Tadabbur Tazakkur

Aku yang menentukan imamku

Dia, di hadapanku.

Dan aku, terus mengikutinya dari belakang.

Dan aku, terpaksa terus mengikutinya dari belakang.

Dan aku, tanpa mampu menukar ganti, terpaksa terus mengikutinya dari belakang.

“Tolong! Jangan bawa aku ke neraka!”

Dia, imam yang nyata ( إِمَامٍ مُّبِينٍ )

Dia yang akan menentukan arah tujuku ke syurga atau ke neraka.

Dan aku, terpaksa terus mengikutinya.

Dia, kitab amalku.

إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ

Sesungguhnya, hanya Kamilah yang menghidupkan orang-orang yang mati dan Kamilah yang mencatat apa yang telah mereka kerjakan dan kesan-kesan yang mereka (tinggalkan). Dan segala sesuatu Kami hitung dalam imam yang nyata. 

Yaseen, 36 : 12

 

***

 

“Buat apa tu?”

– “Heh. Lepak. Kau buat apa?”

“Bosanlah. Jom keluar.”

– “Jom!”

Hidup ini seharusnya tidak kenal erti sia-sia. Tidak seharusnya ada ruang untuk membuang masa. Kerana bahkan setiap zarah amalan akan dihitung dan dicatat oleh malaikat yang mulia.

(Ingatlah) ketika dua malaikat mencatat (perbuatannya), yang satu duduk di sebelah kanan dan satu lagi di sebelah kiri. Tidak ada suatu perkataan yang diucapkan kecuali ada di sisinya malaikat pengawas yang teliti mencatat.

Qof, 50 : 17-18

Bayangkan sahaja seandainya majikanmu memaklumkan sebegini

“Mulai hari ini, syarikat berbesar hati untuk terus memberikan gaji tiga kali ganda kepada mana-mana pekerja yang berkerja di luar waktu pejabat. Setiap pekerjaanmu akan diambil kira walaupun di luar waktu pejabat.”

Agak-agaknya apa respon para pekerjanya?

Pasti mahu mengambil mana-mana peluang yang tersisa untuk diberikan gaji. Terus berkerja selanjutnya menagih gaji yang dijanjikan. Andai ada sahaja masa kosong dan tersisa, lebih memilih untuk membuat kerja kerana kesemuanya dinilai oleh majikan dan mendatangkan hasil yang lumayan.

Begitu tingginya iman para pekerja terhadap majikannya.

Bagaimana iman seorang hamba terhadap janji Tuhan? Bahkan setiap zarah tindakan akan dihitung dan dibalas. Seandainya berat timbangan kebaikan, syurgalah tempatnya. Tetapi andai sebaliknya, sehingga tenggelam dalam dosa, nerakalah tempat yang selama-lamanya.

Dan ini janji yang benar, terus dan terus dicatat oleh malaikat yang mulia. Sedangkan malaikat itu sentiasa hadir setiap waktu. Meskipun ketika itu diri memilih untuk termenung membuang masa, melepaskan peluang-peluang masa daripada diisi amal yang diredhaiNya.

Dan tidaklah engkau berada dalam suatu urusan, dan tidak membaca suatu ayat Al-Quran serta tidak pula kamu melakukan sesuatu perbuatan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu ketika kamu melakukannya. Tidak hilang lenyap sedikitpun daripada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah, baik di bumi mahupun di langit. Tidak ada sesuatu yang lebih kecil dan yang lebih besar daripada itu, melainkan semuanya tercatat dalam kitab yang nyata.

Yunus, 10 : 61

“Tapi, saya selalu lupa yang malaikat sentiasa mengawas. Bagaimana nak sentiasa sedar? Supaya saya takut bermalas-malasan kerana ada makhluk Tuhan yang sentiasa mencatat.”

Kerana Al-Quran itu jauh dari hidup. Mana mungkin keimanan kepada perkara yang ghaib dapat tumbuh dalam jiwa, seandainya sumber Qalam Tuhan turut jauh dari hati.

Keimanan kepada majikan sehingga terbit keyakinan dan kepercayaan terhadap apa yang dikatakannya, tumbuh kerana seorang pekerja itu acapkali menemui dan mendengar bicara majikannya. Berkali-kali mendengar arahannya, lantas segera mengikuti kerana meyakini kesan andai tidak mengikuti.

Keimanan kepada Allah, malaikat dan Hari Pembalasan juga hanya akan subur apabila jiwa manusia itu peduli berdampingan dengan Qalam Tuhan sehingga corak pemikirannya meyakini Akhirat itu realiti dan malaikat itu benar-benar ada di sisinya.

 

***

Iman kepada majikan yang memberikan gaji di dunia.

atau iman kepada Allah yang mengurniakan syurga yang abadi.

