BELUM MASA UNTUK DIA RUPANYA
Nama surah dan no ayat : 4) An-Nisaa’ 176 ayat 5
Artikel ini ditulis oleh Roslina
*****
“Yang, kenapa bil telefon awak tinggi sangat ni,” diri ini bertanya, sedikit panik.
“Mana saya tahu, saya guna macam biasa jer. Pakai whatsap jer, ” En Suami macam masih tak puas hati. Sehelai lagi sampul surat Celcom dibukanya.
“Eh ! Bil saya pun tinggi jugak ni. Sampai RM 405.90, ini dah teruk. Celcom ni kira macam mana ni ? Dah lah tiada perincian bil. Adoi ! Parah ni kalau 2 bil dah nak seribu. Mana nak cekau duit nak bayar,” membebel-bebel En. suami sudahnya. Kepalanya dah mula mencongak wang yang bakal keluar bagaikan air.
“Masa abang outstation hari tu, abang terlupa off roaming kot ?” Cik Puan Isteri mulai menebak. Iya lah, bukankah encik suami 8 hari di luar negara. Mana tahu tersilap roaming.
“Hish ! pening lah saya macam ni,” si suami mendengus.
“Dah, tak perlu nak buat andaian. Simpan dulu pening tu. Esok kita ke Celcom, kita selesaikan bil ni, tanya pihak Celcom kenapa bil melambung sangat dua tiga bulan ni, ” saran si Isteri menutup bicara petang.
Keesokkan harinya, pagi-pagi lagi kedua-duanya terus ke pejabat Celcom.
“Maaf tuan, kami nak semak bil kami, sebab musykil bil kami tinggi sangat,” si suami menahan sabar menerangkan tujuan mereka di situ.
Setelah beberapa saat menekan papan kekunci di hadapannya, staf di pejabat Celcom bertanya “Tuan guna IPhone ?’
“Tak,” ringkas si suami menjawab kehairanan.
“Ada ahli keluarga lain menggunakan IPhone ?” staf berkenaan bertanya lanjut.
“Ada. Anak. Kenapa ?” Si suami mula berasa tidak senang hati.
“Ini adalah bil daripada IPhone utk pembelian atau subscibe game.” Penuh hati-hati staf berkenaan menerangkan.
Terdiam pasangan suami isteri. Dalam minda masing-masing terbayang anak bujang kesayangan yang dituruti segala kehendak.
“Bil penggunaan telefon tuan sebenarnya RM 80 sahaja, bakinya adalah bil daripada IPhone yang dibilkan ke talian tuan. Tuan nak saya bantu blokkan ke ?”
Si suami mengangguk lemah. Sedikit pun dia tidak menjangkakan inilah padah yang bakal diterima. Patutlah bil tinggi melambung setiap bulan.
Si isteri masih tenang dalam istighfar. Dah banyak kali dia berpesan kepada si suami untuk tidak menuruti kehendak si bujang memiliki telefon sendiri. Bukan kerana isu telefon semata-mata. Tetapi kerana anak itu belum mampu berfikir dengan betul untuk membuat keputusan baik dan buruk.
Teringat ayat ke 5 surah An Nisa’ :
“Dan janganlah kamu serahkan kepada ORANG YANG BELUM SEMPURNA AKALNYA, harta (yang ada di dalam kekuasaan) kamu yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berilah mereka belanja dan pakaian dan ucapkanlah mereka perkataan yang baik-baik”
Cepat-cepat si isteri mengajak si suami merenungi pesanan Sang Pencipta kepada mereka.
“Allahu ! Astaghfirullahal adzim ! Betapa Allah dah beri peringatan ..tapi kita yang lalai. Alhamdulillah, Allah tegur dengan isu ini, sebelum abang layan kehendak-kehendak dia yang lain.” Dalam kesedihan, terselit rasa syukur di hati si suami.
Minggu lalu, si suami sudah berkira-kira mahu membelikan motor buat si bujang yang bakal menjejak usia 16 tahun. Kononnya lebih mudah untuk dia ke sekolah. Ayat pesanan dari An Nisa ini menyebabkan dia terus berfikir, pasti ada banyak keburukan di sebalik penegasan Allah ini. Sebagai pemimpin keluarga dia perlu bertindak mengikut panduan Al-Quran.
Dia sedar dalam isu telefon kali ini, dia yang tersilap. Maka dia berazam untuk berbicara baik-baiknya dengan anaknya . Semoga Allah mengampuni kesilapan mereka sekeluarga.
Pada masa yang sama, mengembalikan mereka kepada keluarga yang sakinah dan mawaddah.
Ya Rahman Ya Rahim !
Teruslah pandu sekalian keluarga agar kembali merujuk kepada Al QuranMu yang serba lengkap. Kurniakanlah kami hidayahMu agar tidak lagi rabun dalam menjalani kehidupan di alam ini.
Amin