Tadabbur Tazakkur

Checklist taqwa

Ramadhan nak habis. Yang nak semak checklist taqwa boleh baca ini.


Dengar-dengar Hari Raya Rabu ni. Saya sedikit risau kalau-kalau berlalu bulan mulia ini tanpa diri upgrade kualiti taqwa.

Lebih-lebih lagi, syarat membumikan Wahyu, menjadikan Kalam Tuhan sebagai petunjuk hidup, adalah dengan memiliki jiwa taqwa.

Ouch… Adakah kalau tiada sekelumit jiwa taqwa, Quran sulit menjadi petunjuk?

=====

ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa;

-Sura Al-Baqarah, Ayah 2

Quran tu penting untuk jadi petunjuk . Jadi, saya mesti nak jadi orang bertaqwa tu.

Agar Quran benar² menjadi petunjuk buat saya.

Apakah ciri-ciri orang yang bertaqwa?

1⃣ Beriman pada yang ghaib [2:3]
2⃣ Mendirikan solat [2:3]
3⃣ Infaq rezeki kurniaanNya [2:3]
4⃣ Beriman kepada apa yang Dia turunkan kepada Nabi Muhammad (Al-Qurab) & Kitab sebelumnya. [2:4]
5⃣ Meyakini akhirat [2:4]
.
.
.
.
.
.
.

Jom semak satu-satu

1⃣ Beriman kepada Yang ghaib.

Tahan diri daripada makan & minum memang melatih jiwa tunduk kepada Allah yang tak terlihat dek mata (ghaib).

Sememangnya puasa itu melatih ciri taqwa [2:183] yang pertama : keimanan kepada yang ghaib.

Tak nampak Allah, tapi sanggup taat, tak makan dan tak minum.

Tak nampak Malaikat pencatat Amal, tapi sanggup menahan diri daripada mengumpat, mencela dan semua larangan Tuhan dalam Quran.
.
.
.
2⃣ Mendirikan solat.

Ramadhan, memang bulan yang paling banyak solat.

Kan?

Membuatkan mereka yang mendirikan solat itu mengulang doa paling utama dengan kuantiti paling banyak dalam bulan Ramadhan. Itulah doa :

(ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَ ٰ⁠طَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ ۝ صِرَ ٰ⁠طَ ٱلَّذِینَ أَنۡعَمۡتَ عَلَیۡهِمۡ غَیۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَیۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّاۤلِّینَ)
Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

[Surat Al-Fatihah 6 – 7]

Kalau hari biasa, mungkin hanya mengulang doa ini 17 kali sehari.

Dalam Ramadhan, boleh jadi tambahan 17 (solat fardhu) + 12 (solat nawafil) + 23 (terawih & witir) + 8 (tahajjud) = 60 Kali

Seorang hamba yang benar-benar memaknai doa yang diminta 60 kali sehari kepada Tuhan, seharusnya benar-benar mahu memfungsikan doanya bukan?

Bukan sekadar doa berbasa-basi tanpa makna & kesungguhan.

Kalau doa kat Allah memohon rezeki, seharusnya selesai berdoa, terus kerahkan usaha mencari rezeki.

Kalau doa kepada Allah memohon straight A’s dalam peperiksaan, seharusnya selesai berdoa, terus bersungguh-sungguh belajar.

Justeru, selesai 60 kali berdoa kepada Allah meminta jalan yang lurus, iaitu jalan mereka yang Allah kurniakan nikmat (seperti jalan para Nabi, siddiqin, syuhada’ & solihin [4:69] ), hamba yang benar-benar memaknai doanya seharusnya …

1) Cari tahu apakah jalan yang lurus itu dengan peduli bersungguh-sungguh memahami petunjukNya.

2) Usahakan untuk beramal dengan setiap ayat-ayat Tuhan (sumber jalan yang lurus) dan itulah Amal Soleh yang menjadi syarat memasuki syurga selepas beriman.

Nampak perkaitan antara Solat, Quran & Amal?

Solat = komunikasi dengan Tuhan. Bermohon kepada Tuhan akan perkara paling kritikal iaitu jalan yang lurus, menuju syurga.

Quran = Sumber petunjuk yang memberi panduan apakah jalan yang lurus

Amal = Manifestasi iman kepada jalan yang lurus dengan tindakan membenarkan wahyu Tuhan melalui hati, kata-kata & perbuatan.

Misalnya, Seseorang yang bermohon jalan yang lurus kepada Allah 60 kali sehari dalam bulan Ramadhan. Lalu cuba memahami jalan yang lurus melalui surah At-Taghabun. Seterusnya mahu berusaha untuk berlapang dada, memaafkan dan tidak marah kepada pasangan & anak-anak [64:14-16]

👆 Sudahkah proses solat & Quran yg melahirkan Amal Soleh ini sebati dalam diri untuk 114 surahNya yang lain?

3⃣ Infaq.

Ramadhan juga bulan yang meriah dengan infaq.

Memiliki rezeki ilmu? Infaqlah rezeki ilmu kepada manusia lain dengan cara paling berhikmah.

Memiliki rezeki harta? Berilah kepada mereka yang memerlukan tanpa mengungkit-ngungkit.

Saat terasa berat untuk memberi, Moga-moga Bulan Ramadhan ini melatih diri untuk memberi kerana terinspirasi dengan amal mereka yang berlumba-lumba berinfaq di sekeliling Kita.

4⃣ Beriman kepada apa yang Dia turunkan kepada Nabi Muhammad & Kitab sebelumnya.

Sebelum ini, perintah kewajipan berpuasa kepada umat terdahulu adalah sekitar 10 hari [2:184].

Tetapi, umat Muhammad, perintah berpuasa adalah selama sebulan [2:185].

Memang berbeza.

Tetapi, orang yang bertaqwa, terutama mereka yang hidup dalam dua zaman (zaman sebelum dan selepas diturunkan Al-Quran), akan taat tanpa membangkang.

Menerima apa yang Dia turunkan dengan pembuktian Amal berpuasa.

Tiada berdolak-dalih. Tak kata “Eh, nenek moyang saya dulu buat beginilah. Bukan begini.”

Begitulah sikap kita terhadap ayat-ayatNya.ketika datang ayat-ayat Tuhan Yang menafikan kemahuan kita, bertentangan dengan nafsu kita, pilihlah untuk beriman kepada yang Dia turunkan.

Usah membangkang, berdolak-dalih “Tetapi semua kawan sekolah bercouple. Mak ayah, tok nenek semua buat begini. Kenapa saya kena ikut ayat-ayat Tuhan yang berbeza dengan kefahaman saya yang dulu, diasuh sejak kecil?”

5⃣ Meyakini akhirat.

Akhir sekali, latihan puasa pada masa yang sama melatih keyakinan kepada Hari Akhirat.

Bersungguh-sungguh berdoa pada waktu sahur & iftar kerana percaya pada ganjaran akhirat.

Bersungguh-sungguh mencari lailatulqadr kerana meyakini akan perlunya berat timbangan Amal di akhirat kelak.

Bersungguh-sungguh memohon keampunan Tuhan kerana meyakini perlunya Rahmat Tuhan di Hari yang hanya Dialah Yang Menguasai Hari Pembalasan
.
.
.
.

Ramadhan bakal berlalu, sudahkah latihan puasa semakin memperkuatkan jiwa taqwa, menjadi bekal terbaik menghadapi 11 Bulan mendatang?

One thought on “Checklist taqwa

  • Jannatunaiza@yahoo.com.my

    Syukran atas ingatan yg usaha perlu bersungguh2 dlm merebut peluang di bln Ramadhan ni

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.