Agar tidak lagi menjadi mangsa
Pernah mendengar rungutan sebegini?
“Dia yang buat saya jadi begini.”
Atau
“Kalau tak sebab dia, saya tak jadi begini.”
Atau
“Hidup saya merana ni sebab dia lah. Dia yang tak bertanggungjawab.”
_________
Ada makhluk Tuhan ini, Allah bagi dia pilihan sama ada nak taat atau ingkar.
Kedua-duanya akan ada konsekuensi.
Lalu, dia memilih ingkar. Tak mahu tunduk.
Konsekuensinya adalah balasan neraka.
Kemudian, tahu tak apa makhluk tu jawab?
قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;
-Sura Al-A’raf, Ayah 16
Iblis, teladan pertama yang menjalani hidup dengan “victimhood mindset”
“Aku tak salah. Tuhan yang salah. Tuhan yang buat aku jadi begini.”
Selepas menyalahkan, tindakan seterusnya adalah berdendam dengan “pemangsa”, iaitu siapa² yang disalahkan yang menjadi punca dirinya menanggung kesulitan. Dia memilih berdendam dengan Adam.
_________
Begitu kisah manusia pertama dengan iblis durjana
Di akhirat nanti pula, akan ada makhluk-makhluk yang mengaku diri mangsa.
Tetap merasakan dirinya tak salah. Merasakan dirinya tak sepatutnya dipertanggungjawabkan atas tindakan pilihannya sebelum ini
Terus salah menyalahkan.
قَالَ ادْخُلُوا فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ فِي النَّارِ ۖ كُلَّمَا دَخَلَتْ أُمَّةٌ لَعَنَتْ أُخْتَهَا ۖ حَتَّىٰ إِذَا ادَّارَكُوا فِيهَا جَمِيعًا قَالَتْ أُخْرَاهُمْ لِأُولَاهُمْ رَبَّنَا هَٰؤُلَاءِ أَضَلُّونَا فَآتِهِمْ عَذَابًا ضِعْفًا مِنَ النَّارِ ۖ قَالَ لِكُلٍّ ضِعْفٌ وَلَٰكِنْ لَا تَعْلَمُونَ
Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka”. Allah berfirman: “Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui”.
-Sura Al-A’raf, Ayah 38
Perhatikan ayat di atas, selepas menyalahkan, tindakan seterusnya adalah berdendam dengan “pemangsa”, iaitu siapa² yang disalahkan yang menjadi punca dirinya menanggung kesulitan
_________
Itu, dua cebisan kisah awal manusia (sejarah Iblis & Adam) juga pengakhiran manusia (fenomena di neraka)
Apa khabar manusia yang berada di tengah-tengah usia kehidupan ini, sebelum masuk ke alam akhirat? Apa khabar “kita”?
Menjalani hidup tanpa benar-benar menggalas tanggungjawab atas pilihan tindakan.
Hidup ni main redah je.
Betul ke, tak betul ke. Janji aku hidup.
Malas bertanggungjawab atas pilihan tindakan.
Namun saat berlaku yang tidak diingini, meskipun berpunca tindakan sendiri, segera mencari salah silap orang lain. Cuba menyelamatkan diri.
Andai inilah habit yang dibangunkan, sanggup tersentak dan tersedar kesalahan pilihan tindakan dunia hanya apabila berada di akhirat kelak? Saat itu, penyesalan tiada berguna.
Nak salahkan syaitan?
Syaitan juga berlepas diri.
وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الْأَمْرُ إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ ۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي ۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ ۖ مَا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنْتُمْ بِمُصْرِخِيَّ ۖ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِنْ قَبْلُ ۗ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
-Sura Ibrahim, Ayah 22
Masih mahu membiarkan diri menjadi mangsa?
“Saya tak salah. Dia yang hasut saya.”
Realitinya, selagi mana seorang manusia itu tidak keluar daripada “victimhood mindset”, sukar untuk dia memilih tindakan selamat untuk dirinya.
Enggan bertanggungjawab dalam pilihan tindakan setiap detik kehidupan.
_________
Masih mahu menjadi mangsa?
Mudah sahaja.
Lihat pinggan di sinki penuh?
Biarkan. Jangan peduli bertanggungjawab sekecil-kecil perkara.
Buat bila disuruh sahaja. Jika mahu berbuat pun, buat dengan penuh marah dan tak redha.
Tiba-tiba bila ditegur “Ni kenapa pinggan ni masih ada sisa kotor?”
Terus jawab dengan salahkan sabun “Sabun tu lah tiada kualiti. Dah sental banyak Kali, tak jadi-jadi.”
Sikap. Dari sekecil-kecil hal mampu menghalang daripada berprestasi di akhirat.
Selagi terus mahu menyalahkan, bila mahu berubah? Bila mahu berani ambil tanggungjawab atas segala pilihan tindakan?
Adakah sikap selesa menjadi mangsa ini bertitik tolak daripada kemalasan berfikir, enggan cari ilmu tentang kebenaran?
Jadi tak payah susah².. redah je.
Hidup ni, kita langgar je.
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Al-Isra’,17 ayah 36
====================
Sedangkan, bukankah kelak kita akan menemuiNya sendiri-sendiri?
وَكُلُّهُمْ آتِيهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَرْدًا
Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.
-Sura Maryam, Ayah 95
Mampukah menyalahkan sesiapa?
______
Take charge of my own life.
Meskipun ada campur tangan manusia luar membuatkan hidup merana, saya bukan mangsa. Saya masih punya ruang berbuat sesuatu.
Kerana Allah ada.
Meskipun dicampak ke dalam penjara sekalipun, masih mampu berprestasi seperti Nabi Yusuf. Berdakwah kepada banduan penjara dan menawarkan khidmat profession nya.
Saya bukan mangsa.
Saya tak perlukan approval manusia lain untuk ambil tindakan atas kebenaran.
Dan saya membuat pilihan kehidupan dengan tanggungjawab, berteraskan panduan Tuhan.
Kalau saya tersilap, saya akan mengaku kesalahan saya. Dan memperbaikinya.
Tidak menyalahkan yang lain. Apatah lagi menyalahkan Tuhan.
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.
Al-Araf, 7:23
Saya bukan mangsa.
Saya punya pilihan menentukan kehidupan ini dan kehidupan selepas kematian.
Terima kasih. Best perkongsian ini.