Bisikkan padaku
Siapa yang memberikan semangat? Siapa yang mengucapkan kata-kata motivasi? Ketika realitinya tiada manusia mengerti apa yang dilalui.
“Kau takpelah, ada kembar yang sentiasa di sisi menemani, memujuk, memberikan kata-kata semangat juang…”
-“Haish.. tak juga. Ada ketika dia sulit memahami ujian yang kuhadapi.”
Hakikatnya, setiap manusia masih perlu melalui hari-hari hidupnya sepenuh pergantungan pada yang Esa saat tiada satu pun manusia mampu membangkitkan jiwa.
“Eh, kenapa ni? Semangat tengah merudum?”
Pengabdian kepada Robb menuntut ketaatan yang bertitik tolak daripada membenarkan ayat-ayatNya yang tertuang dalam Al-Kitab.
Tidak mendustakan.
Sedangkan realiti hidup yang sejak awal telah dijanjikan asakan-asakan syaitan daripada jin dan manusia, tampak begitu sulit untuk dihadapi dengan persiapan yang “biasa-biasa” sahaja. Pengakuan “Engkaulah Tuhanku” tidak semudah lafaz kalimah syahadah tanpa membenarkannya dalam bentuk tindakan-tindakan.
Entah-entah, syahadah itu telah didustakan berkali-kali.
Saat Dia memerintahkan sudahkah akur dan siap melaksanakan?
Ketika Dia membataskan larangan-larangan untuk dihindari sudahkah memelihara diri daripada mendekati?
Kecintaan kepada syahwat dan kecenderungan al-hawa pula sering bergelut mengambil posisi dalam hati sehingga ayat-ayatNya tiada ruang untuk menempati.
Ini, perang berapa penjuru?
Siapa yang membantu?
Lalu, Dia memujuk.
Bukan dengan menghadirkan manusia-manusia lain.
Tetapi menghadirkan tentera-tenteraNya bagi mengkhabarkan berita gembira.
Sesungguhnya orang-orang yang berkata “Robb kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata) “Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati, bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu.
Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat, di dalam syurga itu kamu mendapat apa sahaja yang kamu inginkan dan yang kamu minta.
Sebagai penghormatan daripada Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.”
Al-Fussilat, 41 : 30-32
Berteman dengan malaikat?
Dilindungi para malaikat?
“Biar betul…”
Tetapi ada syaratnya. Pertama, memaknai “Robbku adalah Allah”. Kedua, istiqamah.
“Tak faham. Semudah itu? Allah memang Robb setiap muslim, maka?”
***
Merenung ayat-ayat awal surah yang sama (Al-Fussilat), perhatikan bahawa ia bermula dengan seruan ketaatan kepadaNya. Dan istilah yang digunakan untuk tindakan pengesaan ini pula adalah Allah sebagai ilah.
Katakanlah (Muhammad) “Aku ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahawa Ilah (Tuhan) kamu adalah Ilah yang esa, kerana itu tetaplah kamu (istiqamah) kepadaNya dan mohonlah keampunan kepadaNya. Dan celakalah bagi orang-orang yang menyekutukanNya (musyrikin). Iaitu orang-orang yang tidak menunaikan zakat dan mereka ingkar terhadap kehidupan akhirat.
Al-Fussilat, 41 : 6-7
Allah sebagai Ilah menuntut ketaatan terhadap segala perintah dan laranganNya. Misalnya, enggan menunaikan zakat, meskipun mengaku muslim, itu realitinya syirik. Kerana taat kepada syaitan mahupun hawa nafsu yang mengasak agar jangan mengeluarkan zakat.
Tetapi, Dia mengajar. Sebelum hati dididik mengakui Allah sebagai Ilah yang wajib ditaati tanpa syarat. Terlebih dahulu, sudahkah mengakui Allah sebagai Robb?
Robb tu apa?
Apa beza Ilah dan Robb?
Kedua-duanya bukankah membawa kepada maksud Tuhan?
Mari renungi bicara Tuhan yang menyentuh hati hamba-hambaNya agar berfikir dan merenung posisiNya sebagai Robb. Agar kenalnya seorang hamba terhadap Robb ini memampukan dirinya mengakui Allah sebagai Ilah sekaligus terus tunduk taat terhadap segala perintahNya.
Katakanlah, “Patutkah kamu ingkar kepada Yang Menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu adakan pula sekutu-sekutu bagiNya? Itulah Robb seluruh alam.”
Al-Fussilat, 41 : 9
Saat terlihat kalimah Robb, seharusnya seorang muslim itu terus menangkap posisi Tuhannya Yang Maha Menciptakan. Apakah ada lagi posisi-posisi lain yang lebih agung daripada Dia Yang Maha Menciptakan?
Terasa kagum dengan kekayaan para raja? Yang Maha Menciptakan itu bahkan lebih kaya kerana segala kekayaan bersumber daripadaNya.
