Bahagia dengan tauhid

Malaysia.

Dia menangis dan merengek. Kerana iri hati terhadap adiknya memiliki sesuatu yang tidak dimilikinya.

Syria.

Dia tenang. Terus mengais butiran roti di atas tanah penuh syukur, tanpa mengharap apa-apa bantuan daripada muslim di luar sana. Kerana dia hanya mengharap kepada Allah.

 

 

Malaysia

Kanak-kanak itu menjerit melaung nama ibunya tatkala terluka terjatuh. Teresak-esak mengharapkan ibunya membantu.

Syria

Di bawah runtuhan bangunan yang baru sahaja dibom, kedengaran suara “Ya Robbi! Ya Robbi”. Kanak-kanak itu terus memanggil Tuhannya, bukan ibu atau bapanya. Kerana dia meletakkan pergantungan penuh kepada Tuhan Sang Pencipta.

***

Bicara soal tauhid, kekuatannya mampu menggerakkan jiwa manusia merempuh segala. Sehinggakan ujian perit mampu dihadapi penuh tenang dan bahagia.

Dan kelemahan tauhid dalam jiwa manusia, mencambahkan syirik, bahkan boleh menjerumuskan manusia ke dalam kehidupan penuh perit dan sesak.

Dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).

Al-Hajj, 22:31

Tidak mensyirikkan Allah, itu intipati utama, termanifestasi dalam kalimah syahadah La ilaha illAllah.

Tiada Ilah selain Allah.

Apakah benar diri ini telah menafikan semua ilah kecuali Allah? Sedangkan pilihan tindakan dalam ujian kehidupan sehari-hari adakalanya nampak seakan-akan mendustakan tauhid yang mahu disemai.

Saya syirik?

Itu risiko yang harus diambil tahu. Kerana tauhid ini memerlukan ilmu. Bukan perkara “semulajadi” yang tertanam dalam jiwa manusia yang memang lahir sebagai muslim.

Maka KETAHUILAH bahawa sungguh tidak ada ilah selain Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang mukmin, lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempatmu berusaha dan tempatmu tinggal.

Muhammad, 47 : 19

 

***

Ada manusia, mengaku muslim.

Dan tidak mengenali TuhanNya.

Lalu ketika terbit keinginan hawa nafsu, memilih untuk terus mengikutinya, cenderung memenuhi apa yang diingini meskipun ditegah Tuhan, ketika itu dia memilih syirik. Mensyirikkan Tuhan dengan hawa nafsunya.

Walaupun dirinya mengaku muslim.

Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan nafsunya sebagai Tuhannya. Maka, apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?

Al-Furqan, 25 : 43

 

***

Ada manusia, mengaku muslim.

Dan tidak mengenali Tuhannya.

Lalu dalam setiap urusan, dia gagal melihat adanya Allah dalam mengendalikan urusan. Segala kejayaan yang diraih dilihat sebagai usahanya sendirian tanpa sebarang campur tangan Allah. Hanya tatkala “ditarik” segala nikmat, barulah terduduk memanggil nama Tuhan. Umpama Firaun, yang melihat segala-galanya adalah bersumberkan dirinya. Hanya tatkala berada dalam kemuncak kesulitan, barulah di memanggil Tuhan, kembali kepadaNya.

Dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti Firaun dan tenteranya, yang hendak menganiaya dan menindas (mereka); hingga bila Firaun telah hampir tenggelam, ia berkata “Aku percaya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang diimani Bani Israil dan aku termasuk orang yang berserah diri.”

Yunus, 10 : 90

 

Model hidup atau sirath yang dipaparkan Firaun adalah

  1. Lalai dan menafikan Allah dalam hidup.
  2. Bertaubat dan kembali kepadaNya bila susah.

Adakah gaya hidup ini yang ingin dicontohi? Bagaimana pula dengan keteladanan Nabi Yunus? Nabi Yunus turut memiliki sedikit kesamaan dengan kisah Firaun iaitu memohon bantuan Tuhan di saat menghadapi kesulitan yang dahsyat.

Mengapa taubat Firaun tidak diterima tetapi taubat Nabi Yunus diterima?

Dan (ingatlah kisah) Dzunnun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya). Maka, dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap “Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sungguh aku termasuk orang yang zalim.”

Al-Anbiya’, 21 : 87

Salahkah menyeru Tuhan ketika sulit? Mengapa seruan Firaun tidak diterima tetapi seruan Nabi Yunus diterima?

Maka sekiranya dia tidak termasuk orang yang banyak mengingat Allah, niscaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai Hari Berbangkit.

As-Shaffat, 37 : 143-14

 

Formulanya tertuang dalam ayat di atas. Ketika berada dalam kesulitan, selemah apa pun keimanan diri, serendah apa pun keyakinan diri, dan sekecil apa pun kadar tauhid, secara automatik manusia itu akan menyeru Tuhannya “Ya Allah!”.

Namun, jika SEBELUM kesulitan menimpa, seseorang itu memang mengenal Tuhannya dan tidak lalai daripada merasakan keberadaanNya, dia memiliki kedudukan di sisi Tuhan.

