Tadabbur Tazakkur

Tafakkur al-ayaat

Pagi yang redup, umat Islam negara itu masih meraikan Hari Raya Syawal. Sungguh, ini kejutan buat teman-teman yang datang menziarahi dari negara Amerika untuk program pengajian Al-Quran.

“Kalau nak rasa kemeriahan syawal, datanglah Malaysia.” Dia berseloroh.

Petang itu, usai kelas pengajian, salah seorang memberikan cadangan.

“Petang ni kita ziarah Tuan Zaid di rumahnya lah. Sebab sepanjang di Malaysia ni, semua ‘barang’ dia kita guna.”

– “Tu lah, kita pinjam kereta tanpa bayaran. Tidur di rumah dia lah. Sepanjang kelas teringat-ingat pada dia sebab dia yang sponsor kita belajar ni. ”

“Macammanalah tak ingat pada dia. Semua ni barang dia. Sebelum ke rumah dia, kita hantar basuh kereta dulu boleh? Malu lah kereta dia kotor.”

– “Baik!”

 

***

Menghargai insan yang banyak berbakti?

Pasti.

Jiwa fitrah manusia sensitif untuk menghargai manusia yang banyak berbakti.

Lebih-lebih lagi seandainya barang-barang yang dia kurniakan menyelubungi setiap sisi kehidupan.

Dan bagaimana seorang hamba itu merespon kepada TuhanNya yang telah mengurniakan segala-galanya untuk kehidupannya?

اللَّهُ الَّذِي رَفَعَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ۖ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ ۖ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ يُدَبِّرُ الْأَمْرَ يُفَصِّلُ   الْآيَاتِ لَعَلَّكُم بِلِقَاءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ –

Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan; Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Dia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu.

Ar-Ra’d, 13 : 2

Jiwa manusia yang meyakini pertemuan dengan Tuhan, bertitik tolak daripada jiwa yang peduli memikirkan apa yang dinikmatinya saban hari.

Saat melangkah kaki keluar dari rumah, terasa cahaya mentari menerangi alam sejagat. Mengakui diri ini berada dalam lautan cahayaNya yang tiada batasan.

“Allah, terima kasih atas matahariMu. Dengannya, aku beroleh siang.”

Teruskan perjalanan menuju destinasi. Memandang ke langit yang masih utuh tanpa tiang.

“Allah, terima kasih atas langitMu. Melindungi kami yang kerdil ini daripada segala yang tidak diketahui dari angkasa lepas.”

Bahkan saat mendirikan solat, pandangan mata yang mampu melihat dengan jelas tikar sejadah yang terhampar, mengingatkan diri yang sedar bahawa ini semua menjadi mampu kerana limpahan cahaya matahariNya.

Tanpanya, dunia ini gelap.

Merasai hadirnya Tuhan setiap ketika kerana makhluk-makhlukNya (alam semesta) membuktikan kehadiranNya.

“Ya Allah, kami hidup dalam lautan nikmatMu tanpa henti.”

Belumkah hadir rasa tunduk khusyu’ ? Seandainya jiwa itu sentiasa sedar akan posisi diri hamba yang setiap masa bergantung pada kurniaanNya berupa langit, matahari, bulan, buah-buahan dan segalanya yang tidak terhitung, pasti sedar bahawa suatu hari nanti, diri ini akan menghadap Dia yang mengurniakan semua ini.

Dengan itu, hadirlah khusyu’ yang bermula dengan keyakinan kepada pertemuan denganNya.

Dan mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. Dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyu’. (iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka , dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

Al-Baqarah, 2 : 45-46

 

***

Teka-teki Al-Quran.

Bila satu ayat Al-Quran, dijawab pada ayatNya yang lain.

1. Bagaimana nak jemput pertolongan Allah?

-Dengan Sabar dan Solat yang khusyu’ (2:45)

2. Bagaimana nak mengerjakan solat yang khusyu’?

-Kena yakin pertemuan denganNya dan akan kembali kepadaNya. (2:46)

3. Bagaimana nak yakin pertemuan denganNya?

– Kena tafakkur ayat-ayatNya (tanda-tanda kekuasaanNya) (13 : 2-3)

 

***

p/s sambungan Ar-Ra’d,13 : 3. Jom, tadabbur!

Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.

 

One thought on “Tafakkur al-ayaat

  • Aiman La Yubali

    Alhamdulillah….bumi ini luas untuk menampung hambaNya yang sungguh byk diatas bumiNya…

    Gunung ganang yang kukuh memberikan perlindungan kepada kita daripada bencana…

    Sungai-sungai merupakan sumber asas iaitu air untuk keperluan hidup serta buah-buahan…

    Allah kurniakan pasangan kepada buah-buahan agar nikmat ini berterusan…

    Siang untuk berkerja dan mencari rezeki yang sedia ada….malam untuk bersama dengan lebih rapat kepada Allah serta beristirehat…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.