Untuk kamu
“Kenapa tak masak makanan kegemaran saya! ” Si anak marah-marah, mencerca si ibu
Si ibu tergamam. Air mata mula bergenang.
“Ibu dah bangun awal pagi tadi, jalan kaki ke pasar semata-mata tak nak susahkan kamu. Lepas tu cepat-cepat balik untuk bantu kamu. Masak sesegera mungkin supaya kamu dapat makan.”
Hati berkecai. Segala bakti khusus diberikan kepada insan yang disayangi rupa-rupanya tidak dihargai.
***
Begitu drama antara seseorang yang mengasihi seorang yang lain lagi lalu sanggup mencurahkan khidmat bakti khusus kepadanya. Namun, rupa-rupanya langsung tidak dihargai.
Bila si anak pijak kepala orang tuanya.
Ada juga kes si anak sekeluarga yang menumpang rumah ibu bapa, tetapi menjadikan ibu bapa umpama orang gaji. Dalam keadaan orang tua yang berusia dan sakit, terpaksa pula mengurus rumah, memasak dan membasuh pakaian si anak anak-beranak.
Wujud ya manusia sebegitu?? Manusia yang tidak bersyukur terhadap manusia lain yang terlalu banyak berbakti dalam hidupnya.
Bagaimana pula dengan sikap manusia yang seolah-olah menjadi “boss” kepada Tuhannya? Semua kehendak hidupnya “wajib” ditunaikan, semua rezeki harus diberikan kepadanya. Namun, dirinya masih sombong untuk bertaqwa kepada Tuhan.
Marah bila Tuhan menetapkan kekurangn rezeki di dunia sementara. Tetapi tetap tidak bersyukur saat tuhan memberikan rezeki melimpah-ruah kepadanya.
Hey, Kenapa sombong sangat dengan Tuhan ni?
Sedangkan Dia telah memberikan segala nikmatnya khusus UNTUK KAMU!
***
Menelurusi surah An-Nahl, menuntun diri memahami tauhid uluhiyah. Surah yang dimulakan dengan persaksian ketuhanan (tauhid uluhiyah), mempasakkan jiwa dengan kefahaman Dialah yang diharapkan dan diabdikan.
Dia menurunkan malaikat membawa wahyu dengan perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; (Lalu Dia berfirman) “Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu bertaqwalah kamu kepadaKu.”
An-Nahl, 16 : 2
Bagaimana untuk timbul rasa mahu taat, tunduk, taqwa kepada Tuhan?
Ayat-ayat berikut mengajar bahawa sebelum seorang insan itu sanggup dan mahu bertaqwa kepada Tuhan, harus mengenal dan acknowledge segala nikmat dan limpah bantuan yang telahpun Dia berikan.
Dia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah; Maha Tinggilah Dia dari perbuatan syirik yang mereka lakukan. Dia menciptakan manusia dari air benih, tiba-tiba menjadilah dia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya.
An-Nahl, 16 : 3-4

Dan binatang-binatang ternak itu, Dia juga menciptakannya UNTUK KAMU ; terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain; dan daripadanya juga kamu makan. Dan BAGI KAMU pada binatang-binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berehat (pada waktu petang), dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi).
An-Nahl, 16 : 5-6

Dan binatang-binatang itu pula membawa barang-barang UNTUK KAMU ke mana-mana negeri yang kamu tidak dapat sampai kepadanya melainkan dengan menanggung susah payah. Sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya. Dan (Allah menjadikan) kuda, dan baghal serta keldai UNTUK KAMU menunggangnya dan untuk menjadi perhiasan; Dan Dia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
An-Nahl, 16 : 7-8

Dialah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya UNTUK MINUMAN KAMU dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak memakannya. Dengan sebab hujan itu, Dia menumbuhkan UNTUK KAMU, tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda bagi kaum yang mahu berfikir
An-Nahl, 16 : 10-11
Dan Dia memudahkan UNTUK KAMU malam dan siang, dan matahari serta bulan,; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya UNTUK KEPERLUAN-KEPERLUAN KAMU. Sesungguhnya demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi kaum yang mahu memahaminya.
An-Nahl, 16 : 12

Dan apa-apa jua yang dijadikan UNTUK KAMU di bumi pelbagai warna yang berlainan jenisnya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda bagi kaum yang mahu mengingati nikmat Allah itu.
An-Nahl, 16 : 13


Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnianya dan supaya kamu bersyukur.
An-Nahl, 16 : 14

Dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju
An-Nahl, 16 : 15

Dan tanda-tanda panduan jalan dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju.
An-Nahl, 16: 16

Kalau sudah demikian, adakah Allah yang menciptakan semuanya itu sama seperti makhluk-makhluk yang tidak menciptakan sesuatu? Maka patutkan kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?
An-Nahl, 16 : 17
***
Semua ini Dia ciptakan UNTUK KAMU wahai manusia.
Mengapa enggan bertaqwa?
An-Nahl, 16 : 2
Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepadaku!
JIka hati yang masih hidup mahu berbakti dan taat kepada insan yang banyak berkorban iaitu ibu bapa.
Apatah lagi ketaatan kepada Tuhan, bukankah Dia yang paling banyak memberikan manfaat kepada manusia?
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan. Dan makhluk-makhluk yang mereka seru selain Allah tidak dapat menciptakan sesuatupun bahkan merekalah yang diciptakan.
An-Nahl, 16 : 20