BAGAIMANA SURAH AL-DHUHA DAPAT MENJADI SOLUSI STRES DAN SEDIH?

“Semenjak cerita covid-covid ni stres saya macam meroket naik. Nak gi joging pun tak boleh! Nak keluar makan-makan luar pun jadi takut!”

“Ustazah saya suruh baca surah al-Dhuha untuk hilangkan stres”

“Saya baca sokmo tapi stres saya bertambah-tambah juga.”

“Saya baca juga Mathurat pagi petang tak mis tapi sedih dan risau saya tidak berkurang”.

Itulah antara keluhan yang biasa kita dengar bila al-Quran tidak dirasakan dapat memberi solusi.

Hidup Adalah Pentas Ujian

Kalau merasa diri dicabar berbagai ujian, jangan bimbang, itu adalah normal. Renung ayat ini:

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ

“(Allah Yang Maha Berkat) Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun.” (al-Mulk, 67:2)

Namun, kadang-kadang ujian itu sangat melemahkan kita dan kita rasa tak ada orang yang membantu. Lebih perit daripada itu kita juga rasa seperti Tuhan tidak mendengar doa rintihan kita.

Ingatlah! Allah ar-Rahman, yang Maha Penyayang memberi ujian-ujian kerana Dia sayang. Bersangka baiklah dengan ar-Rahman! Dia beri ujian, Dia beri jawapan. Hanya kita perlu merenung dan cari jawapan dalam ujian open book. Open book exam tak semudah disangka. Buku yang diberi perlu di baca, faham dan amal baru kita dapat jawapannnya bila berdepan dengan ujian yang soalannya adalah random. Setiap orang mungkin dapat soalan yang berbeza, jawapannya juga subjektif bergantung kepada latar belakang masing-masing. Tiada soalan dan jawapan objektif. Itulah warna-warni kehidupan!

Al-Quran Adalah Penawar

Setiap ayat dalam al-Quran adalah penawar kepada hati. Kita bukan tak baca ayat-ayat al-Quran malah kita khatam berkali-kali, namun kalau ada isu dalam hidup, kita masih merujuk kepada cadangan penyelesaian yang direka-reka oleh manusia.

كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ إِلَيْكَ مُبَـٰرَكٌۭ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَـٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Sad, 38:29)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌۭ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًۭى وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Di antara surah yang memberi kesan emosi yang besar kepada Rasululah SAW ialah surah al-Dhuha, surah ke-93. Surah ini istimewa kerana ia turun semasa nabi berada dalam keadaan sedih, resah gelisah kerana terputusnya turun wahyu. Nabi perlukan kekuatan daripada wahyu yang diturunkan terutamanya di permulaan dakwah di Mekah. Sampai 40 malam wahyu tidak turun sehingga Ummu Jamil isteri Abu Lahab mempersendakan Rasulullah SAW.

Wahyu turun bertahap-tahap selama 23 tahun supaya Rasulullah SAW ada masa mencukupi untuk memahami, merenung, menjiwai, menghafal, mengamal lalu disebarkan kepada para sahabat. Ini penting untuk kita hari ini, bertanya kepada diri, sejauh mana kita menjiwai ayat-ayat al-Quran. Ada tak kita rasa sedih bila tak baca quran? Rindu tak baca Quran? Sejauh mana kita rindu wahyu?

ALLAH COACHING NABI SAW

Semasa Nabi dalam kesedihan, Allah turunkan surah al-Dhuha yang mempunyai 11 ayat.

Tadabbur Ayat 1-2 : Waku Dhuha vs Waktu Malam
Allah SWT cipta alam untuk kita. Alam adalah galeri yang mempamerkan ayat-ayat Allah. Kalau kita renung alam, kita akan rasakan alam sedang komunikasi dengan kita. Fahami bahasa alam kepada kita.

Dhuha, permulaan waktu siang. Matahari sedang mendaki langit. Cahayanya indah dan menenangkan. Suasana alam nyaman, burung berkicauan, unggas terbang mencari makan. Manusia juga keluar bertebaran meneruskan kehidupan.

