Baiknya Allah..

Nama surah dan no ayat : 11) Hud 123 ayat 6

Artikel ini ditulis oleh Hidayah

*****

Coretan untuk diri ini,

Lima tahun berlalu dengan pelbagai mehnah kehidupan dilalui. Masih segar lagi dalam ingatan saat ayah menghembuskan nafas terakhirnya di atas ribaanku, dunia menjadi gelap seketika bagaikan seorang buta hilang tongkatnya.  Hidupku tak keruan memandangkan aku anak sulung dan baru tahun pertama di alam universiti. Adik-adik yang lain masih bersekolah. Aku buntu memikirkan kewangan keluarga. Kehidupan keluarga kami sederhana dan cukup-cukup makan. Namun begitu alhamdulillah belum pernah lagi kami berlapar.

Setelah ketiadaan ayah, aku mula risau dengan bayaran demi bayaran yang perlu dijelaskan. Kos pengajian yang agak tinggi, yuran sekolah adik-adik lagi. Aku menangis keseorangan. Aku menangis dalam sujud terakhirku, memohon Allah Ya Razzaq cukupkan rezeki kami. Tahun bersilih ganti, Alhamdulillah lima tahun setelah ayah dijemput ilahi, rezeki kami sekeluarga tidak pernah putus.

Rezeki yang tak disangka-sangka datang. Segala bayaran dapat dibayar tanpa membuat sebarang pinjaman. Ada hamba allah yang bayarkan yuran sekolah adik. Ada juga tiga orang hamba allah yang masukkan duit secara bulanan dalam akaun aku hinggalah aku berjaya tamatkan pengajian ijazahku. Tak pernah kenal sebelum ini insan-insan yang berhati mulia ini. Allah yang mengaturkan semua pertemuan ini. Baiknya Allah kepada hambaNya. Perit dengan kehilangan ayah yang amat disayangi, Allah Ya Wadud menggantikan dan melimpahkan bahkan lebih kasih sayangNya terhadap kami.

Belek makna ayat dalam surah hud, ayat 6 “dan tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa) dibumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya”. Teringat bagaimana melalui liku-liku lima tahun kehidupan selepas ketiadaan ayah yang amat mencabar tapi Allah SWT tidak sekali-kali membiarkan makhlukNya hidup tanpa kurniaan rezeki. Aku senyum sendirian, hidup perlu diteruskan dan perlu didik diri agar terus bersyukur dengan rezeki yang diberikan.