Mensyukuri hadirnya “gejala”

“Bau hangit apa ni?”

-“Kau hidu apa? Saya takde kesan apa-apa pun.”

“Betul. Ada sesuatu terbakar ni.”

-“Abaikan je bau tu. Sambung buat kerja. Meh saya pasangkan aromatherapy bagi bau wangi. Hilang bau hangit.”

Dia mengabaikan saranan adiknya. Gerak hati mendesaknya untuk terus bergegas menjenguk ke luar bilik.

“Hoi! Dapur terbakarlah. Cepat keluar!”

Kedua-dua beradik itu terus keluar menyelamatkan diri. Bekas aromatherapy langsung ditinggalkan.

Andai kedua-duanya memilih untuk “menutup” gejala bau hangit melalui semburan minyak wangi atau aromatherapy diffuser, kemungkinan besar kebakaran itu meragut nyawa kedua-duanya. Syukur atas bau hangit sebagai gejala / tanda-tanda/ simptom yang kurang enak . Meskipun memberikan ketidakselesaan, tetapi gejala itulah yang memberikan isyarat kepada punca permasalahan yang lebih utama.

***

Kehidupan adalah medan ujian buat insan yang dicptakan untuk kebahagiaan akhirat. Ada ketika, kesulitan-kesulitan hadir dalam bentuk gejala-gejala atau simptom kepada permasalahan yang lebih besar.

Ada manusia memilih menutup gejala tersebut seperti kisah di atas. Memilih menutup “gejala” bau hangit dengan wangi-wangian. Andai itu tindakan yang dipilih, “gejala” bau hangit akan hilang tetapi api kebakaran tetap merebak jika tiada usaha “memadamkan” sumber permasalahan.

Yang lebih parah, bagaimana jika sepanjang kehidupan seorang manusia itu, segala usaha dan kesibukannya adalah untuk menutup gejala/simptom semata-mata? Saat bertemu Tuhan di Hari Akhirat, gagal membawa hati yang bersih akibat tiadanya usaha “memadamkan kebakaran” akibat lalai daripada memerhatikan punca kepada gejala-gejala yang hadir.

Misalnya, seorang pekerja yang diuji dengan tindakan majikannya yang meletakkannya pada posisi yang tinggi. Dia dipaksa menyiapkan tugasan yang pada pandangannya memerlukan kemahiran yang tinggi, tidak sepadan dengan kelayakan dirinya. Dia mula rasa tertekan, stress. Semuanya kerana terpaksa memenuhi “expectation” majikan yang meletakkan piawai tinggi pada dirinya. Segala gejala emosi yang berkecamuk cuba ditutup dengan membanyakkan tidur dan marathon cerita Netflix. Minggu berganti minggu dan dia terus tertekan dengan situasi tersebut yang cuba diurus dengan “ubat” hiburan.

Apa pendapat jika memilih mengurus punca isu (apa yang terbakar) berbanding mengurus gejala (tutup “bau hangit” dengan wangian). Apa perspektif diri terhadap kerjaya? Bagaimana lensa merakam segala yang terjadi sebagai ujian untuk meluruskan akidah? Apakah sistem kepercayaan yang salah dan perlu diperbetulkan agar diri dapat berprestasi penuh bahagia meskipun ditekan?

Apa pendapat jika kesulitan ini dihadirkan dalam taqdir Tuhan sebagai gejala/simptom kepada isu aqidah? Tuhan mahu mendidik diri akan suatu nilai berharga yang masih belum tertanam dalam diri?

Adakah sebenarnya Tuhan mahu mendidik saya untuk mengakui status kehambaan yang memang banyak tak tahu, lalu harus bergantung pada Yang Maha Mengetahui?

Adakah Tuhan mahu saya melepaskan keegoan saya untuk tunduk dan merintih merayu berdoa kepada Dia, memohon pertolongan?

