Ramadhan dalam perspektif : Input, proses dan output

 

Dia hadir ke kelas memandu dengan langkah yang sangat berat.

Kali ini, si ibu yang bersetuju membiayai kos “pengajian” tersebut. Ibunya berharap, tatkala si anak berjaya mendapat lesen memandu kereta, mudahlah dia untuk meminta bantuan.

Lalu si anak seakan-akan terpaksa “akur”. Meskipun dia tidak begitu memahami mengapa si ibu tiba-tiba mahu membiayainya mendapatkan lesen memandu itu. Si anak terus dan terus hadir ke kelas memandu bagi mengasah kemahiran. Ya, agar memenuhi keinginan si ibu.

Pun begitu, kelas yang dihadiri terasa begitu sulit. Hati masih berat kerana enggan bahkan rasa terpaksa. Tiba saat ujian memandu, si anak gagal.

Si ibu sedikit kecewa. Namun terus memujuk anaknya untuk mengambil sekali lagi ujian tersebut.

Meskipun setelah berkali-kali meletakkan usaha menghadiri kelas memandu, dengan mudah, si anak menjawab “Takpelah mak. Lain kali ya.”

Pengorbanan harta, masa dan tenaga yang telah dilaburkan sepanjang proses belajar memandu, saat itu hendak dibuang ke mana?

 

***

Kajian kes di atas diketengahkan bagi memahami topik yang akan dibincangkan dalam entri kali ini . InsyaAllah ada kanvas di akhir rancangan ya (^_^) .

“Dia” dalam kajian kes tersebut, memasuki sistem belajar memandu dalam keadaan tidak dipersiapkan dengan input (mengapa saya buat semua ini) serta tidak memiliki end in mind (apa output daripada semua ini). Justeru, apa yang berlaku adalah “dia” terperangkap dalam “Proses” ataupun “Tools” untuk mencapai output. Disebabkan input dan output tidak jelas, hanya proses yang dilaksanakan. Terperangkap dalam proses semata-mata. Akhirnya, tidak membuahkan hasil yang sewajarnya. Apa yang lebih parah, “dia” sudah cukup berpuas hati dengan “proses” yang dilakukan, iaitu kesungguhan hadir ke kelas memandu bagi memenuhi hasrat ibu. Tersasar perspektifnya apabila melihat “Proses” itu sebagai tujuan yang hendak dicapai. Melihat “Proses” sebagai output yang hendak digapai.

Apa pendapat kalian mengenai “dia” yang sebegini?

***

Bagaimana kaitannya dengan Ramadhan? Berbaki belasan hari lagi menuju noktahnya kali ini, sudahkah kita memiliki perspektif yang jelas mengenai Ramadhan dan turut tidak terperangkap dalam sekadar “proses” tanpa meraih output yang diidam-idamkan berpunca daripada “input” yang entah hilang ke mana.

Tema puasa di bulan Ramadhan dirakamkan Allah dalam surah Al-Baqarah bermula ayat 183-187. Sudahkah kita memiliki End in Mind mengikut piawaiNya dan bukan mengikut sangkaan-sangkaan kita?

Kebanyakan kita mudah mengikut kefahaman dan sangkaan-sangkaan manusia sebelum merujuk kepada apa yang dikehendakiNya dalam Al-Quran. Impaknya parah. Kerana andai perspektif tersasar, matlamat tidak tercapai, bagaimana untuk meraih RedhaNya?

Katakanlah (Muhammad), “Adakah perlu Kami beritahu kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya?” (Iaitu) orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya.

Al-Kahf, 18 : 103-104

Misalnya, tatkala memasuki bulan Ramadhan, masing-masing mengejar “output” piawai manusia dan lantas bertanya antara sesama

“Dah khatam berapa kali?”

“Dah ‘itikaf berapa kali?”

“Berapa banyak infaq kali ini?”