Malam, ada masanya gelap gelita. Dalam kegelapan ada masanya langit kelihatan begemerlapan dengan bintang-bintang yang bertaburan. Namun, ada masa diterangi bulan purnama. Malam, Allah SWT katakan ia adalah masa untuk berehat.

Allah ajar kita melalui alam. Kalau alam ada masanya gelap gelita, percayalah segelap mana pun sesuatu malam itu, ada masanya ditaburi bintang, ada masanya disinari purnama dan yang pastinya Dhuha akan muncul. Demikianlah perjalanan alam. Begitu jugalah perjalanan hidup kita. Tiada bezanya.

Ada masa kita stres, sedih, atau gelisah. Terasa diri begitu? Istighfarlah! Cepat-cepat keluar melawat galeri alam. Tak perlu shopping atau melancong hingga ke Balkan. Di luar tingkap ada mentari Dhuha yang boleh menenangkan. Dedahkan diri kepada fajar yang sedang menyinsing. Morning sunbathing bukan sahaja baik untuk tulang, baik juga untuk stabilkan mood.

Kalau hendak keluar dari kemelut yang mencabar iman, fahami bahasa malam! Alam yang gelap gelita di waktu malam, itulah cabaran dan kesusahan. Usah ditenung kegelapannya, tapi senyumlah kepada bintang dan purnama yang menghiasainya. Sepanjang mana pun malam, sehebat mana pun ujian, waktu Dhuha akan muncul. Itulah bicara alam yang memujuk kita. Usah dibiar malam membuai perasaan, bangkitlah, bina kehidupan bersama datangnya Dhuha.

Orang yang mudah stress biasanya ada habit tidur yang agak teruk. Mereka tidur lewat dan bangun lewat, atau kerja di waktu malam dan tidur di waktu siang. Bila malam berlalu, Allah membuka pintu-pintu rezeki kepada manusia. Tak ada muka bumi yang manusia ada, matahari tak sampai. Kafir ke tak kafir Allah tetap beri peluang kepada kita untuk kembali kepada-Nya. Itulah tanda kasih saying Allah ar-Rahman kepada manusia.

Tadabbur Ayat 3 : Pujukan Allah

“Tuhanmu tidak meninggalkan engkau dan tidak membencimu.”

Ayat ini adalah untuk menguatkan semangat Rasulullah SAW dan menjadi bukti Allah tidak pernah meninggalkan Rasulullah dan tidak pernah meninggalkan kita. Jangan bersangka buruk kepada Allah. Bila kita hendak kembali kepada Allah, itu tanda Allah tidak meninggalkan kita. Tuhan tidak pernah meninggalkan kita. Ketika kita rasa terbeban dengan hinaan-hinaan, perasaan resah gelisah, sedih, stress dan lain-lain kemelut, itu ibarat malam yang wajib dilalui oleh semua manusia.

Tadabbur ayat 4-5 : Hidup mesti ada VISI

“Sesungguhnya, kesudahan itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan.”
“Dan sesungguhnya, Tuhan-mu pasti memberikan kurnia-Nya kepada-mu, sehingga engkau redha.”

Kebanyakkan orang stres kerana mereka tidak jelas mereka hidup untuk apa. Terperangkap dalam ‘rat race’. Walau apa kerja buat kita, akhirat mesti ada dalam fikiran. Akhirat bukti yang belum nampak tapi kita percaya. Bukankah begitu?

Binalah visi keduniaan. Binalah cita-cita hingga sampai ke akhirat. Berjuanglah mencapai visi dan cita-cita. Allah tegaskan bahawa Dia akan beri apa yang kita impikan. Yang perlu kita buat adalah tahu hidup ini apa tujuannnya! Bayangkan “Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;” (Yasin, 36:55). Itulah destinasi kita.

Binalah mindset positive terhadap Allah. Bila diuji, tanda Allah sayang, Allah hendak kita masuk ke syurga (Rujuk al-Mulk, 67:2 dan al-Baqarah, 2:214).

Hidup tanpa visi dan cita-cita akan mengundang stres. Mudah dipengaruhi oleh orang sekeliling, mudah beremosi, mudah menari ikut rentak musuh, akhirnya melunturlah semangat. Layu sebelum masa kerana hidup tidak disiram dengan mukjizat al-Quran.