Adakah Tuhan mahu saya berharap pada Ar-Razzaq sehingga saya lapang memberikan yang terbaik dalam kerjaya saya tanpa perlu dipengaruhi tekanan majikan saya?

“Selepas kerahkan segala usaha dan kemampuan saya untuk memberi dan membantu syarikat, saya tak perlu tertekan atas hal yang saya tak mampu capai. Saya di sini , memang untuk membantu. Dan andai hari ini adalah hari terakhir saya hidup, saya mahu berikan yang terbaik kerana Tuhan, bukan kerana majikan saya.”

Di sebalik gejala emosi yang tertekan, ada “sakit” pada cara fikir dan emosi yang perlu disembuhkan.

Contoh lain, seorang isteri yang tertekan dengan emosi kecewa dan tidak puas hati terhadap suami yang memilih menyara kehidupan seorang lagi ibu tunggal sebagai isteri kedua. Emosi kecewa dan cemburu itu diuruskan dengan melakukan segala strategi sehingga si suami gagal menemui isteri keduanya selama berbulan-bulan bahkan cecah tempoh setahun. Hadir rasa “selamat” dan rasa “berjaya” kerana si suami memilih dia berbanding madunya. Terubat kecewa. Sedikit demi sedikit hadir rasa tenang. Tetapi apakah itu menyelesaikan punca isu (api yang membakar) atau sekadar mengurus gejala-gejala emosi (menutup bau yang hangit dengan wangian) yang tidak enak?

Apakah didikan Tuhan sehingga memilih anda di posisi ujian sedemikian? Apa pendapat jika Tuhan mahu mendidik meluruskan aqidah sehingga meletakkan sifat Ar-Razzaq itu pada Tuhan, bukan pada si suami? Melepaskan pergantungan pada si suami, membersihkan pengharapan hanya pada Robb?

Apa pendapat jika Tuhan mahu mendidik, meluruskan aqidah sehingga meletakkan sumber cinta tak berbelah bahagi itu adalah pada Ar-Rahman Ar-Raheem, bukan pada si suami? Sehinggakan jiwa yang menerima sumber cinta tanpa syarat daripada Tuhan itu mampu disebarkan kepada manusia sekeliling tanpa takut dan gundah tidak dibalas kerana kasih sayang Tuhan sudah terlalu cukup memenuhi ruang hati?

Sudahkah sejahtera akidah setiap kita sehingga yakin akan selamat bertemu denganNya suatu hari kelak?


Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,
“Kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (qolbun saleem)

Asy-Syua’ara, 26 : 88-89

***

Realitinya, setiap ujian kehidupan ini hadir khusus dan unik di perjalanan setiap kita. Hadirnya ujian yang meskipun tidak disukai itu, bukanlah untuk kita mencipta drama atau bersaing siapa yang menang.

Tetapi, dalam setiap ujian itu, ada peluang menyembuhkan penyakit-penyakit tauhid yang barangkali selama ini tidak disedari akibat belum nampak gejala-gejala atau simptom-simptomnya. Lalu, tatkala gejala-gejala itu hadir dalam bentuk emosi kekecewaan yang melampau, mahu memilih mengurus punca permasalahan (api yang membakar) atau sekadar mahu menutupi gejala tersebut (menyemburkan wangian, menghilangkan bau hangit).

***

Dialah Robb, Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.

Bukan saya. Its ok untuk saya tak tahu sebab saya hamba. Saya boleh meminta bantuan daripada Robb, Yang Maha Tahu

Dialah Robb, Yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang, Yang Maha Memberi Rezeki.

Bukan pasangan saya. Kalau pasangan saya mengabaikan saya, pudar kasih sayang kepada saya, saya tetap bahagia dengan cinta tanpa syarat bersumberkan Robb yang dah memberikan saya segala-galanya.


وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا ۛ أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ – 7:172


Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku ROBB kamu?”

Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”.

Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

– Al-‘Araf, 7 : 172

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.