Ibn Abas menuturkan “Suatu hari, aku berada di belakang Rasulullah dan beliau bersabda ‘Wahai anak muda, aku akan mengajari beberapa kalimat: Jagalah Allah, Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, kamu akan mendapatkanNya ada di hadapanmu. Bila kamu meminta, mintalah kepada Allah. Dan bila kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan kepada Allah. Dan ketahuilah bahawa sekelompok manusia, andai mereka berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan manfaat kepadamu, kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah kepadamu. Bila mereka berkumpul untuk memberimu mudarat, mereka tidak akan mampu memberimu mudarat, kecuali apa yang ditetapkan Allah kepadamu. Pena-pena diangkat, dan lembaran-lembaran menjadi kering”

Hadith Riwayat At-Tirmidzi.

Justeru, mengenal Allah itu, ilmu yang paling utama. Menafikan segala ilah selain Allah, itu asas bangunan islam. Sebagaimana Allah mendidik Nabi Musa mengenalNya. Bahkan ma’rifatullah (mengenal Allah) perlu didahulukan sebelum perintah solat.

Sesungguhnya, Aku ini Allah,

tidak ada Tuhan selain Aku,

maka sembahlah Aku

dan laksanakanlah solat untuk mengingat peringatan dariKu.

Toha, 20 : 14

Perintah mengenal Allah, tidak mensyirikkanNya serta pengabdian kepadaNya…. itu semua bahkan didahulukan sebelum perintah melaksanakan solat.

Ada muslim yang solat, tetapi tidak mengenal Tuhan. Lalu sering melihat segala yang berlaku ke atas dirinya ada di tangan selain Allah. Emosi terguris saban waktu, terus dan terus membiarkan hati terluka, kerana meletakkan hati pada genggaman manusia, bergantung kepada manusia. Sedangkan segala urusan kembali kepadaNya, ada dalam “genggaman”Nya.

(Iaitu) Jalan Allah yang milikNya segala yang di langit dan yang di bumi. Ingatlah, hanya kepada Allah kembali semua urusan.

Asy-Syura, 42 : 53

Dengan tauhid, hati meraih bahagia? Kuatkah jiwa menghadapi ujian perit di bumi yang bergolak? Satu-persatu insan tersayang menghadap ilahi. Satu-persatu aset dan harta dimusnahkan. Sehingga tiada apa yang ada pada diri. Hilang musnah segala apa yang dimiliki.

Yang ada hanya Dia.

Dan kepunyaan Allah apa yang ghaib di langit dan di bumi dan kepadaNya dikembalikan semua urusan. Maka, sembahlah Dia, dan tawakallah kepadaNya. Dan sekali-kali Tuhanmu tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.

Hud, 11 : 123

 

***

Buat saudaraku di Bumi Bergolak, di sebalik peritnya ujian, terselit tarbiyyah penuh cinta dari Ilahi . Dengan ujian itu menjernihkan kefahaman kalian akan makna sebenar tawakal dan tauhid kepadanya. Di saat tercabutnya segala pergantungan, kalian dididik meluruskan aqidah sebelum bertemu denganNya. Sedangkan itulah yang paling utama untuk dinilai di Hari Pembalasan kelak. Kalian bahkan dididik untuk tidak bergantung kepada pasangan mahupun ibu bapa.

Pergantungan dan persandaran hanyalah kepadaNya.

Dan itulah tauhid.

Doa dan bantuan mengiringi.

Doakan kami setabah kalian.

Moga teladan tauhid di Bumi Bergolak turut mendidik kami di bumi yang bertuah ini.

Buat anak-anak kecil yang hilang segala-galanya, dan mengenal TuhanNya, moga jiwa kalian terus kuat menghadapi hadiah dari Ilahi, menapak kaki menuju syurga yang abadi. Mewarnai jiwa dengan qalamNya.

Kebaikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan ke arah barat, tetapi kebaikan itu ialah (kebaikan) orang yang beriman kepada Allah, Hari Akhirat, para malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan (musafir), peminta sedekah dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila berjanji, dan orang yang sabar  dalam kesusahan penderitaan dan ketika peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.

Al-Baqarah, 2 : 177

 

Di setiap pahitnya ujian, hadirnya peluang dan didikan bagi meluruskan dan membersihkan aqidah. Bahkan itulah kurniaan yang lebih baik, bekal utama sebelum meninggalkan dunia bertemu denganNya.

Ujian itu perit, tetapi seandainya itu adalah ruang untuk mendidik mengesakanNya, kembali kepadaNya, bahkan itulah bekal terbaik di Hari Pembalasan.

Dan Kami pasti akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “inna lillahi wa inna ilaihi roji’un” (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali.)

Al-Baqarah, 2 : 155

***

 

Sumber rujukan :

Muhammad Ratib Al-Nablusi. (2007). Allah in Ensiklopedia Mengenal Allah. Jakarta : Penerbit Zaman

 

 

Related previous posts :

Bahagia dan cinta tanpa syarat

Bersandar pada yang rapuh

3 thoughts on “Bahagia dengan tauhid

  • May 23, 2017 at 7:10 am
    Permalink

    😭 Part hendak mentauhidkan Allah….memang susah walaupun sudah islam…..terutama dlm solat pelbagai emosi yang hadir……bagaimana rasul bersabar utk menyeru di mekah selama 13 tahun…. 😢

    Reply
    • May 23, 2017 at 9:08 pm
      Permalink

      very true.
      kita menapak langkah demi langkah.

      saya-yg-baru-baca-bab-pertama-buku-Nabulsi

      p/s Raudhah Al-Miqyas bedah buku Dr Nabulsi setiap minggu. untung org Bangi

      Reply
      • May 24, 2017 at 7:42 am
        Permalink

        Ye betul….untung bangi ada kedai kertas….💪🏼

        Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.