Maaf, usah tersalah anggap. Saya bukan bermaksud meletakkan persoalan di atas sebagai benar atau salah. Persoalan yang hendak diutarakan adalah, tatkala soalan itu ditanyakan, apakah perspektif kita mengenainya? Adakah kita melihat itu semua sebagai “output” lantas gembira kerana telah tercapai objektif yang disasarkan bermula awal Ramadhan?

Atau, apakah sebenarnya kesemua itu adalah “proses” yang belum pasti akan membawa kepada output piawaiNya yang termaktub dalam Al-Quran, berpunca daripada “input” yang dikesampingkan ketika segala “proses” itu dilaksanakan.

Begini,

mari selami QalamNya.

Kita berfokus kepada INPUT terlebih dahulu. Apakah INPUT yang hendak Allah tanamkan dalam hati manusia sebelum melaksanakan PROSES sehingga menatijahkan OUTPUT yang dikehendakiNya? Apa yang berlaku sekiranya PROSES berlaku tapa INPUT?

Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan sebagai pembeza (antara benar dengan yang batil). Oleh sebab itu, barangsiapa dalam kalangan kamu yang berada di bulan itu maka berpuasalah. Dan barangsiapa sakit atau bermusafir, maka (wajiblah menggantikannya), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menginginkan kemudahan bagimu dan tidak menginginkan kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu agar kamu bersyukur.

Al-Baqarah, 2 : 185

 

Allah memperkenalkan Bulan Ramadhan sebagai bulan turunnya Al-Quran. Apabila seorang mukmin itu melihat Al-Quran dalam perspektif ia sebagai INPUT penting dalam meraih OUTPUT bulan Ramadhan, justeru Tadabbur dan Tazakkur itu aspek penting yang perlu terus dan terus dilakukan. Kerana INPUT yang diraih sebaiknya akan menjadikan Al-Quran itu sebagai petunjuk dan furqan (pembeza antara haq dan batil).

Seterusnya Allah, tidak meninggalkan kita dengan sekadar INPUT tanpa tools untuk membantu kita memproses didikan ini sehingga meraih OUTPUT. Tools ataupun PROSES yang Dia kurniakan buat kita termasuklah segala ibadah sepanjang bulan Ramadhan termasuklah tools PUASA. INPUT yang benar akan memudahkan PROSES itu berlaku.

Pernah rasa berat melakukan ibadah PUASA?

Pernah rasa berat mengeluarkan INFAQ?

Pernah rasa SOLAT yang fikiran terawang-awang entah ke mana?

Solat, puasa dan infaq, kesemuanya PROSES yang Allah kurniakan buat manusia, sebagai rahmatNya bagi memudahkan kita meraih OUTPUT. Andai kesemua PROSES ini dilakukan tanpa INPUT, begitulah yang akan berlaku. Setiap ibadah dirasakan beban. Tidak memahami “mengapa” di sebalik “apa” yang dilakukan. Hilang kemanisan ibadah. Berlumba-lumba melakukan PROSES kerana menganggapnya sebagai OUTPUT, seakan-akan itulah objektif yang hendak dikejar.

Sedangkan, apakah OUTPUT piawaiNya yang seharusnya menjadi End in Mind setiap kita?

Antara kata kunci yang Allah gunakan yang merujuk kepada OUTPUT yang dikehendakiNya adalah kalimah “la’alla”.  لَعَلَّ. Kalimah ini membawa maksud “moga-moga” atau “agar”. Dan ya, inilah OUTPUT piawaiNya. Bukan OUTPUT yang digariskan teman seusrah, atau jiran sebelah rumah. Mari fahami OUTPUT yang digariskanNya.

4 kali kalimah ini hadir antara ayat ke-183-187 surah Al-Baqarah.

