Aku, Mereka, Kita
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya. (12:3)
Apa yang dimaksudkan dengan ‘sebaik-baik kisah’? Ramai yang berpendapat sebaik kisah di sini ialah kisah Yusuf. Namun sebenarnya ramai dalam kalangan ulama tafsir menafsirkannyya dengan maksud ‘Al-quran’. Sebaik kisah itu adalah al-quran. Kerana apa?
Cerita-cerita yang disebutkan di dalamnya diceritakan dengan metod yang bombastic, uslub yang menarik, dan kisah-kisah ini tidak didapati di dalam buku-buku sejarah, dan kitab kaum terdahulu. Serta, kita tidak akan dapati kisah-kisah ini dari buku lain boleh yang menyerupai kisah yang terdapat di dalam quran. Kerana itu, al quran disebut sebagai ‘sebaik-baik kisah’. (Tafsir az-zamakhsyari)
- Kisah si suami ‘buat hal’
“Jika suamiku buat suatu perbuatan yang tidak disenangiku, atau sering sahaja berbuat tidak kena pada mataku, aku punyai kisah Asiah, yang suaminya, pasti lebih teruk dari suami ku kerana kezalimannya membunuh anak-anak lelaki pada zamannya. Dan, kezaliman besar yang dilakukan pastinya mensyirikkan Tuhannya”.
Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim” (66:11)
“Maka, jika diriku ini tidak sebaik Asiah, pasti aku lebih layak diuji, kerana wanita sebaik Asiah, berhadapan dengan ‘perangai’ suaminya Firaun”.
- Kisah si isteri ‘buat hal’
“Aku punyai kisah Nabi Lut yang mana isterinya juga mensyirikkan Tuhannya. Kalau diriku bukan sebaik Nabi Lut, maka aku layak sahaja mendapat isteriku yang sekarang ini”.
Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)” (66:10)
- Kisah si anak ‘buat hal’
“Aku ada kisah nabi Nuh, anaknya tidak mahu mengikut suruhan bapanya, dan tenggelam bersama orang-orang yang ingkar. Aku bukan Nabi Nuh, dan anakku hanya tidak mengikutiku, bukan sampai mensyirikkan Tuhanku”
Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”. (11 : 42)
Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. (11:43)
Dan sebagai seorang ayah, baginda Nuh a.s juga bersedih dengan keingkaran anaknya dan berdoa :
Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”. (11: 45)
Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”. (hud 46)
- Ketika sakit
“Aku ada kisah nabi Ayyub a.s sebagai sandaran dan kesabarannya berdoa kepada Tuhan”.
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”. (21:82)
- Kisah si Ayah yang ‘buat hal’
“Aku ada kisah nabi Ibrahim yang menyeru bapanya sehingga bapa dan orang yang ingkar sanggup mencampakkan dirinya ke dalam api kesan dari seruannya itu. Bapaku walaupun pernah menyakitiku, tapi belum pernah mahu mencampakkan aku ke dalam api sebagaimana bapa Nabi Ibrahim”.
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata (6:74)
- Adik-beradik buat hal
“Aku punyai kisah Nabi Yusuf, yang sanggup mencampakkan dirinya di dalam perigi”.
Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan kami pula ilhamkan kepadanya:” Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) (12:15)
- Pasangan yang tidak dikurniakan anak walaupun usia perkahwinan sudah berada dalam tempoh waktu yang panjang. Pasti sahaja merasa gelisah.
“Aku punyai kisah nabi Zakariyya sebagai sandaran yang mana akhirnya, di akhir-akhir usia mereka, dikurniakan cahaya mata. Aku hanya perlu contohi sikap Nabi Zakariyya dan isterinya untuk menghadapi isu ini, kerana dengan rahmat Allah, setelah bersungguh berdoa akhirnya Nabi Zakariyya juga dikurniakan cahaya mata”
Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”. (3:40)
- Seorang perempuan yang risau kerana tidak berjemu jodoh walaupun usianya sudah meningkat dewasa.
“Takpe, aku punyai kisah Maryam a.s yang juga tidak dipertemu jodohnya. Aku tidak keseorangan menghadapi rasa ini, kerana baginda Maryam a.s juga sepertiku”.
Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat (66:12)
Benarlah, al-quran ini sebaik-baik kisah! Ia adalah untukku. Walaupun diceritakan kisah mereka, tapi sebenarnya panduan bagi kita semua. 🙂 Terima kasih Allah.
Parameter.
Sirath mereka yang diberi nikmat (4:69) iaitu para nabi, syuhada’, siddiqin & solihin. Sejarah terpilih yang dirakamkan Allah dalam Al-Quran.
Untukku.
Untukku.
Untukku.
Alhamdulillah, Thank you Allah.
Thank you Toha.
Tadabbur sirath
Allah memberikan jalan orang terdahulu agar dijadikan pedoman…tetapi manusia ada yang masih ingkar seperti mana didalam surah Al-Qamar….Allah memberikan hambanya peringtan dalam Surah Al-Qamar sebanyak 4x bahawa Al-Quran itu mudah tetapi tidak diendahkan…..azab menanti mereka yang tidak mengikut Al-Quran….