana ia kesan dari pantulan sahaja.

وعن أبي مالك الحارث بن عاصم الأشعري رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : “الطهور شطر الإيمان، والحمد لله تملأ الميزان، وسبحان الله والحمد لله تملآن -أو تملأ- ما بين السماوات والأرض، والصلاة نور، والصدقة برهان، والصبر ضياء، والقرآن حجة لك أو عليك. كل الناس يغدو، فبائع نفسه فمعتقها، أو موبقها”

(رواه مسلم)

Maksudnya :

Rasullah s.a.w. bersabda:

“Bersuci adalah separuh keimanan dan Alhamdulillah itu memenuhi imbangan, Subhanallah dan Alhamdulillah itu dapat memenuhi atau mengisi penuh apa-apa yang ada di antara langit-langit dan bumi. Solat adalah (nur) cahaya, sedekah adalah sebagai tanda (keimanan bagi yang memberikannya), sabar adalah merupakan (dhiyaa) cahaya pula, al-Quran adalah merupakan hujjah untuk kebahagiaanmu (jikalau mengikuti perintah-perintahnya dan menjauhi larangan-larangannya) dan dapat pula sebagai hujjah ke atasmu (jikalau tidak mengikuti perintah-perintahnya dan suka melanggar larangan-larangannya). Setiap orang itu berpagi-pagi, maka ada yang menjual dirinya (kepada Allah) bererti ia memerdekakan dirinya sendiri dari siksa Allah Ta’ala itu) dan ada yang merosakkan dirinya sendiri pula (kerana tidak menginginkan keredhaan Allah Ta’ala)”(Riwayat Muslim).

Nabi saw menyatakan bahawa sabar itu seperti cahaya matahari (dhiya’) dan solat itu cahaya seperti bulan (nur). Mengapa? Kerana sebagaimana kita memerlukan cahaya matahari untuk mengeringkan baju di ampaian, ia pahit, terik, tapi hakikatnya cahaya itu diperlukan supaya baju kita kering. Maka, sabar itu kita perlu lalui dan dapatkan untuk memudahkan lagi perjalanan kita selepas ini bertemu Tuhan.

“Dan Kami akan memudahkan bagimu ke jalan kemudahan untuk mencapai kebahagiaan (dunia dan akhirat) (Al-A’la, 87:8)

Memudahkan itu, bukan perjalanannya semakin mudah. Tapi, kita akan merasakan ia semakin mudah kerana banyak yang pahit-pahit, terik-terik yang sudah kita lalui. Kerana itu, dalam menghadapi ujian, kita bukan diminta dimudahkan ujian, tapi kita meminta supaya dilimpahkan kesabaran yang lebih banyak.

Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir” (al-Baqarah 2:250)

Dalam menghadapi hidupan dunia, kita memerlukan cahaya sabar sebagaimana matahari itu, yang mengeluarkan cahayanya yang panas dan terik. Sabar dengan melakukan ketaatan padaNya, sabar menjauhi laranganNya, sabar berhubungan dengan manusia, sabar menghadapi ‘hadiah-hadiah’ yang turun dariNya. Sabar menguruskan rumahtangga, sabar menguruskan anak-anak yang sakit. Ia panas dan terik, tapi ia perlu untuk kesenangan kita bertemu Tuhan nanti.

Manakala, solat pula sebagai nur (cahaya) seperti bulan kerana cahaya yang ada pada bulan adalah cahaya yang menenangkan dan menyejukkan mata kita. Apabila melihat pada bulan, cahayanya memberi kita rasa ‘rehat’ dan tenang.

Maka, ketika solat, itulah cahaya kepada dirinya. Ketika diturunkan ujian, dia perlu bersabar sebagaimana panas cahaya sang mentari, namun ia boleh disejukkan dengan ketenangn cahaya sang bulan iaitu dengan solat. Solat memberi cahaya menyejukkan pada dirinya.

Pada waktu siang, kita berurusan, meneruskan kehidupan dan memerlukan kesabaran cahaya sang mentari, namun malam menjelma, cahaya mentari hilang. Hilang cahaya mentari, muncul pula cahaya sang bulan iaitu dengan solat kita. Sebagaimana kita perlu kepada cahaya matahari, kita juga sangat perlu kepada cahaya sang bulan menerangi malam-malam kita supaya perjalanan keesokannya menjadi ‘tidak terlalu panas’.

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam (al-a’rof, 7:54)

Maha Suci Allah, yang menjadikan pada kita sang mentari dan sang bulan. Ramadhan masih berbaki setengah sahaja lagi. Marilah sama-sama menghidupkan malam-malam kita dengan ‘cahaya sang bulan’ dan melatih tengahari kita dengan ‘cahaya sang mentari’ supaya nanti kita memperoleh taqwa yang diimpi-impi. Ameen.

 

8 thoughts on “Cahaya matahari dan bulan vs sabar dan solat

  • June 12, 2017 at 4:27 pm
    Permalink

    Waaaaaaan. Anda membantu sy memahami 2:45
    Dan mintalah pertolongan kpd Allah dgn SABAR dan SOLAT. Sesungguhnya solat itu berat kecuali kpd org2 yg khusyu’

    Reply
    • June 13, 2017 at 9:27 am
      Permalink

      Sememangnya sebetulnya ayat itu ada kaitan dengan kupasan saya ini. Tapi, tak tahu nak selit di mana 😀

      Reply
      • June 13, 2017 at 1:01 pm
        Permalink

        Dah selit kt ruang komen.

        “Diskusi terkini”

        (^_^)v

        Reply
  • June 12, 2017 at 6:17 pm
    Permalink

    Kupasan yang memberi semangat sehangat mentari, selembut sinaran bulan

    Reply
    • June 13, 2017 at 9:27 am
      Permalink

      Alhmdulillah. Terima kasih tuan. Mohon berkongsi kepada kenalan supaya sama-sama beroleh manfaat

      Reply
  • June 13, 2017 at 12:07 pm
    Permalink

    Baru sy tahu apa itu sebenarnya maksud nur….malah dhiya adalah perkara baru bagi sy…tq kak wan

    Reply
  • June 19, 2017 at 9:22 am
    Permalink

    MashaAllah tabarakallah! Perkongsian ini memaknakan lagi Solat dan Sabar dan menjelaskan betapa khusus dan halus bahasa Al Quran. Dengan dalil hissi, cahaya bulan dan matahari, Subhanallah, sungguhlah SCIENCE itu SIGNS kebesaran Allah.

    Reply
    • June 19, 2017 at 2:42 pm
      Permalink

      Allah yubarik fik. Semoga Allah memberkati puan. Sungguh, Al Quran ialah signs yang dibaca di dalam bahasa arab dan alam ini adalah signs yang dilihat dan boleh dibaca dgn pelbagai bahasa. Mohon berkongsi kepada kenalan supaya lebih ramai yang beroleh manfaat.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.