Ayat ke-183 (Agar kamu BERTAQWA)

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ayat ke-185 (Agar kamu BERSYUKUR)

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ –

Ayat ke-186 (Agar mereka MENDAPAT PETUNJUK)

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

 

Ayat ke-187 (Agar mereka BERTAQWA)

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ –

 

Sudahkah jelas bagi kita mengenai OUTPUT piawaiNya. Andai diperhatikan, 2 kali diulang OUTPUT Taqwa, mengapit 2 OUTPUT lainnya iaitu Syukur & Mendapat Petunjuk.

Lantas, berbaki beberapa hari lagi sebelum Ramadhan menuju noktahnya, tanyakanlah kepada diri..

“Apakah setelah tamatnya Ramadhan kali ini, saya yakin untuk menjadi peribadi yang bertaqwa, bersyukur dan memperoleh petunjuk?

“Apakah solat, puasa dan infaq (PROSES) saya selama ini didasari INPUT (Tadabbur Tazakkur Al-Quran) sehinggakan melunakkan jiwa, mampu menghayati setiap ibadah penuh iman?”

***

Usah posisikan kita seperti “dia” dalam kajian kes di awal perenggan. Saya bukan “dia” yang sekadar terperangkap dalam PROSES tanpa peduli menggarap INPUT yang menjadi nadi dan jantung yang menggerakkan PROSES sehingga benar-benar meraih OUTPUT yang dikehendaki.

“Err… apa yang seharusnya saya lakukan sekarang ini?”

Ya, harus bertanggungjawab melakukan proses meraih INPUT. Fahami QalamNya. Moga-moga INPUT Al-Quran menjadi petunjuk dan Furqan dalam setiap kita sehingga solat, puasa dan infaq setiap kita punyai makna yang mendalam.

Moga-moga setiap kita meraih jiwa taqwa, syukur dan beroleh petunjuk. Kejelasan INPUT, PROSES dan OUTPUT ini moga-moga menjemput barakah dan rahmatNya. Terus bersama kebenaran meskipun kaki telah melangkah keluar daripada Bulan Ramadhan. Istiqomah dalam kebaikan.

Ameen Ya Robbal ‘Alamin.

 

Puasa 2 183

 

 

Nota sesi coaching QmapLovesMe bersama Pn Norihah Bachok

Beautiful Life Centre.

4 thoughts on “Ramadhan dalam perspektif : Input, proses dan output

  • June 19, 2017 at 9:32 am
    Permalink

    MashaAllah tabarakallah.

    Kajian kes ‘dia’ di awal penulisan menangkap perhatian untuk terus membaca. Menjadikan perkongsian ini
    relevan – semua orang pernah hadapi situasi ‘blur’ dan ‘whatever’ dalam menjalani rutin dan aktiviti.

    Seterusnya, apabila ayat-ayat puasa ini dicerakinkan mengikut input, proses dan output, dengna pengamatan empat ‘la’alla’ sebagai output yang diharap, subhanallah, saya mahu teruskan pembacaan.

    Ditambah lagi dengan soalan, “Pernah rasa berat mahu solat, infaq?”, kena sentap pula. Terus membaca lagi.

    Sungguh, Al Quran ini panduan yang sistematik untuk hambanya yang problematik, yang mencari jawapan dan solusi kepada isu kehidupan.

    May Allah bless you! Terima kasih.

    Reply
    • June 19, 2017 at 10:26 am
      Permalink

      Moga Allah merahmatimu jua.
      Membaca komentar saudari, rasa macam sedang dibaca Editor 🙂
      Moga penulisan memberi banyak manfaat,
      Amal kecil ini atas nikmat kurniaanNya dan bantuanNya.

      Reply
  • May 17, 2018 at 6:04 am
    Permalink

    Ayat, barakallahufik. Ramadhan kareem.. Hehe masa baca ayat2 di atas, dok pk2 sbb masa tu tak tgk sape penulisnya..baca dan baca.. Eh, ayat2 ini mcm kenal lah.. Mcm boleh agak siapa, sampai ke hujung masih tak tau siapa.. Last2, bila tgk komen… Lah, mmg dia.. Hehe thanx atas sharing ni ye.. 😘😘

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.