Pujuk
Satu mesej panjang bertubi-tubi diterima daripada teman rapatnya. Rasa marah dan tidak puas hati dizahirkan melalui kata-kata kasar dan menghukum.
Ego seakan-akan mahu mempertahankan diri . Mahu membalas kembali.
“Kawan, kau salah faham.”
Tapi ditahan-tahan. Cuba Melihat sisi positif segala mesej yang diberi. Mungkin perlu mengoreksi diri.
“Ya, maaf kawan. Saya juga buat silap.”
Sangat mencabar.
Mesej boleh berbaur indah, mengukir senyuman lewat emoticon. Meskipun perasaan sebenar sangat merobek hati.
“Sampai hati buat begini.”
Mujur ada ayat-ayat Tuhan memujuk.
Tidaklah dihadirkan setiap insan kepadamu melainkan untuk mengujimu. Melihat sama ada engkau membenarkan QalamNya atau tidak.
Enggan memaafkan? Tetapi Allah suruh memaafkan.
Enggan menahan marah? Tetapi Allah suruh menahan marah.
Kau lakukannya bukan kerana dia tetapi kerana Dia.
Tuhan, Terima kasih atas ujian.
Baru kutahu aku benar-benar beriman atau tidak.
***
Hidup ini mungkin lebih mudah jika sentiasa ada wahyu Tuhan hadir memujuk, memandu jalan pilihan kehidupan dengan radar Taqwa.
Bukankah Taqwa itu pakaian? Pakaian yang sentiasa membuat pemiliknya rasa tenang dan rasa selamat dalam segala kemelut ujian dunia yang menimpa.
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan PAKAIAN YANG BERUPA TAQWA itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah supaya kamu mengambil pengajaran.
Al-‘Araf, 7 : 26
Memahami erti dunia melalui perspektif Al-Quran seharusnya melahirkan jiwa-jiwa manusia yang kuat kerana bersedia menghadapi jangkaan-jangkaan yang pasti dan dijanjikan. Tidak mengelabah. Tidak terkejut. Masih tenang.
“Hidup ini mana boleh jangka-jangka.”
Eh, hidup ini, ada beberapa perkara yang harus dijangka. Agar jiwa lebih kuat dan bersedia menghadapinya sesuai pedoman Tuhan.
Tiba-tiba tak semena-mena hadir manusia penuh emosi hilang kesabaran, memaki-hamun tidak berpuas hati padamu.
Tenang.
Terima bahawa inilah ujian.
Yang sebenarnya dirimu diuji untuk membenarkan surah Al-Furqan ayat 63
Dan hamba-hamba Ar-Rahman ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.
Al-Furqan, 25 : 63
Tiba-tiba kawan yang sangat kau percaya melemparkan kata-kata kasar dan menghukum.
Tenang.
Terima bahawa si dia dihadirkan Tuhan kepadamu bukan saja-saja.
Tetapi untuk mengajakmu membuktikan iman kepada Surah Asy-Syua’ra’
“Hey, Nabi Musa kena character assassination lebih teruk dari kaulah. Tapi itu tak membuatkannya mundur saat berhadapan Firaun.”
Firaun menjawab “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan dan engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?”
Nabi Musa berkata “Aku melakukan perbuatan yang demikian sedang aku ketika itu dari orang-orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepadamu; kemudian Tuhanku mengurniakan aku ilmu pengetahuan agama, dan menjadikan aku seorang RasulNya.”
Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.”
Asy-Syu’ara’, 26 : 18-22
Tiba-tiba rasa nak putuskan persahabatan kerana enggan memaafkan atas kekasaran dan khianat yang dilakukan?
Tenang.
Yang sebenarnya Allah yang menguji.
Bukankah Abu Bakar memilih memaafkan Mistah saat Allah memujuk lewat wahyuNya?
Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
An-Nur, 24 : 22
***
Pakaian taqwa yang memeluk tubuh, perisai yang cukup ampuh menguatkan hati yang rapuh.
Dalam setiap ujian ada rahmatNya.
Tidak cukupkah Tuhan yang memujukmu?