Tadabbur Tazakkur

Pujuk

Manusia,

Punyai hati, punyai rasa. Mahu disayangi, mahu diambil peduli, mahu sentiasa ada yang hadir di sisi.

Dan tatkala segala rasa itu tidak terpenuhi oleh mereka yang diharapkan, terus membawa diri, melayan rajuk, menanti ada yang mahu memujuk.

Begitu?

***

Jika ada si dia yang peduli memberi perhatian, sering bertanya khabar, sentiasa hadir di kala kesulitan…. Wah bahagianya hidup didampingi dia yang sangat memberi perhatian.

Dan bahkan Dialah yang paling memberi perhatian kepada setiap manusia. Sentiasa dekat dengan hamba yang memanggilNya. Menjaga manusia setiap ketika.

Sucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi. Yang menciptakan, lalu membuatnya sempurna. Yang menentukan qadar, lalu memberinya petunjuk.

Al-‘Ala : 1-3

Dia mencipta. Bukan sekadar cipta “begitu-begitu”, tetapi Dia mencipta dengan sempurna. Boleh sahaja manusia itu hidup tanpa rambut dan bulu kening, tetapi Dia menyempurnakannya sehingga menjadi seindah-indah ciptaan.

Andai ibu dan ayah yang sangat memberi perhatian kepada anak, tetap tidak boleh memberi sepenuh 24 jam masa untuk anak yang dicintai. Tetapi Allahlah yang memberi perhatian kepada setiap insan sejak di dalam rahim sehinggalah membesar dewasa.

Dia yang memberi perhatian kepada Yusuf dan memeliharanya daripada mati ditinggalkan di dalam telaga oleh adik-beradiknya.

Dia yang memberi perhatian kepada Musa yang dihanyutkan di sungai sehingga dipelihara penuh selamat oleh keluarga Firaun.

Dia yang memberi perhatian kepada si kecil Ismail yang menangis kelaparan dan menghadiahkan air zam zam di kaki hentakannya.

Dia yang memberi perhatian kepada pemuda Yaasiin, yang meskipun bersendirian tetapi berani dan bergegas menyeru kaumnya mengikuti para rasul. Akhirnya Dia memuliakannya di saat syahid di atas kebenaran serta terakam indah kisahnya di dalam Kitab akhir zaman.

Di saat sedih membawa diri kerana mereka yang diharapkan tidak memberi perhatian kepadamu, tidak sudi membantu, tidak menjawab kiriman di telefon, tidak bertanya khabar, jangan bersedih. Dia ada dan Dia bahkan sentiasa memberi perhatian kepadamu. Dia yang memberimu makan semasa di alam rahim, Dia juga yang menentukan qadar,mengurniakanmu rezeki susu di saat keluar dari rahim ibu. Dan bahkan, Dia tidak pernah meninggalkanmu sendirian. Dialah yang memberi petunjuk dalam menghadapi hidup ini. Dialah yang menjaga setiap ketika.

Bagi manusia ada malaikat yang mengikutinya bergantian di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah.

Ar-Ra’d, 13 : 11

Rasa kesunyian? Rasa ditinggalkan?

Dan Dia tidak pernah meninggalkanmu.

Jantungmu, masih Dia yang menetapkan qadarnya untuk terus berdegup mengikut rentak ketentuanNya.

Matamu,masih Dia yang menetapkan qadarnya untuk terus menangkap segala warna dan indahnya alam.

Demi waktu dhuha dan demi malam apabila telah sunyi. Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak (pula) membencimu. Sesungguhya, kesudahan itu lebih baik bagimu daripada permulaan.

Ad-Dhuha, 93 : 11

Bergantung kepada manusia akan kecewa. Persandaran kepada manusia mengundang rajuk di hati. Belajar mengenaliNya sehingga terus membangkitkan rasa syukur seorang hamba, bahkan itulah cinta teragung. Cinta yang selayaknya dilabuhkan pada tempat tertinggi.

Dia, dekat.

Sangat dekat.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku berada dekat dengan mereka. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka memenuhi (perintah)Ku dan beriman kepadaKu agar mereka memperoleh kebenaran.

Al-Baqarah, 2 : 186

 

***

Happy Ramadhan.

Selamat menyambut bulan mencintai Qalam Pencipta. Qalam Ilahi yang membentuk jiwa sanubari, menjadi diri manusia sebenar, kembali kepada fitrah.

Kun anta?

Being me (Yasmin Mogahed).

Menjadi aku yang fitrah.

Yang hidup hatinya dengan petunjuk Al-Quran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.