TANYA

Pelbagai jenis pertanyaan atau persoalan yang timbul dalam fikiran kita dan pertanyaan demi pertanyaan yang berlaku seputar kehidupan kita.

Contohnya diberi situasi. Seorang ibu menyuruh anaknya si A dan si B memasak nasi.

Anak A sudah berumur 12 tahun, dan pernah memasak nasi sebelum ini. Persoalan si A yang ditujukan kepada ibu.

“Ibu, ni nak masak berapa pot/kopi? Ibu, berapa lama nak tunggu? Ibu boleh kakak buat sekejap lagi?”

Anak B pula, baru berumur 10 tahun dan tidak pernah mempunyai pengalaman melakukan kerja itu sebelum ini. Persoalan si B.

“Ibu, macamana nak tahu nasi dah masak ke belum? Adik tak pernah masak sebelum ni.”

Nampak perbezaan antara pertanyaan si A dan si B?

Si anak B bertanya untuk ambil tahu supaya dia terus boleh mengambil tindakan kerana dia belum punya pengalaman memasak sebelum ini. Anak A pula bertanya dengan maksud sebaliknya iaitu supaya dia boleh mengelak dari terus melakukan suruhan.

….

Allah highlight kan kedua-dua jenis situasi pertanyaan ini dalam al-Quran. Dan sebenarnya situasi itulah juga yang menjadi jurang besar antara pertanyaan yang dibuat oleh Malaikat dan Iblis kepada Allah ketika penciptaan Nabi Adam as.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” (al-Baqarah 2:30).

Malaikat bertanya mahukan jawapan rasional. Bertanya kerana para malaikat benar-benar tidak tahu apakah tujuan penciptaan manusia di bumi. Kerana, dalam pengetahuan malaikat sudah ada makhluk di bumi sebelum ini yang hanya menumpahkan darah sedangkan, mereka sentiasa bertasbih memuji Tuhan.

Iblis juga membuat pertanyaan kepada Allah tentang Nabi Adam as.

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?” (al-Israa, 17:61)

Iblis bertanya bukan mahukan jawapan. Tetapi kerana merasakan dirinya ‘serba bagus’. Dia, Allah ciptakan dari api. Manakan mungkin mahu bersujud kepada makhluk yang Allah ciptakan dari tanah?

Bertanya dan melontar persoalan itu tidak salah. Tapi, harus dimuhasabah kerana apa?

“Kerana aku benar ingin tahu atau aku ingin merasa diriku hebat dan serba tahu?”

Situasi lain, perbezaan pertanyaan yang dibuat oleh golongan kaum Yahudi yang ingkar kepada Nabi Musa as dan golongan para sahabat kepada Nabi Muhammad saw.

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya) (al-Baqarah, 2:215)

Para sahabat bertanya tentang bagaimana metod yang terbaik untuk membelanjakan harta. Seterusnya, Nabi Muhammad saw menjawab pertanyaan itu berdasarkan wahyu yang diperoleh dari Allah swt.

Tidak ketinggalan, kaum Yahudi juga bertanya kepada Nabi Musa a.s.

Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya” (al-Baqarah, 2:68)

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya” (al-Baqarah, 2:69)

Pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan kepada Nabi Musa. Bukan bertujuan untuk melakukan dan bertindak tapi untuk culas dan melambat-lambatkan tugas.

Banyak songeh!

Orang yang banyak bertanya untuk merasa diri bagus dan culas dari tugas, kesannya lama kelamaan hatinya menjadi keras sebagaimana kaum Yahudi yang diberi kitab tetapi tetap sombong dan culas dari tugas.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka (al-Hadid, 57:16)

Islam ini agama rasional. Bertanyalah sebanyaknya. Tentang TuhanMu, tentang ciptaanNya, tentang dirimu. Namun, harus diteliti sebelum engkau bertanya.

Engkau bertanya untuk apa?

Aku Bertanya kerana benar ingin tahu atau bertanya kerana engkau ingin merasa diri serba tahu?

Aku bertanya untuk melakukan tugas atau aku bisa culas dari tugas?

*Artikel ini juga adalah perkongsian dari kelas tadabbur oleh Dr Muhammad Faisal Ashaari di Pusat Islam UKM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.