Di saat rindu berbicara dengan Tuhan

 

Login ke akaun Facebook.

Beberapa post teman-teman menyapa diri.

“Kalau benar Tuhan itu ada, mengapa membiarkan si kecil itu menghidap barah.”

Bagaimana boleh bicara ini keluar daripada seorang muslim yang mengakui kewujudanNya? Dunia yang penuh dengan kemelut dan duka nestapa, kekejaman melata, penindasan di sini dan di sana, jurang si miskin dan si kaya bahkan bertambah-tambah.

Oh, di mana Tuhan?

Masih bertalu-talu pemikiran ini di benakmu? Izinkan Dia berbicara denganmu melalui QalamNya.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku berada dekat dengan mereka. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepadaKu agar mereka memperoleh petunjuk.

Al-Baqarah, 2 : 186

 

Dan hati itu masih meronta-ronta, sulit mengakui keberadaanNya. Mengapa dunia ini tidak dibiarkan aman? Dan mengapa Tuhan itu masih tidak ternampak dek mata?

Mahu berbicara dengan Tuhan? Izinkan Dia berbicara denganmu lewat QalamNya

Dan tidak layak bagi seorang manusia berbicara dengan Allah kecuali dengan perantaraan wahyu atau daripada belakang tabir atau dengan mengutuskan utusan(malaikat) dengan izinNya. Sesungguhnya, Dia Maha Tinggi, lagi Maha Bijaksana. Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) ruh (Al-Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya engkau tidaklah mengetahui apakah kitab (AL-Quran) , dan apakah  iman itu, tetapi Kami jadikan AL-Quran itu cahaya, dengan itu Kami memberi petunjuk kepada siapa yang menghendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya, engkau benar-benar membimbing (manusia) ke jalan yang lurus.

Asy-Syura, 42 : 51-52

 

Ramadhan, bulan yang meraikan komunikasi penuh cinta antara Sang Pencipta dengan hamba-hambaNya. Dia berbicara dengan hamba-hambaNya melalui Al-Quran manakala si hamba berbicara denganNya melalui ungkapan doa yang tulus.

“Tetapi mengapa doa saya masih belum dikabulkan. Ujian dan kesulitan itu terus menimpa.”

Buat jiwa yang berkecamuk, izinkan Dia berbicara denganmu lewat QalamNya.

Dan pasti Kami timpakan ke atas mereka sebahagian seksaan yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

As-Sajdah, 32 : 21

 

Umpama seorang anak yang dijangkiti kuman di bahagian kakinya dan terus merebak ke anggota badan yang lain. Si ibu enggan mengizinkan doktor daripada memotong kaki anaknya manakala si ayah tetap membenarkan prosedur tersebut untuk menyelamatkan anggota-anggota badan yang lain.

Ini bukan bermakna si ayah tidak sayangkan anaknya bukan? Bahkan itulah tanda cinta si ayah terhadap anaknya dengan memilih mudarat yang lebih kecil berbanding akibat yang jauh lebih besar dan mengakibatkan kematian.

Ujian dan bencana di dunia hadir dengan satu tujuan. Agar si hamba yang lalai itu kembali kepada Tuhan. Bahkan kepada firaun, Dia Yang Maha Penyayang turut memberikan “peluang” untuk kembali dengan mengirimkan bencana.

Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.

Al-‘Araf, 7 : 130

 

Setiap kesulitan, setiap bencana yang Dia hadirkan, itu tanda cintaNya kepadamu. Agar manusia itu kembali.

 

Dan pasti Kami timpakan kepada mereka sebahagian siksa yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat); agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

As-Sajdah, 32 : 21

 

Setiap kesulitan dan ujian yang terbentang, itu tanda kasih sayangNya?

Begitu?

Kerana setiap ujian adalah peluang meraih petunjuk, menuju syurgaNya. Bagaimana untuk menapakkan kaki ke syurga jika tiada peluang untuk bersabar ?

Sedangkan kesyukuran agung ahli  syurga bukanlah kerana mendapat harta yang banyak,

atau semata-mata mendapat apa yang diingini.

Tetapi mereka bersyukur kerana Allah melorongkan mereka jalan menuju syurgaNya.

dan Kami mencabut rasa dendam dan hasad dengki dalam dada mereka di bawahnya mengalir sungai-sungai. Mereka berkata,

Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan kami ke (syurga) ini. Kami tidak akan mendapat petunjuk sekiranya Allah tidak menunjukkan kepada kami. Sesungguhnya Rasul-Rasul Tuhan kami telah datang membawa kebenaran.”

Diserukan kepada mereka

“Itulah syurga yang telah diwariskan kepadamu, kerana apa yang telah kamu lakukan.”

Al-‘Araf, 7 : 43

Bersyukur kerana ditunjukkan jalan menuju syurgaNya?

Bagaimana tu?

Ketika diuji konflik sesama ahli kumpulan, diingatkan dengan pengajaran Surah Asy-Syuro, mendidik untuk sabar dalam musyawarah. Pujian dan kesyukuran itu buat Allah, kerana menuntun jalan menuju syurga.

Ketika diuji dengan karenah anak-anak, diingatkan dengan pengajaran Surah Yusuf, mendidik sabar yang indah seperti Nabi Yaakub. Pujian dan kesyukuran itu buat Allah, kerana menunjukkan jalan menuju syurga.

Ketika diuji dengan keadaan yang ditinggalkan, bersendirian meraih kekuatan, diingatkan dengan pengajaran Maryam, terus sabar membesarkan Isa. Pujian dan kesyukuran itu buat Allah, kerana memberikan peluang membuktikan iman menuju syurga.

Bersyukur dengan ujian. Bersyukur dengan konflik. Kerana barangkali itu peluang dan jalan menuju syurgaNya.

… jika peduli memberi respon terhadap QalamNya.

***

Al-Quran, komunikasi cinta antara Sang Pencipta kepada hambaNya.

Apakah sudah engkau menerima surat cinta dariNya. Apakah sudah engkau baca dan cuba memahaminya?

Wahai golongan Jin dan manusia! Bukankah sudah datang kepadamu rasul-rasul daripada kalanganmu sendiri, mereka menyampaikan ayat-ayatKu kepadamu dan mengingatkanmu tentang pertemuan pada hari ini?..

Al-An’am, 6 : 130

 

 

 

 

Maaf tiada kanvas.

#RandomCurhat

 

One thought on “Di saat rindu berbicara dengan Tuhan

  • June 12, 2017 at 12:56 am
    Permalink

    Jzkk kak…deep sgt

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.