Solat penyejuk mata
Hatinya tidak tenang. Mundar-mandir menyiapkan tugasan dengan sedikit cuai. Dia ternanti-nanti waktu rehat tengahari itu.
“Eh, kenapa ni?”
– “Tertinggal handphone kat rumah lah. Tengahari ni nak balik sat, ambil phone.”
“Laaa. Ada panggilan penting kena buat ke pagi ni?”
-“Takde lah. Tapi mana tahu, ada benda penting yang saya terlepas.”
Dan zaman ini, smartphone seakan-akan menjadi nadi kehidupan kebanyakan manusia. Ada anak yang sanggup mengugut membunuh ibu tatkala si ibu berusaha menjauhkannya daripada ketagihan internet. Ada ayah yang sanggup mengetepikan dan mengabaikan interaksi dengan anaknya yang kecil kerana mengutamakan interaksi teman di alam maya. Dan apakah berbaloi, memilih material sebagai “penyejuk mata” sehingga material menjadi perkara penting yang mendominasi kehidupan?
Sayangnya firaun kepada isterinya sehingga tidak sanggup membunuh Nabi Musa adalah kerana baginda menjadi penyejuk mata isterinya. Fuh.. Besarnya pengaruh “penyejuk mata” ini.
Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun : “Bayi itu adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita, mari kita ambilnya menjadi anak angkat” sedang mereka tidak menyedari.
Al-Qosas, 28 : 9
Lalu, apakah yang menjadi penyejuk mata bagi kita?
***
Solat. Best ke? Seronok? Setiap kali lepas solat ada rasa nak solat lagi dan lagi?
Sahabat seperti Zubair Bin Awwam diberitakan mempunyai hobi solat. Setiap kali ada ruang waktu, dia mahu mendirikan solat kerana solat telah menjadi penyejuk mata baginya.
Lalu, apakah posisi solat dalam hidupku?
Berat? Tidak bermakna? Rutin?
Aishh.
Sejauh mana saya bergantung dan memerlukan solat dalam hidup?
Persoalan ini amat penting, terkait dengan sejauh mana diri ini mengenali Tuhan sehingga merasakan begitu memerlukanNya dalam hidup. Justeru Solat sebagai ruang pertemuan antara seorang hamba dengan Tuhan seharusnya menjadi satu pertemuan yang dinanti-nantikan setiap ketika.
Saya memerlukan Tuhan? Saya memerlukan pertolongan Tuhan?
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan solat. Dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyu’ (tunduk & rendah hati). (iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.
Al-Baqarah, 2 : 45-46
Ada manusia, usai mendirikan solat, fikirannya masih serabut.
Ada manusia, usai mendirikan solat, dendamnya kepada manusia lain masih membara.
Mengapa solat yang dilakukan tidak menjemput pertolongan yang dijanjikan?
Apakah kerana solat yang tidak khusyu’ menghadirkan rasa berat di dada sehingga bebanan yang menyesakkan tidak surut-surut? Sedangkan solat yang khusyu’ seharusnya menghapuskan dosa-dosa yang dirasakan begitu memberatkan belakang.
Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan amalan-amalan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu beringat.
Huud, 11 : 114
Berat kaki untuk melangkah disebabkan bebanan dosa di dalam hati sehinggakan terasa bebanannya menghimpit di belakang. Seandainya ini yang berlaku, bagaimana untuk terus maju ke hadapan? Pentingkah melepaskan bebanan yang berat ini sehingga jiwa lapang selapang-lapangnya untuk terus berprestasi dengan bantuanNya terus di sisi?
Bukankah Kami telah melapangkan dadamu. Dan Kami juga telah meringankan bebanan daripadamu. Yang memberatkan belakangmu.
Asy-Syarh, 94 : 1-3
Melihat solat sebagai peluang membersihkan dosa-dosa di dalam hati yang memberatkan belakang, tidakkah jiwa seorang hamba itu mahu tunduk penuh kesyukuran atas anugerah solat 5 kali sehari yang dikurniakan Dia Yang Maha Penyayang?
Solat yang khusyu’, dikurniakan buat mereka yang hadir dalam keadaan taubat, mencari keampunanNya. Bermula dengan takbir membesarkanNya penuh rasa, merasakan komunikasi antara diri dan Tuhan di setiap lafaz Al-Fatihah. Sejauh mana diri ini merasakan dekatnya Dia di saat membacakan Al-Fatihah. Sedarkah kita bahawa setiap lafaz adalah komunikasi diri dengan Tuhan. Ya, kita sedang bersembang dengan Tuhan.
