Meraih khusyu’ dengan “Ikut”

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّـهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَّن تَبُورَ﴿٢٩

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah (Al-Quran) dan mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang kami anugerahkan kepadanya dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perdagangan yang tidak akan rugi. Agar Allah menyempurnakan pahalanya kepada mereka dan menambah kurniaNya. Sungguh, Allah Maha Pengampun Maha Mensyukuri

Fathir, 35 : 29-30

 

Tilawah Quran, Solat dan Infaq. 3 serangkai yang tidak dapat dipisahkan. Dalam ayat ini, tilawah Quran didahulukan sebelum solat.

Tilawah Quran itu apa?

Membaca?

Kata akarnya adalah  ت ل و. Kita turut menemui kata akar yang sama dalam surah Asy-Syams.

وَالْقَمَرِ إِذَا تَلَاهَا –

Dan bulan apabila mengikutinya

Asy-Syams, 91:2

 

Antara baca dan ikut. Apakah yang boleh diambil pengajaran melalui tadabbur 2 ayat ini?

 

 

 

Bulan yang mengikuti matahari, harmoni “berenang” di orbitnya dalam angkasa lepas.

Manusia yang mengikuti Al-Quran, apakah telah harmoni jiwanya dengan petunjuk Tuhan?

Orang yang mengikut adalah pengikut. Justeru yang diikuti seharusnya digelar “pemimpin”? Begitu?

 

Seorang muslim yang mengambil Allah sebagai pemimpin akan ikut apa perintahNya. Ciri pertama yang harus ada pada pengikut adalah paling kurang memahami apa yang dikatakan pemimpinnya.

Kalau tak faham, bagaimana nak ikut?

Kerana itu, mereka yang benar-benar beriman adalah mereka yang membaca Al-Kitab dengan sebenar-benar bacaan. Bukan sekadar membaca dalam erti kata menyebut perkataan secara lantang tanpa mengerti apa mesej Tuhan kepada dirinya.

Orang-orang yang telah Kami beri kitab, mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan, mereka itulah yang beriman kepadanya. Dan barangsiapa ingkar kepadanya, mereka itulah orang-orang yang rugi.

Al-Baqarah, 2 : 121

“Dah ikut Quran? Dah faham Quran?”

Mengapa isu ini ditimbulkan ya?

Kerana ada manusia yang merasakan bahawa mereka telah “membaca” tetapi realitinya mereka tidak membaca. Mereka hanya menyebut Al-Quran tanpa memahaminya. Lantaran itu, kerana tidak memahami, bagaimana untuk mengikuti apa-apa kandungan yang tertuang di dalamnya.

Usah hairan, ada sahaja golongan manusia yang bahkan menghafal Al-Quran tetapi masih tidak menutup aurat, tidak menjaga tutur kata perilaku, bersifat racist terhadap yang belum memeluk Islam, kerana belum memberi respon terhadap berita gembira, perintah, amaran mahupun larangan di dalam Al-Quran.

Tanya dengan diri.

“Dah ikut Quran?”

Kerana…

Kalau tidak mengikuti Quran, khuatir yang diikuti selama ini, yang dijadikan pemimpin selama ini adalah syaitan yang terlaknat. Menjadikannya pemimpin tanpa sedar?

Ya, syarat menjadikannya pemimpin hanyalah dengan mengikutinya. Ikut sahaja bisikannya, sama ada secara sedar atau tidak, umpama memberikan mandat kekuasaan kepada yang diikut, memartabatkan kedudukannya sebagai pemimpin.

Ketaatan kepada perintah dan bisikan syaitan pada masa yang sama adalah meruntuhkan bangunan islam dalam diri, hancurnya penyerahan diri kepada Al-Khaliq.

Dia (iblis) berkata “Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang terpilih di antara mereka.” Dia (Allah) berfirman, “Ini adalah jalan yang lurus (menuju) kepadaKu. Sesungguhnya kamu (iblis) tidak berkuasa ke atas hamba-hambaKu, kecuali mereka yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang sesat.” Dan sungguh, jahannam itu benar-benar (tempat) yang telah dijanjikan untuk mereka (pengikut syaitan) semuanya.”

Al-Hijr, 15 : 39-43

 

Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan itu pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.

Al-‘Araf, 7 : 27

 

Cuba memahami ayat-ayat yang telah dikemukakan dari awal.

Seseorang yang menjadikan syaitan sebagai pemimpin adalah golongan yang tidak beriman. Sedangkan golongan yang beriman hanyalah mereka yang membaca Al-Quran dengan sebenar-benar bacaan. Membacanya dengan memahami kandungannya. Tatkala seorang muslim itu jauh daripada kefahaman AL-Quran, syaitan yang hadir menyesatkannya mampu mempengaruhinya untuk tunduk ikut bisikannya tanpa sedar.

Sesungguhnya dia (iblis) dan pengikutnya dapat melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak mampu melihat mereka.

Al-‘Araf, 7 : 27

Memahami Al-Quran menjadi perisai bagi seorang muslim dalam menghadapi syaitan yang tidak terlihat dek mata. Menafikan kepimpinannya dengan sebaliknya mengikuti apa yang diwahyukan Tuhan.

Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti selain Dia sebagai pemimpin. Sedikit sekali kamu mengambil pelajaran.

Al-‘Araf, 7 : 3

***

Khusyu’ solat dan Quran, tidak dapat dipisahkan.

Bacalah kitab (Al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan (ketahuilah) peringatan dari Allah (Al-Quran) itu lebih besar. Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Al-‘Ankabut, 29 : 45

 

Sebelum rasa mahu meraih solat yang khusyu’.

Tanya dahulu kepada diri,

Dah ikut Quran?

 

***

Catatan nota “Kursus Solat Khusyu’ berdasarkan Al-Quran” bahagian ke-3.

Mahu baca penulisan sebelum ini?

Bahagian 1

Bahagian 2

One thought on “Meraih khusyu’ dengan “Ikut”

  • May 13, 2017 at 5:30 pm
    Permalink

    Terima kasih berkongsi. Benar, syaitan sudah tidak punya kuasa untuk kita, jika kita mengambil Allah sebagai penjaga -wakila- (17:65). Dan, mengambil Allah sebagai penjaga, adalah dengan cara mengikut apa yang diwahyukan kepada nabiNya sebagaimana Allah mengutus kepada Nabi Musa kitab Taurat untuk disampaikan kepada Bani Israel, maka Allah mengutus al-Quran kepada nabi kita, untuk disampaikan kpda kita (17:2)

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.