Tadabbur Tazakkur

Agar NANTI mengecapi yang diimpi

“Slow giler internet ni. Dahlah!”

Dia langsung menolak komputer ribanya ke tepi.

-“Eh! Sabar sikit. Jahanam komputer tu nanti.”

“Teruklah WiFi sini.”

– “Ye. Kau marah dan tak puas hati sebab tak dapat siapkan kerja cepat-cepat.”

“Bazir masa ja tunggu loading aih.. Rasa macam tunggu pancing ikan.”

***

Dunia tanpa sempadan telah mengubah gaya hidup manusia abad ini. Cepat, mudah dan segalanya di hujung jari. Siapa sedar era globalisasi mencambahkan jiwa manusia yang kurang sabar dan mahukan segala-galanya dengan kadar yang segera.

Lambat sedikit sahaja, terus mengamuk!

Memang apakah impulse atau gerakan hati yang mahu itu tidak boleh ditangguhkan walau sebentar?

Terlihat anak kecil menconteng dinding yang baru sahaja dicat, mahu terus mengikuti panasnya hati lalu memarahi tanpa peduli?

Terlihat paparan iklan mencolok mata di ruangan tepi enjin carian di internet. Lalu, apakah jari-jemari itu “terpaksa” menuruti impulse dan keinginan syahwat tanpa memikirkan halal dan haram?

Terlihat sepotong kek yang lazat berserta minuman milkshake yang sangat menyelerakan. Apakah “wajib” dan “terpaksa” menuruti kehendak nafsu ketika itu meskipun baru sahaja selesai menghabiskan sepinggan nasi?

Hati dan keinginan itu sentiasa HARUS dipenuhi? Tidak boleh ditangguh-tangguh. Kena ikuti. Kena patuhi. Kalau tidak, hidup saya tidak bererti.

“Oh tidak! Saya tak boleh kawal diri saya.”

Oh begitu?

40 tahun dahulu, seorang ahli psikologi, Walter Mischel menjalankan satu ujikaji terhadap perilaku kanak-kanak tadika. The Marshmallow test ini menguji daya tahan anak-anak untuk sabar dalam tempoh waktu tertentu agar dapat memakan 2 marshmallow. Kanak-kanak yang tidak sabar dan mahu memakan lebih awal, hanya akan mendapat 1 marshmallow. Rentetan kajian ini memberikan dapatan yang amat menarik. Didapati bahawa remaja yang semasa kanak-kanak dahulu dapat bersabar agar mendapat 2 marshmallow, lebih berjaya berbanding kanak-kanak yang lemah daya tahannya. Kemampuan manusia untuk menangguhkan hasrat dan keinginannya bagi meraih sesuatu yang lebih besar pada masa akan datang adalah ciri-ciri manusia yang berjaya.

Andai inilah “formula” meraih kejayaaan, umat Islam amat beruntung kerana dikurniakan bulan Ramadhan bagi melatih potensi ini agar mampu berkata “Tidak!”  kepada apa yang diingini nafsu syahwat hanya kerana iman kepada yang ghaib dan mengharapkan apa yang “nanti”. Lepas maghrib, segalanya kembali “halal” ok.

Terlalu banyak ayat-ayat Quran yang mendidik mukmin mengenai konsep “delayed gratification” ini.

Hati yang mahukan rampasan perang, terpaksa menahan keinginan kerana bicara Tuhan berbunyi begini :

Mereka bertanya kepadamu tentang harta rampasan perang. Katakanlah : “Harta rampasan perang itu milik Allah dan Rasul, maka bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara kamu dan taatlah kepada Allah dan rasulNya jika kamu orang-orang beriman.”

Al-Anfaal, 8 : 1

Eh? Tak boleh dapat harta rampasan perang setelah berpenat lelah bertempur? Agak-agaknya bagaimana perasaan. Mahu mengamuk dan marah tak puas hati?

Hanya pada ayat ke-41, barulah Allah menerangkan pembahagiaan harta rampasan perang. Para sahabat harus delayed gratification dan menunggu sebanyak 40 ayat barulah mereka dapat kecapi apa yang diimpi.

Bagaimana pula dengan segala yang diingini syahwat? Apakah boleh terus dipenuhi segera dengan sebarang cara tidak kisah dibenarkan atau dilarang di sisi Tuhan?

“Saya mahukannya sekarang!”

Dijadikan indah kepada manusia terhadap apa yang diinginkan berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertimbun dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi ALlahlah tempat kembali yang baik.

ALi-Imran, 14

Sedekat mana pun rasa itu terhadap apa yang diingini, Robb memujuk bahawa di “sana” adalah lebih baik.

Katakanlah “Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu? ” Bagi orang-orang yang bertakwa (tersedia) di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai mereka kekal di dalamnya dan pasangan-pasangan yang suci, serta redha Allah.

Ali-Imran, 3 : 15

Sanggupkah menunggu NANTI agar mengecapi sesuatu yang hakiki!

Kekuatan Asiah untuk memujuk diri akan sesuatu yang NANTI, memberikannya kekuatan menghadapi firaun.

Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan kepada orang-orang mukmin iaitu : Perihal isteri firaun, ketika dia berkata “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga dan selamatkanlah aku daripada firaun dan perbuatannya, serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.”

At-Tahrim, 66 : 11

Kesanggupan si isteri beriman menikmati syurga yang akan didapatkannya NANTI, membangun kekuatan dalam dirinya untuk terus sabar menghadapi keperitan dan kesulitan hidup di dunia.

Sedangkan syaitan terus mengasak. Membisikkan pada hati anak-anak Adam agar mengejar apa yang SEKARANG dan usah percaya kepada apa yang NANTI.

“Kau perlukannya sekarang! Tak boleh tunggu-tunggu.”

Tapi, bicara Tuhan tidak begitu.

Sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan (dunia)

Ad-Dhuha, 93 : 4

Ya Robb, bantu kami untuk memaknai dan menghargai “Nanti”. Leraikanlah dunia dalam hati kami. Izinkan kami meninggalkan dunia yang rapuh ini.

Negeri akhirat Kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di bumi. Dan kesudahan itu adalah bagi orang yang bertakwa.

Al-Qasas, 28 : 83

 

3 thoughts on “Agar NANTI mengecapi yang diimpi

  • Wan Maslukma

    Mengimani pada akhirat ayat 4 tentang akhirat yang diyakini.

    “Nanti sy nak jumpa akhirat”. Ia tak cukup sekadar percaya akan perjumpaan itu. Namun wajib benar meyakini nya.

    Barulah membuah tindakan sabar menanti apa yang diimpi

    Reply
  • Wan Maslukma

    *Ayat 4 al Baqarah

    Reply
  • Ayat Ibrahim

    Eh, mula² ingatkan awak rujuk ayat 4 Al-Fatihah.
    🙂

    Dua-dua boleh.

    Reply

Leave a Reply to Ayat Ibrahim Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.