Tadabbur Tazakkur

Saya layak mengharap rahmatNya?

“Dina, hujung tahun nanti kau nak harap dapat bonus berapa bulan gaji?”

-“Biasa syarikat ni bagi berapa? Aku kan staf baru, mana tahu.”

“Bonus ikut prestasi pekerja. Ikut points. Ada yang dapat 3 bulan gaji, ada yang sebulan setengah gaji. Ada yang tak dapat langsung.”

-“Haih. Biar betul. Tak sama ke untuk semua orang.”

“Tak lah, syarikat ni lain sikit.”

-“Cane nak dapat sampai bonus 3 bulan gaji tu.”

“Punch card tak boleh merah, sentiasa datang awal. Lepas tu kena buat inovasi dalam bidang kita, buat perkara baru yang menyumbang kerja yang efisien dan lebih produktif.”

-“Adoi. Tinggal 3 bulan je lagi sebelum tahun depan. Sempat tak nak buat semua tu?”

“Kau buat je dan mengharaplah dapat bonus banyak-banyak. Mana tahu boss sayang kau dan bagi lebih lagi.”

-“Kena mengharap sungguh-sungguh nih!”

***

Sebuah pengharapan seringkali disertakan dengan tindakan yang memenuhi syarat-syarat pengharapan.

Misalnya, seorang pelajar lepasan sekolah menengah yang mengharap menempati universiti tersohor, akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM. Kerana itulah syarat mengharap lulusnya permohonan kemasukan universiti.

Seorang lelaki yang mengharap lamarannya diterima wanita pilihan hatinya, akan berusaha sepenuh kudratnya agar memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki wanita tersebut. Kerana itulah yang memungkinkan lamarannya diterima.

Seorang yang berharap tanpa berusaha memenuhi syarat-syaratnya, ibarat Mat Jenin. Berangan-angan semata-mata tetapi tidak layak sekalipun untuk mengharap kerana tindakan usahanya menafikan “kelayakan” untuk mengharap.

Dan seperkara yang harus disedari seorang mukmin, pengharapan terbesar seorang hamba kepada Tuhan adalah rahmatNya. Itulah pengharapan terbesar kerana melalui rahmatNya, seorang mukmin meraih keselamatan di dunia dan akhirat. Bahkan itulah yang memungkinkan dirinya menapak kaki ke syurga. Persoalannya, “Sudahkah saya memenuhi syarat-syarat untuk mengharap rahmatNya?”

“Chup! Sebelum tu, ‘rahmat’ tu apa? Tak dapat gambarkan.”

Bahkan, rahmatNya memang tak dapat digambarkan. RahmatNya sangat besar. Untuk memahami ini, mari telusuri kisah pemuda kahfi untuk memahami erti rahmatNya.

Dan apabila kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu, nescaya Tuhanmu akan melimpahkan sebahagian rahmatNya kepadamu dan menyediakan sesuatu yang berguna untukmu dalam urusanmu.

Al-Kahf, 18 : 16

Renung dalam-dalam ayat ini. Pemuda Kahfi dijanjikan rahmatNya saat sulit berhijrah meninggalkan segala-galanya demi menyelamatkan iman. Dapat bayangkan sebagaimana besarnya rahmat Tuhan?

Mereka fokus bermohon kepada Tuhan akan rahmatNya.

إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا –

(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu berlindung di dalam gua lalu mereka berdoa “Ya Tuhan Kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami.”

Al-Kahf, 18 : 10

Pemuda Kahfi tahu mereka pergi ke suatu tempat yang belum pasti rezekinya, belum pasti di mana mendapat makanan, tetapi mereka tidak meminta rezeki dari Tuhan. Mereka memohon mengharap rahmatNya. Lalu, Allah memberikan mereka “hidup” selama 309 tahun tanpa rasa lapar dan tanpa perlu pada sebarang makanan. Besarnya rahmat Allah kepada pemuda kahfi.

