Isteri menafkahi suami
“Kalau kalian jadi wanita-wanita zaman dahulu, kena kahwin jadi isteri kedua atau ketiga pun kalian akan sanggup.”
Panas telinga mendengarnya.
Ada yang tergelak mendengarnya.
-“Kenapa ustaz?”
“Orang zaman dulu, lelakinya sepakat menerima yang nafkah keluarga tu tanggungjawabnya. Sebelum nak menikah lagi memang dah fikir awal-awal dan persiapkan rumah segala bagai. Itu kefahamannya. Tapi, wanita-wanita zaman sekarang, sebelum nak nikah, kena fikir pasal cari kerja dulu. Sebab tahu bakal suami tak semestinya nak bagi duit.”
Aish. Terpukul sekali. Ada kebenarannya. Memang majoriti teman-teman yang sudah bertunang datang mengadu risau kerana belum punya kerjaya.
“Nanti dah dapat kerja, baru fikir tarikh nikah.”
Sampai ke tahap begitu norma masyarakat? Dan semua memang sudah sebati yang nafkah itu tak semestinya si suami kena beri?
Baru-baru ini kecoh pula di kalangan netizen tatkala peguam shariah muda membongkar kes-kes rumahtangga yang semakin parah di bumi bertuah ini. Isu nafkah keluarga mendominasi bilamana isteri di”paksa” menyara kehidupan keluarga termasuklah si suami. Apa yang lebih pelik bila si suami terkejut bahawa nafkah isteri adalah tanggungjawabnya mengikut ajaran Islam.
“Sebab tu saya nak minta cerai. Sekurang-kurangnya kurang seorang lelaki yang saya kena tanggung.”
Begitu keluh isteri.
Aneh.
Seandainya suami enggan memberi nafkah, lalu pernikahan itu untuk apa?
Suami yang tidak membenarkan isteri berhenti kerja itu sudah menjadi perkara biasa. Meskipun isteri memberi alasan tidak sampai hati melepaskan 3 anak yang kecil-kecil ke pusat jagaan kanak-kanak. Mengejar “keperluan” melangsaikan hutang itu lebih prioriti kerana hutang rumah, kereta dan macam-macam kesemuanya memerlukan komitmen kedua-dua suami dan isteri untuk menghadapinya. Memang tidak dinafikan kemelut ekonomi memaksa setiap pasangan berhempas pulas meraih wang yang cukup setiap bulan. Namun, memang begitukah panduan Tuhan kepada kita dalam menghadapi hidup yang sementara ini? Memang beginikah hidup yang harus ditempuh sehingga ke akhir hayat?
Membaca paparan-paparan isu rumahtangga akhir-akhir ini mengingatkan diri akan satu ayat yang pernah dibaca suatu ketika dahulu. Tiba-tiba rasa terpukul dengannya. Cuba bertanya mengapa dan mengapa.
Ayat ke-24 dari surah An-Nisa’ ini menjadi panduan dalam menentukan motivasi kaum Adam untuk menikah.
Apakah motivasi untuk menikah wahai bakal para suami?
Allah membongkar bahawa ada dua tujuan seorang lelaki menikahi wanita. Sama ada untuk menjadi muhshinin atau menjadi musaafihiin.
Ada dua isim fa’il yang perlu difahami dalam ayat di atas iaitu.
Muhsinin (Root letter = Ha, Sod, Nun. Sarf family 4)
dan
Musafihin (Root letter = Sin, Fa, Ha. Sarf family 3 )
Hans-Wehr Dictionary. Muhsin |
Tentang Muhsinin, ada beberapa maksud. Yang pertama, golongan yang memelihara kesucian diri. Maksud kedua, adalah mereka yang peduli menyediakan “Fort”. Semacam satu tempat yang kebal, immunized, penuh perlindungan dan penuh dengan segala keperluan hidup. Melindungi yang dilindungi dan menyediakan keperluan hidup (asas) untuk memastikan keberlangsungan hidup mereka yang dilindungi.
Lane’s Lexicon – Musaafihiin |
Lane’s Lexicon. Musaafihiin |
Musafihiin adalah mereka yang berhajat pada wanita hanya untuk melempiaskan hawa nafsunya.
Bukan untuk menjaga wanita, bukan untuk melindunginya.
Justeru, golongan seperti ini meskipun sah menjadi suami atas tiket pernikahan, tapi sikapnya kepada isterinya tak ubah seperti perempuan simpanan. Hanya mendatanginya bila berhajat tanpa peduli memberi nafkah makan minum dan pakaian. Yang lebih parah, memaksa si isteri untuk menafkahinya.
______________
Pening.
Dunia akhir zaman.
Sebenarnya, apa punca masalah semua ini?
Bila hidup “Suka hati akulah!”. Tak perlu rujuk panduan Tuhan. Tak pernah kisah apa yang Robb bicarakan dalam Al-Quran. Tidak terdetik hati insaf tatkala si peguam shariah mengemukakan dalil bertubi-tubi akan tindakannya yang tidak selari dengan ajaran Islam.
Tidak memberi nafkah bukan punca masalah rumahtangga. Itu masih sekadar symptom atau tanda-tanda kepada punca masalah yang lebih besar.
Punca utama adalah tidak mengaku diri hamba, tidak merasa hidup bertuhan, tidak mengenali siapakah Rabb lalu tidak terlintas di fikiran untuk peduli memahami kata-kata Tuhan. Justeru, tebarkanlah segala dalil-dalil Quran mengenai isu-isu rumahtangga, apakah jiwanya mahu tiba-tiba tunduk? Atau memandang ayat Quran sekadar dengan hujung mata tanpa terlintas di hati untuk mengikutinya.
An-Nisa’, ayat 24.
Sudahkah beriman dengannya?