Tadabbur Tazakkur

Bertindak, bermula dengan kejelasan impian yang ideal.

“Saya nak kurus, tapi sampai sekarang berat makin bertambah.”

– “Apa yang awak dah buat untuk kurus?”


“Saya nak berhenti. Tak nak dah masuk rumah Pengaseh lagi berkali-kali.”

-“Dalam kapasiti terhad yang ada, apa yang nak dilakukan?


Masalah ketagihan bukan semudah memberi arahan “Berhenti!” lalu selesailah segalanya. Ada tindak balas kompleks yang berlaku di otak juga berselirat dalam sistem tubuh badan sehingga rasa ingin berubah itu berkali-kali gagal direalisasikan. Salah satu kaedah kaunseling yang digunakan dalam isu ini : Choice theory reality therapy. Tindakan manusia ibarat sebuah kereta two-wheel drive yang dua tayar di hadapannya (acting & thinking) akan memandu arah perjalanan sementara kesan (dua tayar di belakang) akan mengikutinya (physiology & feeling). Ada pihak yang memfokuskan rawatan physiology dan feeling dengan memberikan ubat anti-depressant semata-mata tanpa merawat dua tayar di hadapan. Lalu ‘kereta’ tersebut tidak bergerak.  Terus statik dalam kitaran masalah yang sama berkali-kali.

Lalu, bagaimana untuk menggerakkan dua tayar di hadapan?

Rawatlah tindakan dan pemikiran. Lihat strategi tindakan yang boleh dilakukan dan bedahlah corak fikiran, apa lagi yang menghambat?

Dan tindakan manusia itu, pemandunya adalah segala kehendak dalam dirinya. Lalu bermula dengan kejelasan impian ideal yang hendak dicapai sehingga memotivasi untuk ‘menghidupkan enjin’, mulakanlah  perjalanan di jalan yang lurus.

Persoalannya, sudahkah tertanam gambaran kehendak impian ideal dalam minda sedar jiwa manusia?

Meneroka kehendak diri (wants), memerlukan satu proses menyelami “Apa yang saya mahu.”

 

***

 

“Yeah! Maju ke kotak kosong. ” Dia menggerakkan bidaknya mengikut bilangan dadu yang dilontarkan.

Teman di sebelah mengambil giliran tetapi bidaknya terhenti pada soalan cepu cemas.

“Whyyyy.. Gambarkan keluarga yang ideal bagi anda?”

“Hah, ceciter… ceciter.” Wanita bertudung biru di hadapannya mula mengusik.

‘Kalau jawab ni bakal bagi jawapan pelik…’ hati kecilnya bersuara. Terasa enggan memberikan respon.

“Eh, jawablah. Semua orang tunggu.”

Gulp.

“Keluarga ideal bagi saya adalah… Keluarga yang macam dalam surah At-Taghabun, surah Yusuf, surah Luqman, surah Maryam…” dia mula tersengih-sengih.

Seperti yang dijangkakan, suasana diam seketika. Masing-masing cuba mencerap jawapan yang diberikan. Lalu salah seorang bersuara.

“Tak aci ni. Kena elaborate lebih lagi.”

“Maksud saya begini. Kita ambil satu contoh eh. Surah Yusuf. Surah Yusuf bagi gambaran keluarga dengan 12 orang anak-anak. 10 daripadanya nakal. Tetapi kesabaran seorang ayah yang tidak berputus asa mendidik anak sehingga kesemua anaknya kembali bertaubat meskipun pada asalnya mereka semua ni suspek percubaan membunuh adik mereka.” Dia menjawab dengan panjang lebar.

Teman-teman yang lain tersenyum memberikan tanda faham.

“Begitu juga dalam surah-surah lain. Semua cerita keluarga dalam Quran, bagi saya itu semua gambaran yang ideal.” Dia menambah.

Ada ahli lain pula mencelah

“Wah. Ada satu lagi soalan tambahan. Apa ‘kereta’ yang nak digunakan supaya dua tayar kat depan tu bergerak, dapat semua gambaran family ideal macam tu?” Wanita separa usia tersenyum-senyum bertanya.