Mereka tahu bahawa mereka diburu penduduk negerinya yang ingkar dan mereka tahu mereka dalam bahaya. Tetapi, mereka tidak memohon keselamatan. Bahkan, mereka memohon dan mengharap rahmat Tuhan. Lalu Allah mengurniakan keselamatan bagi mereka sehingga mereka tidur selama 309 tahun tanpa diancam sebarang manusia, tanpa sebarang sakit belakang dan tanpa “bed sores” seperti kebanyakan pesakit strok yang terlantar baring di katil bertahun-tahun.

Dapat bayangkan betapa besarnya rahmat Tuhan? Sungguh, rahmat Tuhan itu memang tidak dapat digambarkan. Sudahkan mengharap dan bermohon rahmat Tuhan?

“Owh.. saya tak terfikir nak berdo’a bermohon rahmat Tuhan.”

-“Aik? bukan setiap kali solat, awak minta rahmat ke?”

“Eh. Ada ke? Alamak. Nampak sangat tak faham apa dibaca dalam solat.”

Doa yang diungkapkan dalam solat, permohonan rahmatNya, apakah doa ini dilafazkan seorang mukmin dalam keadaan dirinya layak mengharapkan rahmat Tuhan? Sudahkah terpenuhi syarat-syarat yang melayakkan seorang hamba itu bermohon dan mengharap rahmat Tuhan?

 

***

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ –

Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan berhijrah dan mereka berjihad pada jalan Allah, itulah mereka yang mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Al-Baqarah, 2 : 218

3 syarat yang harus terpenuhi jika benar seorang manusia itu mahu mengharapkan rahmat Tuhan. Tanpanya, pengharapan dan doa yang diungkapkan ibarat angan-angan dan bahkan seolah-olah senda gurau yang tidak serius dalam menggapainya.

Doa yang main-main?

Pertama, jadilah orang yang beriman.

Bilakah seseorang itu benar-benar dikatakan beriman? Beriman itu tandanya mengesakan Tuhan dalam segala urusan. Niatnya tulus kerana Tuhan tanpa tercemari dengan kehendak-kehendak peribadi. Misalnya, tanyakan kepada manusia yang hanya hadir ke masjid pada bulan Ramadhan tetapi sulit menjejakkan kaki ke masjid pada bulan-bulan lain.

“Kenapa hanya ke masjid pada bulan Ramadhan sahaja? Tidak pada bulan-bulan lain? Anda beramal untuk pahala atau untuk redha Allah?”

Selain ketulusan niat dalam tindak-tanduk, iman itu juga tandanya hanya mengabdikan diri kepada Allah. Tanda pengabdian seorang hamba kepada Allah adalah dengan ketaatannya memahami Al-Quran lalu mengikutinya selari dengan ajaran Rasulullah. Misalnya, tanda seorang ibu bapa mengabdikan diri kepada Allah adalah peduli mendidik anak untuk mendirikan solat seawal usia 7 tahun, dan menghukumnya pada usia 10 tahun. Bukan sesuka hati marah dan pukul tanpa dididik pada usia 7 tahun.  Ini adalah salah satu tanggungjawab yang digariskan dan ketaatan dalam mengamalkannya adalah bukti pengabdian diri kepada Allah.

Syarat kedua untuk mengharap rahmatNya adalah BERHIJRAH.

Berhijrah itu secara bahasanya adalah “Meninggalkan.”

Apa yang ditinggalkan?

Tinggalkan :

  1. Tempat. Hukumnya boleh jadi wajib, sunat dan haram. Meninggalkan sesuatu tempat menjadi wajib tatkala keadaan di tempat tersebut mengancam iman dan menghalang pengabdian diri kepada Allah. Lalu, berhijrah itu menjadi keutamaan kerana iman adalah perjuangan utama untuk ditegakkan. “Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! sesungguhnya, bumiKu luas, maka abdikanlah diri kepada Aku sahaja.” (Al-‘Ankabut, 29 : 56)
  2. Maksiat. Meninggalkan maksiat pula, hukumnya hanya satu iaitu Wajib.