Terasa kerdil berhadapan cendekiawan bijak pandai? Yang Maha Menciptakan itu lebih patut dimuliakan kerana Dia yang menciptakan segala sel-sel otak yang memampukan manusia berfikir.
Terasa lemah berhadapan si perkasa yang punyai pengaruh meluas mengawal manusia-manusia lemah? Yang Maha Menciptakan itu lebih berkuasa kerana semua kekuasaan bermula dengan penciptaanNya.
Maka berkenaan kaum ‘Ad, mereka menyombongkan diri di bumi tanpa (mengendahkan) kebenaran, mereka berkata, “Siapakah yang lebih hebat kekuatannya daripada kami?” Tidakkah mereka perhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan mereka? Dia lebih hebat kekuatanNya daripada mereka. Dan mereka telah mengingkari tanda-tanda (kebesaran) Kami.
Al-Fussilat, 41 : 15
Sudah mengenali Tuhanmu sebagai Robb?
Setiap sel yang membentuk seorang “aku”, bermula dengan ciptaanNya yang hakikatnya bermula dengan tiada.
Dialah Robb yang menciptakan sel-sel telinga sehingga memampukan manusia mendengar.
Dialah Robb yang menciptakan segala reseptor mata sehingga mengizinkan manusia melihat.
Dialah juga Robb yang memberikan kulit-kulit manusia melindungi organ-organ dalaman.
Dan pendengaran, penglihatan dan kulit-kulit ini jualah yang akan menjadi saksi di akhirat kelak atas ketaatan seorang “aku”.
Sehingga apabila mereka telah sampai, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka lakukan.
Dan mereka berkata kepada kulit mereka “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” (kulit) mereka menjawab “Yang membuatkan kami dapat berkata-kata adalah Allah, yang (juga) menjadikan segala sesuatu dapat berkata-kata dan Dialah yang menciptakan kamu dan hanya kepadaNya kamu dikembalikan.”
Dan kamu tidak dapat bersembunyi daripada kesaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu terhadapmu, adakah kamu fikir Allah tidak mengetahui banyak tentang apa yang kamu lakukan?
Dan itulah anggapanmu yang telah kamu sangkakan terhadap Robbmu. (anggapan itu) telah membinasakan kamu, sehingga jadilah kamu di kalangan orang yang rugi.
Fussilat, 41 : 20-23
Memaknai Dialah Robb, bakal melahirkan peribadi teguh berpegang pada QalamNya.
Sedangkan saat diri meminjam barangan manusia lain, peribadi yang amanah pastinya mahu menggunakan barang pinjaman kurniaan manusia lain itu sebaiknya tanpa merosakkannya. Hati-hati dalam memanfaatkannya. Dan memulangkannya saat si tuan empunya memintanya kembali.
Bagaimana dengan segala nikmat kurniaanNya serta rahmat kehidupan sebentar cuma yang diciptakan Robb sekalian alam? Bukankah semua ini ibarat pinjaman Robb kepada seorang “aku” yang suatu hari nanti akan dituntut segala pinjaman ini?
Tangan ciptaanNya, sudahkah digunakan menghulurkan sedeqah dan zakat?
Mata ciptaanNya, sudahkah ditundukkan daripada hal-hal yang dilarangNya?
Pendengaran ciptaanNya, sudahkah digunakan untuk memahami ayat-ayatNya?
Sedangkan realiti umat akhir zaman yang hampir-hampir lemas dengan segala sumber maklumat merosakkan, menyuburkan kecenderungan syahwat dengan perkara keji mewabah, menundukkan al-hawa yang memenangkan keegoan diri yang zalim. Nah, sanggupkan iman itu selamat dalam dunia yang mengetepikan hadirnya Robb dalam kehidupan?
Memilih takut kepada Robb dan melawan arus masyarakat?
Engkau seakan-akan bersendirian bersama sekelompok kecil manusia yang mahu.
Tetapi, ingatlah. Saat rasa bersendirian mengubah rosaknya masyarakat dan peduli memaknai Dialah Robb, bergembiralah dengan turunnya malaikat membisikkan kata-kata cinta buatmu.
Sesungguhnya orang-orang yang berkata “Robb kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata) “Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati, bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu.
Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat, di dalam syurga itu kamu mendapat apa sahaja yang kamu inginkan dan yang kamu minta.
Sebagai penghormatan daripada Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.”
Al-Fussilat, 41 : 30-32
Kerana taat kepada Robb Yang Menciptakan, terpaksa mengingkari hasutan dan asakah syaitan yang mengelabui mata.
Kerana pengesaan kepada Robb Yang Menciptakan, terpaksa menundukkan kehendak syahwat dan kecenderungan al-hawa.
Dan izinkanlah para malaikat berbisik kepadamu.
Bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu. di dalam syurga itu kamu mendapat apa sahaja yang kamu inginkan dan yang kamu minta..