“Eh, tak aci. Soalan tu takde dalam dam ular. Tak nak jawab.”

“Mana boleh, itulah soalan paling penting!”

***

Gambaran keluarga yang ideal?

Menjadi seorang yang sanggup memaafkan kesilapan/ pertelingkahan yang berlaku antara pasangan dan anak-anak seperti yang tergambar  dalam surah At-Taghabun.

Menjadi suami yang sanggup infaq harta yang ada pada dirinya bagi memberi nafkah kepada isterinya , mirip surah An-Nisa’

Menjadi anak  yang banyak berbakti kepada ibu yang hidup sebagai ibu tunggal  seperti yang tergambar dalam Surah Maryam

Menjadi isteri-isteri biasan surah At-Tahrim yang mengutamakan bakti dan hak Allah sehingga enggan menyulitkan suami dalam konflik-konflik yang menghambat perjuangan suami membawa manusia kepada Tuhan.

Begitu gambaran ideal sebuah keluarga?

Sentiasa yang indah-indah?

Bagaimana dengan sabarnya si ayah dalam kesakitan sehingga ditinggalkan isteri dan anak-anak seperti dalam surah Shad & Al-Qosas?

Bagaimana dengan cekalnya isteri diuji suami yang zalim sehingga mengimpikan sebuah rumah di syurga, seperti yang tergambar dalam surah At-Tahrim?

Realitinya, bahagia atau ideal sesuatu itu terletak kepada tindakan pilihan jiwa seorang hamba. Harus diakui, seorang manusia tidak mampu dan tiada kuasa mengubah manusia lain. Mampukah mencipta suami yang bersabar dengan kelemahan isteri dan memujuk rasa tidak sukanya dengan mengingati banyak kebaikan lain yang Tuhan ciptakan padanya (4:19) ?

***

Indahnya gambaran Quran belum lagi tergambar di alam realiti.

Ada sekolah dengan 80% penghuni pelajarnya datang daripada keluarga single parents.

Ada isteri, memilih berpisah dengan suami penghafal Quran, kerana baru mengetahui suaminya syi’ah yang sedang nikah mu’tah dengan ramai wanita yang lain.

Ada teman memilih bercerai di usia muda perkahwinan kerana baru menyedari suami yang enggan menyentuhinya adalah homosexual.

Ada lelaki yang terus meninggalkan isterinya selepas 2 minggu menikah dengan alasan “tidak suka isteri”, teringat memori-memori lama dengan bekas teman wanitanya.

 

Masyarakat yang bercelaru dengan sistem keluarga yang ranap. Apakah ada penyelesaian? Mengapa gambaran ideal dalam Quran tidak tercermin dalam dunia realiti?

 

***

“Apa yang anda mahukan?”

Saya mahu bumi bertuah ini kembali damai, dihuni manusia yang menyedari posisi diri sebagai hamba, lalu peduli mencari bicara Tuhan.

“Apa yang anda hendak dilakukan bagi menggerakkan ‘kereta’ ini, merealisasikan apa yang diimpi?

Dan jika penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan daripada langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka lakukan.

Al-‘Araf, 7 : 96

 

Perjuangan membawa penduduk negeri agar memaknai iman dan taqwa.

Saat segala masalah hadir segala penjuru, lelah merawat permasalah pornografi yang mewabah, LGBT yang mengambil tempat, politik yang zalim, ekonomi yang menindas, apa pendapatmu untuk hadir memberikan solusi mengakar, seperti yang dilakukan Rasulullah zaman jahiliyah dahulu?

Bawa manusia kembali kepada tuntunan wahyu.

“Wahai penduduk negeri, mari mendengar wahyu Tuhan!

Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang yang Ummiy (tidak mengetahui Al-Kitab), seorang rasul daripada kaum mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum itu berada dalam kesesatan yang nyata.

Al-Jumuah, 62 : 2

 

Dan mulakan perjuangan ini dengan memaknai erti hidup pada memberi. Bukankah Abu Bakar banyak membebaskan hamba sementara Usman sanggup membeli perigi yang dimanfaatkan penduduk negeri?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.