Pastinya setiap kita sedari, proses melakukan hijrah itu bukannya mudah. Perlukan pengorbanan. Perlukan kesabaran. Dan ini semua menuntut kesungguhan jihad.

Dan sememangnya syarat ketiga untuk layak mengharap rahmat Allah adalah dengan menjadi golongan yang BERJIHAD.

Seorang yang terperangkap dalam sistem kerja yang menghalang dirinya daripada taat kepada Tuhan harus koreksi diri. Seberapa lama lagikah dirinya sanggup meninggalkan solat atau tidak menutup aurat kerana tempat kerjanya menghalang daripada pelaksanaannya?

“Eh, tapi itu sumber rezeki saya. Mana boleh terus tinggalkan dan berhijrah padahal saya tak pasti bagaimana nasib masa depan saya.”

Bukankah pemuda kahfi juga tidak pasti akan masa hadapan mereka? Mereka tidak pasti akan keselamatan nyawa dan rezeki. Namun 3 syarat yang telah terpenuhi iaiti BERIMAN, BERHIJRAH dan BERJIHAD, ini memungkinkan pemuda kahfi layak meraih rahmat Tuhan. Dan siapa sangka Allah menyelamatkan mereka kesemuanya dengan rahmatNya yang besar.

Mahu meraih rahmatNya?

“Tapi, untuk buat semua ini bukan mudah. Saya takut!”

Pasti kesemua ini memerlukan jihad. Meninggalkan sumber pergantungan selainNya perlukan jihad. Meninggalkan maksiat juga perlukan jihad. Mahukah mendengar janji Tuhanmu terhadap golongan yang sanggup mujahadah, bersungguh-sungguh menghadapi ujian ini?

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, SESUNGGUHNYA Kami PASTI akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat baik.

Al-‘Ankabut, 29 : 69

Pemuda kahfi adalah teladan terbaik untuk kita yakini akan hadirnya pertolongan Tuhan buat mereka yang peduli memelihara iman lalu sanggup BERHIJRAH dan BERJIHAD. Dan rahmat terbesar mereka adalah keselamatan iman sepanjang hidup. Selama 309 tahun di dalam gua, mereka tidak bermaksiat. Mereka tidak mengumpat, mereka tidak membuang masa. Dan itulah rahmat terbesar dan akhirnya mereka selamat menjadi calon syurga yang kekal buat selama-lamanya.

Apakah ada lagi Rahmat terbesar selain selamat daripada api neraka?

Jadi, pilihan terbentang di hadapan anda. Mahu memenuhi syarat-syarat kelayakan mengharap rahmatNya, atau masih mahu menjadi golongan yang tersingkir daripada mengharap rahmatNya?

 

__________________________________

Catatan nota “Hijrah & Kesabaran”

Disampaikan oleh Ust Abdul Muein Abd Rahman.

 

5 thoughts on “Saya layak mengharap rahmatNya?

  • Noraidah Abdullah

    Wow…sgt bermanfaat tulisan ini..moga penulisnya dirahmati..begitu jg ustz y menyampaikn…dirahmati dan diredhai…

    Reply
    • Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaanNya.
      Terima kasih sahabat-sahabat Al-Quranku yang berterusan mengajarku.

      Reply
  • Ummu Aishah

    Jazakillahu khayr atas nota ini. Uhibbuki fillah

    Reply
  • K.laila

    Tahniah Ayat krn telah beramal dgn apa yg dipelajari yakni meninggalkn “Athar” dpd ilmu yg dipelajari dan terus disampaikan.

    Reply
    • Moga-moga benar-benar menjadi athar. Dengan syarat penulis mengamalkan apa yang dituliskan.
      3 kata kunci di sini yang perlu terus dibuktikan – iman, hijrah dan jihad.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.