Membangun atas runtuhan
Mengimpikan kediaman yang selamat dan kukuh, apakah mungkin dibina atas runtuhan bangunan lama?
Sejenak merenung bangunan ini, siapakah yang mahu langsung mengubahsuai dan membaiki segala kerosakan lalu bahagia duduk mendiaminya?
“Taknaklah. Buat apa baiki bangunan yang nak roboh? Lebih baik musnahkan dan hancurkan terus. Bina bangunan baru dari pasak yang baru.”
Melihat secara fizikal, logik akal berkata enggan. Siapa yang mahu membangun atas runtuhan?
Dan apa pendapatmu mengenai bangunan tauhid yang mahu ditegakkan dalam diri?
Bangunan tauhid yang hendak ditegakkan bukan sekadar penerimaan dan peneguhan bahawa Dialah Allah Rabbku. Namun sebelum peneguhan keesaanNya, perkara pertama yang harus dilakukan adalah memusnahkan dan menghancurkan segala bentuk ilah yang ada di muka bumi ini.
Sesungguhnya ada bagi kamu teladan yang baik pada Nabi Ibrahim a.s dan pengikut-pengikutnya semasa mereka berkata kepada kaumnya “Sesungguhnya kami melepaskan diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain daripada Allah, kami ingkari (segala pengabdian) kamu dan ternyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu adalah selama-lamanya, sehingga kamu mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.” …
Al-Mumtahanah, 60 : 4
Ramai yang mengaku Allah sebagai ilah. Tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup mengaku tiada ilah selain Dia? Hati mengaku Dialah Allah tetapi masih mengikuti ilah-ilah selainNya termasuklah perintah dan kemahuan majikan di tempat kerja, hawa nafsu diri sendiri mahupun bisikan syaitan.
Renungi ayat ke-4 dari surah Al-Mumtahanah dalam-dalam. Dua yang diingkari Nabi Ibrahim iaitu
1)Apa yang diabdikan dan
2)Pelaku pengabdi selain Allah.
Apakah teladan yang didapati daripada Nabi Ibrahim? Seorang yang mengakui mengingkari pengabdian selain Allah bukan sekadar mengingkari apa yang disembah tetapi termasuklah mengingkari pelakunya dengan tidak mengikuti cara hidup (lifestyle) mereka. Zaman sekarang, betapa ramai kita melihat jiwa-jiwa muslim yang mengaku mengingkari pengabdian kepada selain Allah, mengaku Allah sebagai Tuhannya tetapi sikap dan cara hidup masih sama dan bahkan mengikuti cara-cara si pelaku kekafiran. Mengakui Allah sebagai Robb tetapi masih mengikuti cara hidup mereka yang tidak mengimani Hari Akhirat, enggan bersedekah, enggan memberikan bantuan seolah-oleh Akhirat itu tidak akan berlaku.
“Saya mengingkari sembahan awak, tapi saya masih ikut lifestyle awak, tak ikut apa yang tuhan saya gariskan.”
Eh? Betul-betul esakan Allah ke jika begini?
Ini syirik.
Mengakui Allah sebagai ilah tetapi masih mensyirikkanNya dengan manusia lain, diri sendiri bahkan syaitan? Sedangkan mendengar bisikan syaitan itu termasuk musyrik.
Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka, sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik
Al-An’am, 6 : 121
Begitu.
Membangun tauhid atas runtuhan bangunan yang tidak stabil. Masih mempertahankan ilah-ilah lain yang rapuh kedudukannya. langsung membangun keimanan kepada Allah tanpa memusnahkan sebenar-benarnya segala ketaatan dan pengabdian kepada selainNya.
Masih enggan berpaling daripada hasutan dan bisikan syaitan.
Masih enggan berpaling daripada kehendak hawa nafsu manusia lain.
Masih enggan melepaskan berseliratnya kehendak hawa dan syahwat diri sendiri.
Lalu, seteguh apakah bangunan tauhid yang cuba dibangun andainya ungkapan “La ilah” dalam hidupmu tiada erti? Andai benar mengharap keredhaanNya dan Hari Akhirat, tiada lagi jalan lain.
Sesungguhnya! ada buat kamu contoh dan ikutan yang baik pada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan Hari Akhirat.
Al-Mumtahanah, 60 : 6