Dari Abu Hurairah, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda, “Barangsiapa yang shalat lalu tidak membaca Ummul Qur’an (yaitu Al Fatihah), maka shalatnya kurang (tidak sah) -beliau mengulanginya tiga kali-, maksudnya tidak sempurna.” Maka dikatakan pada Abu Hurairah bahwa kami shalat di belakang imam. Abu Hurairah berkata, “Bacalah Al Fatihah untuk diri kalian sendiri karena aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa salam bersabda, “Allah Ta’ala berfirman: Aku membagi shalat (maksudnya: Al Fatihah) menjadi dua bagian, yaitu antara diri-Ku dan hamba-Ku dua bagian dan bagi hamba-Ku apa yang ia minta.
Jika hamba mengucapkan ’alhamdulillahi robbil ‘alamin (segala puji hanya milik Allah)’, Allah Ta’ala berfirman: Hamba-Ku telah memuji-Ku.
Ketika hamba tersebut mengucapkan ‘ar rahmanir rahiim (Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang)’, Allah Ta’ala berfirman: Hamba-Ku telah menyanjung-Ku.
Ketika hamba tersebut mengucapkan ‘maaliki yaumiddiin (Yang Menguasai hari pembalasan)’, Allah berfirman: Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku. Beliau berkata sesekali: Hamba-Ku telah memberi kuasa penuh pada-Ku.
Jika ia mengucapkan ‘iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in (hanya kepada-Mu kami menyebah dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan)’, Allah berfirman: Ini antara-Ku dan hamba-Ku, bagi hamba-Ku apa yang ia minta.
Jika ia mengucapkan ‘ihdiinash shiroothol mustaqiim, shirootolladzina an’amta ‘alaihim, ghoiril magdhuubi ‘alaihim wa laaddhoollin’ (tunjukkanlah pada kami jalan yang lurus, yaitu jalan orang yang telah Engkau beri nikmat, bukan jalan orang yang dimurkai dan bukan jalan orang yang sesat), Allah berfirman: Ini untuk hamba-Ku, bagi hamba-Ku apa yang ia minta.”
(HR. Muslim no. 395). Juga dalam hadits di atas disebut pula bahwa Al Fatihah disebut pula Ummul Qur’an.
Bagaimana pula jika ada manusia yang mengerjakan solat tetapi fikirannya menerawang entah ke mana. Dia mengerjakan solat dalam keadaan sombong dengan Tuhan, tidak menyedari butiran lafaz yang keluar dari bibirnya. Dia mengerjakan solat tanpa membesarkan Tuhannya. Puncanya, tidak mengenali Tuhannya.
Dan sesungguhnya, telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu “Jika engkau menyekutukan (Allah), nescaya akan terhapuslah amalanmu dan tentulah engkau termasuk dalam orang yang rugi. Kerana itu, hendaklah ALlah sahaja yang engkau abdikan diri dan hendaklah engkau termasuk di kalangan orang yang bersyukur. Dan mereka tidak mengagungkan Allah sebagaimana sepatutnya, padahal keseluruhan bumi di dalam genggamanNya pada hari kiamat, dan langit digulung dengan tangan kananNya. Maha Suci Dia danMaha Tinggi Dia daripada apa yang mereka sekutukan.
Az-Zumar, 39:65-67
Jika di dalam solat, hilang rasa diri hamba, tidak membesarkanNya. Hadir dalam solat tanpa hati yang tunduk padaNya. Bagaimana untuk menjemput pertolonganNya?
***
Allah, aku sungguh-sungguh memerlukanMu
Bantu aku menjemput pertolonganMu dengan solat yang khusyu’.
Di saat sempit jiwa raga, sesak mencari bantuan manusia meskipun tiada siapa yang mampu meringankan kesulitan yang dihadapi, Engkau sentiasa hadir, sudi menerima kehadiran hambaMu ini di setiap solat yang Engkau fardhukan. Di saat tiada manusia yang sudi mendengar rintihanKu, Engkau sentiasa ada menerima aduan pilu hambaMu yang sangat memerlukanMu
Ya Rahman, Ya Rahiim, jadikanlah solat penyejuk mataku, penawar dukaku, penghapus dosaku, penghilang segala bebanan yang memberatkan belakangku. Bantu aku untuk terus berharap hanya padaMu.
Ya Allah, bantu aku untuk mengenaliMu.
***
Catatan nota kuliah Ust Abdul Muein “Kursus Kesempurnaan Solat”
Video FB live :
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1943824222541624&id=1732340337023348