 

Antara dua ini, kebanyakan manusia lebih sulit meyakini yang kedua. Iman kepada majikan tidak tersenarai dalam rukun iman. Tetapi, setiap muslim seakan-akan menjuarai dalam membuktikan imannya kepada majikan dengan sikap yang patuh terhadap apa yang disuruh serta yakin akan gaji atau bonus yang akan diberikan. Lalu terus bertindak menjadi pekerja yang produktif dan rajin.

Sedangkan tuntutan iman kepada Allah, malaikat, hari pembalasan, qada’ dan qadar, kesemuanya sepi ditinggalkan.

Bibir menyatakan percaya kepada Allah, namun ketika disajikan perbuatan yang disukai hawa nafsu, lalu kehendak diri lebih ditaati berbanding ketaatan kepada Allah.

Lidah menuturkan percaya kepada Hari Pembalasan, namun detik-detik waktu 24 jam setiap hari tidak tergambarkan tindakan persiapan bertemu dengan Raja Hari Pembalasan.

Mulut berbicara percaya kepada malaikat, namun setiap detik waktu dihabiskan dengan perkara-perkara “kosong” tidak bermakna, tidak menghiraukan hadirnya malaikat yang sentiasa mencatat walau sekecil-kecil perbuatan. Tidak pernah terjentik rasa malu terhadap dua malaikat kiri dan kanan yang sentiasa mengawasi. Tidak menghiraukan kehadirannya.

Dan diletakkan kitab (catatan amalan), lalu engkau akan melihat orang yang berdosa merasa ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata “Betapa celakanya kami, kitab apakah ini, tidak ada yang tertinggal, yang kecil dan yang besar melainkan tercatat semuanya” dan mereka mendapati (semua) yang telah mereka lakukan (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menzalimi seorang pun.

Al-Kahf, 18 : 49

 

 

“Iman! Awak kat mana?”

Sudah berlalu separuh usia, mengapa tindakan masih sama seperti orang yang tidak beriman? Masih suka berehat-rehat. Berat untuk saling membantu dan memberi. Tidak laju mengejar amal soleh. Masih tidak mengetahui apa yang dibicarakan Tuhan.

“Eh, Apa yang ada dalam Al-Quran sebenarnya?”

Sedangkan syarat menjadi orang yang beriman adalah peduli memahami Al-Quran. Tanpanya, mana mungkin seseorang itu beriman?

Orang-orang yang telah Kami berikan kitab, mereka membacanya sebagaimana yang sepatutnya, mereka itulah yang beriman kepadanya. Dan barangsiapa ingkar kepadanya, mereka itulah orang-orang yang rugi.

Al-Baqarah, 2 : 121

 

“Eh, takkanlah hanya kerana tak baca Quran, jadi orang yang tidak beriman? “

Sensitif dengan soalan ini?

Mari renung sejenak.

Bagaimana pendapatmu akan sikap seorang anak yang sentiasa buat endah tak endah kata-kata ibu bapanya. Setiap kali ibu bapanya berbicara, dia memilih untuk lari dan enggan mendengarnya.

“Haish, itu anak kurang ajar.”

Bicara ibu bapa sahaja dianggap penting untuk dihormati si anak-anak.

Bagaimana pendapatmu dengan bicara Tuhan yakni Al-Quran. Apakah pendapatmu tentang seorang hamba yang sentiasa “lari” daripada hadir kelas-kelas tadabbur yang mendidik memahami kata-kata penciptaNya. Dan setiap kali ada yang ingin menyampaikan walau satu ayat daripada QalamNya, dia berdolak-dalih “Maaf, saya sibuk! Tak sempat nak dengar.”

Siapa yang lebih teruk?

Seorang anak yang enggan mendengar bicara ibu bapanya. Atau seorang hamba yang enggan mendengar kata-kata Tuhannya?

Dan akan tiba suatu waktu. Segala perbuatanmu di dunia dipersembahkan di hadapanmu satu persatu.

Dan setiap manusia telah Kami kalungkan (catatan) amalan perbuatannya di lehernya. Dan pada Hari Kiamat Kami keluarkan baginya sebuah kitab dalam keadaan terbuka. “Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada hari ini yang menghisabnya.”

Al-Isra’, 17 : 13-14 

Saat itu, cukuplah kitabmu menjadi imammu. Andai baik kandungannya, ia akan menuntunmu ke pintu syurga. Namun andai sebaliknya, tiada lagi ruang berpatah balik dan ia akan terus memimpinmu ke pintu neraka.

Justeru, mulai hari ini, tentukanlah siapa imammu di akhirat.

Dengan waktu yang berbaki, penuhilah ia dengan usaha memperelok dan memperindah kitab amalanmu.

Sedari saat ini, ada dua malaikat yang sedang mengawasimu, mencatat amalmu tanpa henti.

One thought on “Aku yang menentukan imamku

  • Wan Maslukma

    Terima kasih atas nasihat yang penuh bermakna

    Reply

Leave a Reply to Wan Maslukma Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.