Syukur atau kufur
“(Iblis) menjawab : Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus. Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.”
Al-‘Araf, 7 : 16-17
Mereka, mengerahkan pengorbanan menjaga seorang anak. Menyediakan suasana paling kondusif di rumah. Mendidik penuh rasa cinta. Menyediakan segala keperluan agar si anak terus sihat. Sehingga akhirnya si anak berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran pada usia 4 tahun. Meskipun si anak cacat perkembangan otak dan tidak mampu bergerak normal.
Mereka, sekumpulan teman-teman seiman. Bertemu bermesra setiap hari. Punyai kebolehan luar biasa berbahasa isyarat. Dengan kemampuan itu mereka menghafal Al-Quran dengan cara tersendiri. Kerana mereka sama-sama pekak dan bisu.
Dia, seorang muslimah yang memelihara diri. Dinikahkan dengan seorang lelaki penagih dadah tanpa pengetahuannya. Tabah menghadapi liku-liku kehidupan serta membesarkan 4 orang anak penuh iman. Meskipun akhirnya memilih menjadi ibu tunggal, tanggungjawab terhadap anak-anak tidak dikesampingkan. Dan siapa sangka anak-anaknya cemerlang dalam akademik, penghafal Al-Quran serta memegang posisi penting dalam organisasi Islam di kampusnya.
Syukur.
Syukur itu bukan sekadar berasa gembira tatkala mendapatkan kurniaan tambahan berbanding yang ter”biasa” dinikmati setiap hari.
Syukur itu merasai dan menghargai setiap apa yang Allah berikan sejak lahir.
Terima kasih ya Allah, nikmat tangan yang sempurna ini. Dengannya aku melaksanakan segala aktiviti seharian.
Terima kasih ya Allah, nikmat kaki ini. Dengannya saya bergerak sejauh-jauhnya, tiada yang membatasi.
Terima kasih ya Allah, kerana Engkau Tuhanku dan aku hambaMu.
Terima kasih ya Allah, atas Al-Quran kurniaanMu ini.
Dan sesungguhnya jika Kami menghendaki, pasti Kami lenyapkan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), dan engkau tidak akan mendapatkan seorang pembela pun terhadap Kami, kecuali kerana rahmat daripada Tuhanmu, Sesungguhnya, kurniaanNya ke atasmu sangat besar!
Al-Isra’, 17 : 86-87
Terima kasih ya Allah, kerana menjentikkan rasa syukur ini. Cukuplah segala nikmat ini membuktikan cintaMu kepadaku..
Syukur itu, memelihara diri daripada segala ilusi perbandingan dan ketidakcukupan. Ilusi “MISKIN” pelbagai dimensi yang dibisikkan syaitan.
Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kepadamu kemiskinan dan menyuruhmu melakukan perkara yang keji, sedangkan Allah menjanjikan keampunan dan kurniaanNya kepadamu. Dan Allah Maha Luas, Lagi Maha Mengetahui.
Al-Baqarah, 2 : 268
“Saya tak boleh itu… oleh itu saya tidak boleh buat ini..”
“Saya tak pandai itu.. maka saya tak mampu buat ini..”
Syukuri.. Syukuri.. Dan manifestasikan segala kesyukuran dalam amal bakti sebanyak mungkin. Sedangkan si lumpuh & separa buta Asy-Syaheed Sheikh Ahmad Yassin bisa menghadiri 5 masjid berlainan dalam sehari untuk menyampaikan pengisian jiwa, bagaimana dengan kita yang sempurna tubuh badan, masih berdolak-dalik untuk memberi?
Dari mana datangnya rasa tidak cukup itu? Tidak cukup ilmu? Tidak cukup idea? Tidak cukup masa?
Kesemuanya bermula dengan gersangnya rasa syukur dalam diri.
Terlalu sedikit manusia yang bersyukur. Ya Allah jadi aku org yg sedikit, yang selalu bersyukur dengan nikmatMU.