Senyum
Nama surah dan no ayat : 57) Al-Hadiid 29 ayat 7
Artikel ini ditulis oleh Nabilah
*****
“Masuk cepat!”
Aku menyergah pelajar yang masih berdiri di depan pintu lif. Mungkin mereka teragak-agak untuk menggunakan lif yang dikhaskan untuk staf dan pelawat. Pagi itu jam hampir pukul lapan dan aku perlu segera “punch in”.
Mereka masuk mengisi ruang lif untuk naik ke kelas. Aku bermuka bengis, marah melihat hampir semua butang aras bangunan menyala. Lif yang penuh akan berhenti di setiap aras sebelum sampai ke tingkat atas yang aku tuju.
“Aduh, merah lah macam ni,” aku mengeluh.
Peristiwa ini berlaku beberapa tahun lepas ketika aku bekerja sementara di sebuah universiti awam. Suatu pagi telah dimulakan dengan memarahi orang lain.
Bila difikirkan kembali, aku tidak dapat bertemu semula dengan mereka yang telah aku marahi. Aku tidak berkesempatan untuk meminta maaf.
Percaturan Allah itu cantik. Setiap yang kita tempuhi dan setiap orang yang kita jumpa dalam perjalanan, semuanya dengan izin Allah dan ada hikmahnya.
Di tempat kerja aku itu, ada seorang staf yang ramah dan kerap menyapa semua orang bila bertemu. “Hello, good morning, hi“. Semua ungkapan diucap berserta senyuman.
Terasa senang setiap kali bila disapa.
Teguran Allah datang dalam pelbagai bentuk dan cara.
Buat aku sedar yang sebenarnya mudah untuk senyum dan bermanis muka.
Kenapa sukar untuk bermanis muka?
Kan kita saudara se-Islam. Kan kita sama-sama manusia, sama-sama makhluk.
Kita ada contoh dan role model yang hebat, Nabi Muhammad s.a.w. tapi kenapa kita tak ikut dan praktikkan?
Kenapa perlu bermuka serius selalu? Kenapa menambah beban yang ada?
Ada masalah belum selesai. Ada kerja belum siap. Ada sengketa belum dilerai.
Apa pun sebab dan alasan yang diletak sebagai justifikasi, kan lebih mudah kalau hari dilalui dengan senyuman.
Manfaatnya bukan untuk diri seorang, manfaatnya dapat dikongsi bersama.
Bak bait lirik Bright Eyes – Bowl of Oranges
“thank you stranger for your therapeutic smile“
Pernah tak bila terserempak dengan orang yang tak dikenali tetapi dia berwajah ceria, malah apabila terpandang kita, dia senyum?
Sudah tentu kita terasa segan, tapi tetap rasa senang dan bahagia.
Apa ganjarannya bila menggembirakan orang lain?
Allahu’alam. In Sha Allah diri kita sendiri juga akan bahagia.
Jadi mengapa kita masih pilih untuk mengalihkan pandangan serta tidak bermanis muka apabila bertemu dengan orang lain?
Aku belajar untuk senyum. Aku berhasrat untuk menjadi “that stranger“.
Aku dapat rasa perubahan positif dalam berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang.
Bukanlah penghargaan dan pujian manusia yang dikejar.
Sunnah Baginda Rasulullah s.a.w. mari bersama dihidupkan. Kita juga sedia maklum senyum itu sedeqah.
Aku sedar. Untuk bermanis muka, diri sendiri perlu berlapang dada. Fikiran, perasaan negatif serta ego perlu diuruskan atau diketepikan.
Ada hari-hari dilalui dengan hati dan perasaan yang berat, malah terasa sukar untuk menyapa orang.
Ia akan mengambil masa, dengan izin-Nya aku akan cuba yang terbaik untuk sentiasa memperbaiki diri.
Ya Allah, bantulah kami menghidupkan sunnah Nabi kami, kekasihMu Nabi Muhammad s.a.w.
Ya Allah, bantulah kami membina silaturrahim dan menambah eratnya hubungan kami dengan satu sama lain, yang tidak terbatas kepada kenalan sahaja.
Ya Allah, permudahkanlah bagi kami untuk berlapang dada dan sentiasa mengejar redha-Mu.
Sebagai seorang yang beriman, aku perlu membenarkan Allah melalui salah satu cara dengan menginfaqkan apa yang telah Allah kurniakan. Ada modal mulut, bibir, dan raut wajah untuk mengukir senyuman. Ada pilihan untuk bermanis muka.
Allah sudah anugerahkan.
Sapa orang dengan senyuman, disertai ucapan salam. Boleh jadi, senyuman yang dia peroleh itu menjadi asbab dia tersenyum dan menjadi permulaan kepada perubahan yang membawa impak positif dalam kehidupan dan dapat dijadikan bekalan untuk ke akhirat.
Moga Allah permudahkan.