“Abang tak takut api neraka ke buat macamni?!”

“Cepat solat! Kalau tak nanti Allah marah!!”

“Abang tak takut api neraka ke buat macamni?!”

“Nantikan.. kat akhirat Allah seksa kakak sebab tak ikut cakap ibu..”

…..

Pengenalan tauhid kepada anak-anak adalah sangat penting bermula usia setahun jagung lagi. Pengenalan kepada Allah dan tauhid membentuk seorang anak yang kuat dalamannya dan teguh jati diri. Kesannya, si anak lebih jelas mengapa dia hidup di muka bumi ini dan dia tahu ke mana pengakhirannya.

Namun, bagaimana sebenarnya ‘Allah’ yang harus kita perkenalkan pada anak-anak ini?

Kita sering dengar bahawa anak-anak ini dilahir dalam fitrah. Suci. Maksudnya, di dalam hati mereka Allah sudah letakkan rasa bertuhan. Kerana itu fitrahnya.

Namun, pembentukan tauhid yang mungkin kurang tepat atau salah dari kita melahirkan ‘Allah’ yang negatif di mata anak-anak. Allah yang marah, Allah yang menakutkan, Allah yang berkuasa. Allah yang menyeksa.

Benar, dalam nama-nama Allah yang baik (asmaul husna) ada juga al-Aziz (Yang Maha Berkuasa) al-Jabbar (Maha Kuat), al-Mutakabbir (Maha Megah). Namun, jika dilihat dalam al-Quran berapa banyak sahaja nama-nama Allah yang sebegitu disebut?

Malah, Allah lebih memperkenalkan diriNya dengan ar-Rahman ar-Rahim (Maha Pengasih Maha Penyayang)

Contohnya, kita boleh lihat dalam surah yang diulang-ulang 17 kali sehari iaitu surah al-fatihah. Allah memperkenal diriNya dua kali sebagai ar Rahman dan ar Rahim.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (al-Fatihah, 1:1)

Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (al-Fatihah:1:3)

Tiada satu pun nama Allah yang menakutkan/ mengancam kecuali al-Maalik pada ayat keempat surah ini.

Sedangkan kita, memperkenal Allah kepada anak-anak dengan al-Jabbar (Maha Kuat), al-Qahhar (Maha Pemaksa).

Kerana, kita mendidik anak-anak, dengan rujukan siapa sebenarnya? Rujukan tokoh barat? Rujukan ibu bapa terdahulu? Rujukan al-Quran? Atau tiada rujukan langsung.

Jika merujuk al-Quran, perhatikan bagaimana metodologi yang digunakan oleh Luqman ketika menasihati anaknya dengan nasihat tauhid.

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. (Luqman, 31:13)

Di dalam ayat ini, Luqman menasihati anaknya supaya mentauhidkan Allah iaitu ‘jangan syirik’.

Mari bertadabbur pada ayat ini.

  • Pertama, tadabbur kepada panggilan Luqman kepada anaknya.

Luqman menasihati anaknya dengan penuh kasih sayang kerana itu dipanggil anaknya dengan ‘wahai anak kesayanganku’. Ia menunjukkan bahawa dalam memberi peringatan, perlu juga diselami dengan perasaan kasih sayang.

Ketika proses memperkenalkan anak-anak kepada Allah, panggillah mereka dengan panggilan kasih sayang dan nama yang baik.

“Kakak, tak baik buat macamni. Sebab Allah sayang kakak, sayang ibu. Allah Baik. Allah nak kita masuk syurga sama-sama.”

  • Kedua, cuba kita lihat pada pengakhiran ayat ini.

Adakah Luqman menyebut,

“anakku, jangan syirik sesunguhnya nanti Allah marah kerana Dia al-Aziz (Yang Maha berkuasa)”.

Atau Luqman boleh saja mengungkap.

“Anakku, jangan syirik, nanti Allah seksa sebab Dia al-Mutakabbir (Yang Maha Megah).

Tidak sekali-kali itu yang disebut. Malah, Luqman memfokus kepada perbuatan syirik itu di akhir nasihatnya. Luqman tidak memperkenal Allah dengan nama-nama yang menakutkan malah tetap memfokus sahaja kepada perbuatan itu dengan menyebut ianya sebagai suatu kezaliman yang besar. 

Begitu cara Luqman memperkenal Allah dan mengajar ajaran tauhid kepada si anak.

Metod ‘kasih sayang’ ini terus terusan digunakan Luqman ketika memberi peringatan kepada anaknya. Kerana itu di dalam surah ini terdapat tiga pengulangan “ya bunayya” yang bermaksud “wahai anak kesayanganku”.

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi (Luqman, 31:16)

Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya (Luqman, 31:17)

Mendidik anak-anak kepada tauhid seterusnya memperkenal Allah yang Maha Baik di mata mereka tidak dinafikan memang mencabar. Tambahan pada zaman teknologi moden ini, anak-anak sangat mudah terdedah kepada perkara yang tidak baik. Semuanya berada di hujung jari mereka.

Namun, itulah tanggungjawab kita sebagai ibu bapa. Kerana mereka ibarat kain putih, kitalah yang mencoraknya. Berbaloi rasanya merasai keletihan, jika kita mencuba latihan demi latihan untuk melukis anak-anak ini dengan corak yang terbaik di dunia, kerana kita pasti beroleh hasilnya nanti di syurga sana, enshAllah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.