Agar dipilih Tuhan

“Boleh saya akhirkan kehidupan saya?” Dia bertanya melalui hantaran Whatsapp

Diikutkan hati, mahu sahaja terjun ke bawah dari tingkat 13 itu.

Benarlah apa yang mereka katakan. “Tak buat” lebih mudah daripada nak ber”taubat”.

Kalau dah terlibat dalam maksiat indah belaka ni, nak keluar itu perlukan jihad yang tinggi. Bergelut dengan diri sendiri. Entah bagaimana Nabi Yusuf mampu berpaling daripada ujian besar ini?

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya. Demikianlah (takdir kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji,

kerana sesungguhnya dia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa (mukhlasin)

Al-Quran, Yusuf, 12 : 24

Dalam dunia yang segalanya di hujung jari, sumber-sumber maksiat diperoleh hanya dengan satu klik. Anak-anak kecil boleh sahaja melayari laman-laman lucah secara sengaja ataupun tidak hanya kerana adanya internet. Saat sumber yang membangkitkan syahwat hadir depan mata, sekuat manakah iman mampu berpaling daripadanya?

Teladan Nabi Yusuf membawa hikmah besar. Ketika diuji dengan syahwat, hadirnya wanita bukan mahram menyerah diri, imannya kuat untuk melawan.

Dan Allah membongkar rahsia memiliki perisai iman sebegini ampuh pada ayat terakhir ayat ke-24 surah Yusuf.


…kerana seseungguhnya dia dari kalangan hamba-hamba Kami yang mukhlasin

Al-Quran, Yusuf, 12 : 24

Saat si hamba dijadikan golongan mukhlasin (orang yang diikhlaskan Allah), ketika itu, syaitan tiada kuasa ke atas mereka.


قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِي إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ﴿٧٩﴾ قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ ﴿٨٠﴾ إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ ﴿٨١﴾ قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٨٢﴾ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ ﴿٨٣

Iblis berkata ” Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). Allah berfirman “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari masa yang termaklum.” Iblis berkata “Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya,

“Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan (mukhlasin)

Al-Quran, Al-Hijr, 15 : 79-83

Boleh bayangkan bagaimana dunia ini saat si syaitan durjana tidak punyai KUASA ke atas manusia?

Dan lagi, saat si hamba tergolong dalam kelompok muhsinin, syaitan juga tiada kuasa untuk menampakkan segala maksiat itu indah-indah. Mereka tidak lagi mampu menipu setiap kita sehingga cenderung bermaksiat, menyukai pemandangan manusia tanpa pakaian dan lain-lain hal yang bertentangan fitrah.

Bebaslah manusia daripada genggaman tangan syaitan.


قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٣٩﴾ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ ﴿٤٠

Iblis berkata “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. ‘

Kecuali hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”(mukhlasin)

Al-Quran, Al-Hijr, 15 : 39-40

Solusi menjadi peribadi sekuat Nabi Yusuf yang berhadapan ujian wanita rupa-rupanya ada dalam surah As-Soffat. Surah ini akan mengajar kita seperti apakah golongan mukhlasin itu?

Ada ketika, seruan Tauhid Rasul rasa mahu diingkari. Masih mahu bertuhankan syaitan ataupun hawa nafsu sendiri.

Rupa-rupanya, saat si hamba benar-benar mengetepikan tuhan-tuhan selain Allah (seperti nafsu dan syaitan), ketika itulah dirinya melayakkan diri menjadi mukhlasin.

Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya “Tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah” Mereka bersikap takbur mengingkarinya. Serta mereka berkata “Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila? Tidak! bahkan dia telah membawa kebenaran (tauhid), dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh rasul-rasul.

Sesungguhnya kamu akan merasai azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan kamu tidak dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah kerjakan.

KECUALI HAMBA-HAMBA ALLAH YANG DIBERSIHKAN DARI SEBARANG SYIRIK (MUKHLASIN)

Al-Quran, As-Saffat, 37 : 35-40

Ada ketika, cenderung untuk melakukan apa yang dilakukan orang tua atau tradisi orang-orang zaman dahulu. Terburu-buru mengikuti apa yang dilakukan mereka yang senior. Nampak ibu bapa meninggalkan solat, lalu anak-anak terburu-buru ikut meninggalkan solat. Nampak orang tua bergaul bebas di pejabat-pejabat tak kira lelaki perempuan, si anak-anak terikut-ikut rentak “sporting” ibu dan ayah mereka. Bahkan ayah membawa ke disko, mengambil minuman keras, apakah si anak patut turut mengikuti dan kelak mempersalahkan si ayah di akhirat nanti?

