Tidak Perlu Kaya Harta…

Nama surah dan no ayat : 57) Al-Hadiid 29 ayat 7

Artikel ini ditulis oleh Noraini

*****

Coretan ini buat diri…

Sentiasa terdetik di benak fikiran, apa yang boleh aku lakukan untuk menjadikan diri ini mampu memberi manfaat pada orang lain kerana selalu merasakan diri tidak punya apa-apa. Ada waktu bila melihat kelebihan orang lain yang mampu mengeluarkan sejumlah hartanya untuk diinfakkan, timbul rasa iri hati dan mula merasakan betapa teruknya aku.

Tapi hari ini, persoalan itu terjawab tatkala membaca surah Al Hadid ayat 7 di mana Allah berfirman :

 

Berimanlah kamu kepada Allah dan RAsul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan sebahagiandari hartanya memperoleh ganjaran yang besar.

 

Allahu…kelu seketika. Tidak semestinya punya wang berjuta, tidak perlu menjadi orang yang dikenali dan berkuasa untuk mula memberi nafkah.  Allah tidak menggariskan perlu memiliki sekian banyak harta atau wang ringgit untuk dinafkahkan.  Allah bagi jalan untuk menafkahkan sahaja daripada apa yang Allah sudah berikan kepada kita.

Merenung diri sendiri, aku memiliki dua tangan dan dua kaki yang sempurna yang Allah kurniakan sebagai asset diriku.  Allah bagi peluang untuk hadir kelas-kelas tadabbur. Mengapa tidak aku gunakan nikmat itu untuk dinafkahkan?

Mengambil semangat dan janji Allah yang akan memberi ganjaran besar kepada hambaNya, aku jelas untuk menggunakan ilmu yang diperolehi untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat dan kenalan yang tidak berpeluang hadir ke majlis-majlis ilmu semoga mereka turut mendapat manfaat. Terima kasih Allah di atas kurniaan-Mu yang sangat banyak.