Sekali atau dua kali diuji kemarau spiritual
“Apa erti surah ini?”
“Entah…”
“Surah itu?”
“Entah…”
“Jom pergi belajar.”
“Kau pergi dulu. Aku sibuk…banyak urusan ingin diselesaikan. Amanah banyak sangat…”
“Mendalami al-Quran bukan amanah?” Balas si kawan sebelum beredar.
Surah at-Taubah membuka rahsia ramai
Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)? (126) Dan apabila diturunkan satu surah dari Al-Quran (mendedahkan keburukan orang-orang munafik itu) setengah mereka memandang kepada setengahnya yang lain sambil berkata: Adakah sesiapa nampak kamu (kalau kita undur dari sini)? Kemudian mereka berpaling pergi (dengan meninggalkan majlis Nabi); Allah memalingkan hati mereka (daripada iman), disebabkan mereka kaum yang tidak (mahu) mengerti. (127)
Dalam surah at-Taubah ayat 126 dan 127 di atas, ia menjelaskan keutamaan yang dipegang oleh orang-orang munafik pada zaman Nabi. Zaman sekarang ada munafik? Tidak perlu label munafik tetapi lihat sifat-sifatnya. Sebelum melihat ke luar, kita lihat ke dalam diri kita. Ia akan menjelaskan betapa nilai si munafik berbeza dengan nilai orang yang beriman.
Nilai berbeza melahirkan tabiat berbeza.
Akan diuji sekali atau dua kali
Dalam Tafsir Ibn Katheer dinukilkan salah satu pendapat bahawa ujian itu ialah kemarau. Kemarau apa yang dimaksudkan dalam ayat 126? Selain kemarau atau bencana fizikal, ayat 127 menjelaskan kemarau spiritual. Setiap orang akan diuji dengan kemarau ini, sekali atau dua kali setahun. Samada sedar atau tidak, ia berlaku dalam kehidupan.
Apa jadi kalau kemarau spiritual? Ia akan menyebabkan seseorang itu makin tersasar dan tersasar. Makin berusaha, makin tersasar daripada kebahagiaan sebenar yang dikurniakan Allah. Keluarga makin tersasar. Negeri makin tersasar.
Astaghfirullah. Siapa yang mulakan kerja tersasar? Manusia itu sendiri yang tetap berdegil dalam mendekatkan diri kepada intipati al-Quran – kerana terlampau sibuk dengan nilai yang berbeza dengan orang beriman. Amat sibuk dengan urusan selain kembali kepada Allah. Makin banyak latihan atau sesi untuk mendalami hal bisnes dan urusan lain selain urusan mendalam al-Quran. Ini maksud usaha untuk tersasar. Manusia yang memulakannya.
Ubat Kemarau Spiritual
Apakah ubat untuk ujian di atas? Taubat. Berhenti sebentar dan semak semula apa yang berlaku dalam hidup. Kembali kepada Allah dengan memahami surah demi surah yang ada agar kita tidak lagi pandang kiri dan kanan menyatakan “apa isi surah ini.”
Moga kita menjadi orang yang sentiasa bertaubat – sebagaimana tema surah ke 9 : taubat dan taubat dan taubat.
Insha Allah…bertaubat…
Terima kasih tuan