Sedangkan, mereka yang berani melawan arus, tidak terburu-buru melakukan apa yang dilakukan ibu bapa tanpa dalil, mereka inilah golongan mukhlasin.

Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan. Lalu mereka terburu-buru menurut jejak langkah datuk neneknya. Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga -sebelum kaummu, kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu. Padahal demi sesungguhnya, Kami telahpun mengutus dalam kalangan kaum-kaum itu, rasul-rasul pemberi amaran. Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran.

KECUALI HAMBA-HAMBA ALLAH YANG DIBERSIHKAN DARI SEBARANG SYIRIK (MUKHLASIN)

As-Saaffat, 38 : 69-74

Boleh ya, mensyirikkan Allah dengan atuk nenek-moyang? Ketika diri memilih mengikut apa yang dilakukan “mereka” dan bukan mengikut apa yang “Dia” tentukan, terlepaslah diri daripada menjadi mukhlasin. Bersiap-sedialah menghadap bisikan syaitan yang mengelabui mata.

Manusia itu juga, ada ketika mahu mematuhi kehendak sendiri. Saat mesej Tuhan berbaur perintah dan larangan, semuanya mahu dilanggar.

Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari rasul-rasul (Kami) yang diutus. (ingatlah peristiwa) ketika dia berkata kepada kaumnya “Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangnNya. Patutkah kamu menyembah baerhala Ba’la dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?Iaitu Allah Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu?

Maka mereka mendustakannya, akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa).

kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (mukhlasin)

As-Soffat, 37 : 123-128

Mahu menjadi peribadi mukhlasin? Patuhi suruhanNya. Jauhi laranganNya.

Serah diri meskipun tidak mengerti hikmah di sebalik hukum

“Kenapa nak tutup aurat ni?”

“Kenapa perlu jaga etika pergaulan antara lelaki dan perempuan? Kenapa tak boleh borak-borak sembang-sembang dengan yang ajnabi?”

“Kenapa tak boleh makan riba? Kenapa kena bayar zakat?”

“Kenapa kena menundukkan pandangan? Kenapa tak boleh tengok pornografi?”

“Kenapa lelaki kena bagi nafkah kepada isteri dan anak-anak?”

Kenapa. Kenapa. Kenapa.

Kenapa?

Agar berserah diri kepada Allah. Agar menjadi golongan mukhlasin. Agar menjadi golongan yang dipilih Allah. Agar menjadi golongan yang tak dikuasai iblis saat iblis melancarkan serangan ke atas seluruh umat manusia.

Serah diri pada Tuhan.

Serah diri pada segala hukum Tuhan meskipun tidak memahami hikmah.

Serah diri seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.


Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),
Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”.

As-Soffat, 37 : 102-109

Masih mahu berperang dengan diri sendiri?

Masih mahu berperang dengan bisikan syahwat dan iblis?

Masih mahu berperang antara mahu taat atau tidak.

Masih mahu berfikir dan membuat pertimbangan antara memenangkan nafsu atau memenangkan iman?

Apa pendapat untuk terima segala pengalaman dunia dalaman diri sebagai “peristiwa” yang tidak perlu sentiasa diikutkan?

Apa pendapat jika “lepaskan” pergelutan dengan tuhan nafsu dan syaitan?

Usah fikirkanlah lagi kenapa.

Usah direnungkan lagi segala “kerugian” saat memilih taat suruhanNya

Usah menghitung segala kerugian nafsu syahwat saat memilih kembali kepadaNya

Usah dipertimbangkan lagi konon “hilangnya perhatian kekasih” saat memilih kembali berpaut pada Tuhan

Serah diri pada hukum Tuhan meskipun tidak memahami hikmah.

Serah diri seperti Nabi Ismail bersedia untuk disembelih saat begitu percaya pada Tuhan Yang Maha Penyayang.

Serah diri.

Dan rebut kembali bahagia kehidupan sebenar dengan cahaya ilahi.

Rebut kembali segala yang engkau kehilangan selama bergelut dengan tuhan-tuhan selain Allah.



______________________

Kerangka penulisan ini adalah tadabbur kalimah الْمُخْلَصِينَ

Kalimah tersebut hadir 8 kali dalam Al-Quran.

1 kali dalam surah Yusuf

1 kali dalam surah Al-Hijr

1 kali dalam surah Sod

5 kali dalam surah As-Soffat

#SKDA

One thought on “Agar dipilih Tuhan

Leave a Reply to Dinky Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.