Tadabbur Tazakkur

Mahu kembali ke kampung asal?

“Nampak banglo tu?”

-“Ya.”

“Rumah pakcik, dulu.”

-“Eh, ye ke pakcik?”

“Panjang cerita. Sekelip mata boleh jadi gelandangan begini.”

Dia, sukarelawan yang hadir menyimpan seribu tanda tanya di benaknya. Setiap jiwa yang diuji di hadapan matanya saat itu menyembunyikan pelbagai liku kehidupan. Ada pasangan guru yang terpaksa menggadaikan segalanya akibat si anak yang lari ke negara orang dengan beban hutang pendidikan. Ada bekas usahawan hilang segalanya setelah tersilap percaturan. Siapa sangka roda kehidupan membawa manusia ke kedudukan paling rendah pada mata manusia.

Namun, andai ujian itu menyulam kesabaran, membenihkan kesyukuran. Siapa tahu ujian itu yang memuliakan dirinya, meraih syurga tertinggi di Hari yang tiada pertolongan melainkan dariNya.

 

***

Dari seorang kaya dahulu, berubah menjadi gelandangan pada akhir kehidupannya di dunia.

Bagaimana pula daripada seorang jutawan di dunia, tetapi kembali ke akhirat bukan sebagai penghuni syurga?

Perubahan darjat mana yang lebih menakutkan?

Nabi Adam, manusia pertama pernah merasa perbezaan darjat kehidupan di syurga dan di dunia.

Kemudian Kami berfirman, “Wahai Adam! Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu, maka sekali-kali jangan sampai dia mengeluarkan kamu berdua daripada syurga, nanti kamu celaka. Sesungguhnya, ada jaminan untukmu di sana (syurga), kamu berdua tidak akan kelaparan dan tidak akan telanjang. Dan sesungguhnya, di sana kamu berdua tidak akan merasa dahaga dan tidak akan ditimpa panas matahari. 

Toha, 20 : 117-119

Nikmat di syurga yang tidak tergambar.

Tidak perlu bersusah-payah seharian berkerja meraih pendapatan kerana di syurga tidak akan kelaparan dan tidak akan telanjang.

Tidak perlu bersusah-payah buat kerja overtime mendapatkan wang secukupnya membayar rumah melambung tinggi harganya sedangkan di syurga tempatnya selamat dan teduh.

Entah bagaimana perasaannya saat Nabi Adam dan Hawa diperintahkan turun meninggalkan segala kenikmatan itu ke suatu tempat bernama bumi.

Dia (Allah) berfirman “Turunlah kamu berdua daripada syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Jika datang kepadamu petunjuk daripadaKu, maka ketahuilah barangsiapa mengikut petunjukKu, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. ”

Toha, 20 : 123

Eh, turun ke bumi?

Dari syurga?

Betapa jauhnya darjat.

Tetapi apakah bumi  suatu tempat kehidupan yang teruk?

 

Tak.

Bumi itu tetap indah.

Biasan nikmatnya syurga.

Agar manusia bersyukur dan teruja untuk kembali ke syurga.

Sedangkan bumi indah ini bertaraf rendah, entah betapa melangit indahnya syurga.

Dan sesungguhnya, Kami telah menempatkan kamu di bumi dan di sana Kami sediakan (sumber) penghidupan untukmu. Amat sedikit kamu bersyukur.

Al-‘Araf, 7 : 10

Dijadikan indah kepada manusia terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertimbun dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi ALlahlah tempat kembali yang baik.

Ali-‘Imran, 3 : 14

Tapi, jangan terpedaya dengan nikmat sementara di dunia. Realiti kehidupan adalah di syurga.

Katakanlah “Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu?” Bagi orang-orang yang bertakwa (tersedia) di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan pasangan-pasangan yang suci, serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hambaNya.”

Ali-Imran, 3 : 15

Hakikatnya,Nikmat terbesar Tuhan buat hamba-hambaNya adalah petunjuk daripadaNya. Tanpanya, manusia itu kehilangan, jauh dari bimbingan Tuhan. Hanya Al-Quranlah selayaknya seorang hamba itu bergembira di dunia.

Wahai manusia! Sesungguhnya, telah datang kepadamu pengajaran daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman. Katakanlah “Dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaknya mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.”

Yunus, 10 : 57-58

 

Memahami ayat-ayatNya (Al-Quran) adalah manifestasi kehambaan anak-anak Adam yang mengimani Hari Pertemuan dengan Al-Malik.

Suatu hari, setiap kita akan kembali menghadap Pemilik Hari Pembalasan. Saat itu, tahulah setiap hamba apakah dirinya calon penghuni syurga atau sebaliknya.

Segala gambaran syurga yang Dia nukilkan buat hamba-hambanya dalam Al-Quran apakah telah memotivasikan setiap mukmin untuk kembali ke kampung syurga?

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.