Seruan Jihad ke Bumi London & Paris
Nama surah dan no ayat
47) Muhammad 38 : Ayat 7
Artikel ini ditulis oleh siti zubaidah
Coretan ini buat diriku yang sempurna fakir di sisi Allah. Tidak ada apa yang menjadi milikku, semuanya adalah milik Allah Ya Malik Ya Malikul Mulk.
Sedang aku menaip di laptop, mengemaskini bahan-bahan ceramah untuk program akan datang, masuk pesanan ringkas di group telegram.
“ Tiket keretapi dari Paris ke Grenoble dah ada. RM 700 nilainya, InshaaAllah Allah Ya Razzaq Ya Muqit mencukupkan dana untuk kamu ke sana.” Aku kaget. Aku ulang baca lagi pesanan ringkas itu.
Sah ! Ainul dah dulukan duit dia belikan tiket keretapi. Padahal baru kelmarin aku dimaklumkan bahawa aku dan Kak Zura tak perlu ke Paris dan London untuk trip dakwah kali ni. Kami akan ke United State pada bulan Ogos nanti inshaaAllah Ya Baari andai itu agenda Allah.
Jadi, aku dan Kak Zura tidak lagi memikirkan tentang urusan untuk ke Paris dan London kali ini. Tambahan pula, dana tabungan aku dan Kak Zura agak kempis kali ini.
Namun, tiba-tiba mendapat perkhabaran tentang tiket keretapi dari Paris ke Grenoble telah dibeli, aku jadi keliru lantas bertanya kepada Allah. “ Ya Allah Ya Zohir Ya Haq, betul ke aku kena pergi ni Ya Allah?”. Jauh di sudut hatiku merasakan aku kena ikut sama dalam trip dakwah kali ini.
Aku terdiam seketika, sambil membuka apps Maybank2u. Terlihat baki duit di dalam akaun ku hanya ada RM 234.35. “ Ya Allah, ada banyak ni je duit yang Engkau bagi. Macam mana nak beli tiket flight ke sana Ya Allah?”.
30 minit kemudian telefon bimbit ku berbunyi. Panggilan dari Kak Zura.
“ Qis, dah dapat message dari Prof?” tanya Kak Zura. Suaranya tenang bercampur sedikit teruja.
“Ada kak. Ainul dah belikan tiket kita dari Paris ke Grenoble. So macam mana ni kak? Dana tabung dari Allah Ya Razzaq takda ni kak.” Aku ketawa kecil, lucu memikirkan nak ke luar negara tapi duit tabungan tiada.
“ Itula Qis, takpe. Allah Ya Razzaq Ya Muqit. Mesti Allah akan cukupkan nanti. Awak dah tanya Allah?”, tanya Kak Zet tak sabar menunggu jawapan aku.
“ Dah kak, Allah bagi instinct kena pergi. Akak pulak?” giliran aku bertanya Kak Zet.
“ Akak dah tanya Allah. Allah bagi Surah At-Taubah ayat 19 hingga 20. Kita kena pergi Qis. “ ternyata kali ini Allah sungguh-sungguh mahu kami ikut serta trip jelajah dakwah kali ini.
Sambil bercakap dengan Kak Zura, aku buka Surah At-Taubah ayat 19 dan 20. Ternyata memang betul lah arahan Allah kepada kami.
“ Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. “
(At-Taubah, ayat 19-20)
Setelah panggilan telefon kami berakhir, aku kembali merenung ayat ini sambil bertanya kepada Allah.
“Mana nak dapat duit beli tiket flight RM 3000 ni Ya Allah? Campur tiket keretapi dan bas ekspress ke London lagi. Lebih kurang RM 5000 mesti ada dalam tangan.” Bisik hatiku.
Aku renung dan amati lagi ayat tersebut “berjihad di jalan Allah dengan HARTA, BENDA dan DIRI mereka”. Aku dah takde harta. Aku tiada wang simpanan. Aku tiada harta yang boleh ditukar dengan wang. Tiba-tiba Allah ingatkan aku yang aku masih punya seurat rantai emas beserta loket dan rantai tangan anakku yang sudah tidak dipakai.
“Mungkin inilah cara Allah nak didik aku untuk buang kecintaan terhadap harta kekayaan dari dalam hati aku. Allah nak aku jual barangan emas ni dan gunakan duit itu untuk tiket flight dan perbelanjaan di sana. ” bisik hati kecilku.
Lantas aku mencapai telefon lalu menghubungi adikku dan memberitahu aku hendak menjual barang emas ku dan dia bersetuju untuk membelinya.
Alhamdulillah Allah Ya Hamid Ya Syakur Ya Razzaq memberikan rezeki untuk aku berdakwah di London dan Paris melalui hasil jualan barangan emasku yang hakikatnya barangan emas tu hanya dipinjamkan oleh Allah Ya Malik kepadaku untuk menguji kecintaanku kepada Allah atau kepada harta kekayaan dunia.
Tanpa ada sedikit pun keraguan aku semakin yakin dengan janji Allah dalam Surah Muhammad ayat 7.
“ Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. “
Surah Muhammad ayat 7
Mulai dari saat itu, aku semakin yakin untuk melakukan apa-apa sahaja urusan yang berkaitan dengan dakwah kerana Allah tidak pernah memungkiri janjiNya sepertimana yang termaktub di dalam ayat ini.
Terima kasih Allah Ya Aziz Ya Qowiy Ya Matin Ya Mukmin kerana meneguhkan keyakinanku ini yang dulunya sering ragu-ragu dan was was dalam setiap perkara yang baik.