Ta’aruf dengan Tuhan : Dia Al-‘Aziz
Dia menekan perut yang rasa tidak selesa.
‘Tu lah. Tadi tak nak makan pagi, kan dah sakit.’ Realitinya rasa takut menghadapi temuduga kerjaya di IPT tersohor itu lebih mendominasi daripada keinginan makan di pagi hari.
Nurul berlari kecil agar tidak ketinggalan memasuki lif ke tingkat 3. Serentak dengannya, seorang wanita separa abad memasuki lif yang sama.
‘Makcik cleaner sini mungkin.’
“Makcik, boleh tahu mana pejabat dekan?”
Wanita itu sedikit berubah air muka.
‘Takkan tak tahu dah kerja sini.’ Nurul sedikit kecewa bila wanita tersebut lambat memberikan respon.
“Sampai tingkat tiga ni nanti, belok kanan, akan nampak pintu bergelas kaca besar.” Akhirnya wanita itu menjawab ringkas.
“Terima kasih, makcik.”
Lalu sesampainya di lokasi yang diberikan, Nurul segera melapor diri. Kelihatan sepuluh orang calon-calon yang lain telahpun duduk menanti giliran.
Tiba-tiba kedengaran laungan salam daripada ramai.
“Assalamu’alaikum Prof!”
Serentak itu, ‘makcik cleaner’ tanggapan Nurul tadi memasuki ruang legar pejabat dekan.
‘Alamak, siapa dia ni.’ Nurul tiba-tiba merah padam.
Terdengar bisik-bisik calon yang lain “Dia ni lah dekan kuliah.”
‘Habislah aku.’ Nurul menarik nafas dalam-dalam, mengharapkan masih ada sinar harapan untuknya.
***
Kenalnya manusia terhadap manusia yang lain punyai kuasa pengaruh mengubah persepsi dan sikap. Seseorang yang mulia, tetap tidak dimuliakan andai manusia tidak mengenali kemuliaannya. Seseorang yang hebat juga tidak diagungkan andai manusia lain tidak mengetahui kehebatannya.
Setinggi manapun pangkat dan darjat, andai disapa manusia yang tidak mengerti nilainya, apakah mahu langsung terguris hati seolah-olah tidak mendapat hak dimuliakan?
Mahu dimuliakan?
Perlukan kepada perkenalan.
Dengan kenal, manusia meraih tahu sehingga mahu memposisikan manusia pada tempat sewajarnya.
Bagaimana pula dengan Tuhan.
Sudahkah meletakkan Tuhan pada posisi yang haq? Ingatkah lagi kali terakhir berta’aruf denganNya?
***
Mark Zuckerberg? Wah orang hebat tu. Siapa manusia zaman kini yang tiada FaceBook!
Mendiang Steve Jobs. Inovasinya menarik hati ramai meskipun terpaksa melabur wang yang banyak.
Kreativiti dan inovasi mampu melonjakkan nama peribadi. Semua mata langsung tertumpu. Lebih-lebih lagi saat apa yang dihasilkan diperlukan ramai, menjadi keperluan mendesak setiap insan.
Tetapi tidak mustahil ada yang masih tidak mengenali tokoh-tokoh tersebut bukan.
Mengapa?
Mungkin kerana enggan ambil tahu.
Tidak rasa memerlukan inovasi yang mereka hasilkan juga barangkali.
Begitulah sikapnya segelintir manusia terhadap Tuhan. Saat terdengar nama Tuhan dilaungkan, tiada rasa membekas di hati. Tiada rasa agung. Tiada rasa hebat. Bahkan hati lebih cenderung rasa hebat terhadap tokoh pujaannya berbanding Tuhan. Ini mungkin berpunca hati yang tidak pernah peduli untuk mengenali Tuhan.
Bagaimana untuk mengenali Tuhan?
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman : “Adakah engkau belum percaya?” Nabi Ibrahim menjawab : “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi supaya tenteram hatiku.” Allah berfirman ” Ambillah 4 ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan dating kepadamu dengan segera.” Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Al-Baqarah, 2 : 260
“Eh, tu kisah Nabi Ibrahim. Bolehlah minta kat Allah begitu.”
-“Walaupun dia Nabi. Allah tetap tidak mengizinkannya melihat proses Allah mencantumkan dan menghidupkan kembali jasad yang telah dicincang. Tetap sahaja Allah hanya mengizinkan Nabi Ibrahim melihat burung yang sedia terbang kepadanya. Sebagaimana yang kita lihat sekarang.Tak perlu lagi perkara-perkara ajaib sedangkan segala apa yang terbentang di bumi cukup membuktikan kekuasaanNya”
“Memang wajib ke nak kenal Tuhan ni?”
-“Cer tengok bahagian akhir ayat 260 Al-Baqarah tu. Kalimah fa’lamu tu kata perintah kan? Allah suruh gi belajar supaya kenal yang Dia tu Al-‘Aziz dan Al-Hakim. Ilmu ni bukan boleh dapat automatik daripada rahim mak turun temurun hanya kerana surat beranak beragama Islam.”
Hati boleh merasa rendah diri kepada professor yang mendalam ilmu pengetahuannya.
Jiwa boleh terasa kerdil terhadap dia yang mencipta produk baru memecah pasaran dunia.
Mengapa pula diri boleh rasa hambar terhadap Tuhan yang menciptakan segala?
Tuhan tidak cukup berprestasi pada pandangan mata?
Dia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Dia pula menjadikan malam melingkari siang dan menjadikan siang melingkari malam; dan Dia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! dialah yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.’
Az-Zumar, 39 : 5
Andai teknologi dan produk terbaru manusia sudah cukup memukau mata, mengapa tanda-tanda kebesaran Tuhan bermula dengan penciptaan diri manusia itu sendiri tidak menundukkan jiwa untuk tunduk mengagungkanNya?
Lalu, saat bersimpang antara dua pilihan, hati lebih cenderung memilih yang mana?
Tatkala Tuhan memuliakan wanita dengan syari’at menutup aurat, mengapa hati lebih cenderung mendedahkannya semata-mata mendambakan penerimaan manusia yang tercalar fitrahnya? Mahu mulia di mata manusia atau Tuhan?
Bilamana Tuhan memuliakan manusia dengan ketaatan seorang hamba, mengapa hati lebih cenderung memenangkan hawa nafsu sehingga lebih rela dihinakan Tuhan?
Mengapa “rela” dihinakan Tuhan saat diri berpotensi dimuliakan Tuhan.
Atau..
“Saya tak kisah. Whateverrr..”
Barangsiapa mahukan kemuliaan, maka (ketahuilah) kemuliaan itu semuanya milik Allah. KepadaNyalah akan naik perkataan-perkataan yang baik dan amal kebajikan Dia akan mengangkatnya. Berkenaan orang-orang yang merencanakan kejahatan, mereka akan mendapat azab yang sangat keras dan rencana jahat mereka akan hancur.
Fathir, 35 : 10
Justeru, saat hati masih enggan tunduk. Enggan dimuliakan Tuhan. Enggan menjadi hamba. Apa kata tanyapada hati.
“Hati, awak dah kenal Al-‘Aziz?”
فَإِن زَلَلْتُم مِّن بَعْدِ مَا جَاءَتْكُمُ الْبَيِّنَاتُ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
Al-Baqarah, 2 : 209
Mahu teguh menapak kaki, tidak lagi tergelincir?
Tu! Allah suruh gi belajar. فَاعْلَمُوا
Cari ilmu, cari tahu untuk kenali Dia ‘Azizun Hakiimun.
__________
Rujukan :
Akal
Al-Quran