Pinjaman kehidupan

Seawal jam 9.55 pagi, Experimental Hall sudah hampir penuh.

Kepadatannya lebih ramai berbanding kuliah Ust Shaari yang dilaksanakan setiap bulan.

Briefing pagi itu jauh lebih menarik mungkin.

“Peruntukan biasiswa MyBrain15 tahun ini adalah untuk 10 000 orang pelajar. Sedangkan jumlah yang menghantar permohonan tidak mencecah pun bilangan tersebut.”

Masing-masing berharap dan mengimpikan sesi temuduga yang berhasil sehingga melayakkan mereka menerima biasiswa tersebut.

“Beruntung jika dapat rezeki MyPhd. Ada duit poket setiap bulan lagi!”

Entah kenapa, teringatkan perit getir Adam Kelvin yang sangat menginspirasikan.

Dibuang keluarga saat memeluk Islam, terpaksa mengerah tenaga membina kehidupan bermula “kosong” seawal usia remaja. Buatlah segala yang mampu : Bermain silap mata, jual buku terbitan sendiri di restoran-restoran, sewa bilik stor dan entah, macam-macam lagi. Segalanya demi menyelamatkan iman. “Kemiskinan” tidak melunturkan semangat untuk terus hidup.

Dan segala perit getirnya mengajar diri ini erti kehambaan dan kesyukuran.

 

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ –

Syaitan itu menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan keji. sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.

Al-Baqarah, 268

 

Indah.

Saat Allah mengajar erti dunia.

Andai 2:268 dilihat sebagai kata lawan, agak pelik kerana lawan kepada janji syaitan sedikit berbeza “konsepnya”. Logiknya, lawan kepada kemiskinan dan kepapaan adalah kekayaan. Tetapi mengapa tidak pula Allah menggunakan perkataan “kekayaan ” dalam ayat tersebut. Sebaliknya, yang dijanjikanNya adalah pengampunan.

Saat syaitan menakut-nakutkan dengan kemiskinan, bagaimana janji Tuhan dengan pengampunan menjadi penawar? Ketika seseorang diuji dengan kedudukan paling rendah tidak punya apa, bagaimana rasa pengampunan Tuhan boleh menenteramkan hati?

Adam Kelvin dipaksa meninggalkan segala sumber pergantungannya (rumah tempat berteduh dan makanan) dan memulakan hidup baru seorang diri.

Syaitan mungkin mengasak

“Kau kan dah masuk Islam. Sepatutnya Tuhan tolong kau. Tapi tengok apa dah jadi sekarang ni? Hidup kau makin susah.”

Jika diturutkan segala rasa, boleh sahaja iman itu digadaikan. Kerana rasa “miskin” itu begitu mencengkam.

Bagaimana untuk terus hidup?

Tetapi buat jiwa kuat yang menyedari dunia ini sebentar cuma, meyakini bahawa suatu hari kelak pengampunanNya akan melepaskan diri dari azab neraka. Mengapa tidak sanggup menghadapi ujian “kemiskinan” ini penuh iman? Kerana siapa tahu nilai iman dalam kemelut kemiskinan itulah yang menjemput pengampunanNya sehingga memasukkan dirinya ke dalam syurga yang selama-lamanya.

PengampunanNya, menyelamatkan daripada azab Neraka. Dan bahkan itulah yang lebih baik daripada rasa kecewa atas “kemiskinan” yang melanda.

 

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا –

Sehingga aku berkata “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

Nuh, 71 : 10

 

Jika berterusan istighfar kepadaNya?

(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu, Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai.

Nuh, 71 : 11-12

Pengharapan pengampunan Tuhan itu realitinya menjemput rezeki Tuhan dari arah tak disangka-sangka.

 

 

_________

Allahu’alam.

Yang sebenarnya nak tulis tentang Robb. Tapi yang keluar adalah cerita istighfar pula…

Apapun, jangan menyembah Allah di tepi (Surah Al-Hajj).. Gembira saat Allah mengurniakan nikmat. Rasa marah dan putus asa ketika diberi sesuatu yang tidak disukai atau tertahan daripada sesuatu yang diharap-harapkan.

Its ok, ok!

Walauapapun. Hadapi dengan iman.. MyBrain15 itu juga soal rezeki

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.