Tadabbur ayat 6-8 : Semak SEJARAH

Elemen sejarah penting untuk motivasi. Ayat 6,7, 8 merumuskan sejarah 40 tahun Rasulullah SAW. Allah SWT memberi sinopsis perjalanan hidup Rasulullah dalam 3 ayat sahaja. Masya Allah! Allah ajar kita untuk menjadi penulis sejarah hidup. Maka jadilah orang yang menulis masa lampau. “Apa yang berlaku kepada kita?” Kita akan dapati terlalu banyak nikmat Allah untuk disyukuri.

Ayat 6 – Nabi Yatim: perancangan Allah untuk latih Nabi berdikari. Ibu komited jaga. Ibunya wafat, dijaga datuknya Abdul Mutalib dan bapa saudaranya Abu Talib yang pelihara dan melindungi Nabi di awal fasa dakwah Baginda SAW. Allah yang datangkan penjaga Nabi silih berganti.
Ayat 7 – Nabi keliru dalam keadaan masyarakat Quraisy yang menyembah berhala. Allah pelihara Nabi daripada amalan Quraisy.
Ayat 8 – Nabi pernah fakir, Allah aturkan Nabi SAW kahwin dengan Saidatina Khadijah saudagar yang kaya. Kekayaan Khadijah dapat membantu fi sabilillah.

Itulah 3 ayat yang mengingatkan Nabi SAW nikmat Allah kepada Baginda. Allah sentiasa bersama Baginda. Turun naik Nabi SAW dalam peliharaan Allah SWT. Begitu jugalah dengan kita. Apabila diimbas kembali sejarah hidup, kita akan sedar betapa nikmat Allah SWT terlalu banyak. Alhamdulillah, ar-Rahman ar-Rahim, Allah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang tidak pernah lupa kepada kita. Jatuh bangun, gagal berjaya, sakit sihat, adalah atas percaturan Allah SWT yang mempunyai strategi paling ampuh untuk membawa kita kembali ke syurga.

Sebagai hamba-Nya, kita bina visi, pacak cita-cita, usaha, berdoa dan serahkan pada-Nya untuk memimpin kita. Maka apa lagi yang hendak kita bimbang, stres atau sedih. Bangun, bertatih, berjalan dan berlarilah! Allah kan ada!

Tadabbur Ayat 9 – 11. Apa perlu dibuat bila dalam stres atau kesedihan. Allah beri solusi.

Apabila terasa diri dalam keadaan tertekan atau kesedihan, jangan salahkan masa silam atau salahkan keadaan. Ketahuilah bahawa rasa tertekan, risau, takut atau sedih adalah normal. Jangan kalahkan diri dengan perasaan begitu.

Setelah memujuk Nabi SAW, tiga ayat terakhir ini Allah SWT ajar Nabi SAW cara untuk keluar daripada kemelut yang dialami. Apakah tindakannya? Buat kebaikan! Santuni anak yatim, beri sesuatu kepada orang yang memerlukan dan luahkan tanda bersyukur dengan berkongsi nikmat yang Allah berikan.

Kesimpulan

Melalui surah al-Dhuha, Allah SWT berikan solusi kepada Rasulullah SAW cara untuk keluar daripada tekanan, stres, murung dan seumpamanya. Mukjizat al-Quran ini juga untuk kita. Bukan sekadar untuk dibaca berulangkali, yang pentingnya kita perlu recharge diri dengan superpower tadabbur dan tazakkur al-Quran.

Sebelum diri terjerut dalam kemelut hidup, keluarlah tafakkur alam terutamanya di waktu Dhuha. Semak sejarah hidup dan rancang masa depan hingga ke syurga. Segera buat kebaikan seperti menyantuni anak yatim, sedekah dan bersyukur. Semoga Allah SWT bimbing kita untuk keluar daripada kemelut kehidupan yang menyebabkan kita stres atau sedih.

Wallahua’lam.

Rujukan

1. Al-Quran Perkata Ar-Riyadh, Karya Bestari.
2. Tafsir Al-Azhar Juzuk 29-30.
3. Tafsir Al-Munir Jilid 15.
4. Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman – Dahsyatnya Surah ad-Dhuha, Radio IKIM, https://www.youtube.com/watch?v=eS_Lit6amas


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.