Sempit : Di saat terlupa Dialah Rabb.

Duduk-duduk bersama teman yang sama latar belakang, kami cuba merungkai kemelut yang melanda di jiwa masyarakat yang berkecamuk. Satu persatu kes diteliti. Adakalanya terfikir, berteman dengan kaunselor memang banyak mengajar erti kehidupan. Utamanya, bagaimana untuk mewarnai kehidupan itu dengan siraman wahyuNya?

Bila berhadapan dengan individu, solusinya juga fokus kepada pembangunan individu. Membantu individu itu bangkit bermula dengan segala kudrat yang ada pada dirinya. Kerana di saat sulit, pengharapan kepada makhluk,tidak kira sama ada ahli keluarga mahupun teman rapat, terkadang lebih mengundang kekecewaan. Sehingga akhirnya, yang paling utama untuk difokuskan adalah dirinya sendiri. Bangkit, bermula dengan diri sendiri.

***

Dia, hampir-hampir membunuh anak bongsunya dek tertekan dengan keadaan hidup. Si suami tidak pernah memberikan nafkah. Tuntutan fasakh pula dipersulitkan. Kesannya, dirinya didiagnos mental disorder. Bahkan dinafikan hak menjaga anak kerana dikhuatiri berlaku penganiayaan. Bantuan dari teman-teman secara material terus dihulur. Masih survive untuk setidak-tidaknya masih memiliki rumah untuk berteduh dan makanan untuk dijamah sehari-hari.

Dan ada seperkara yang paling penting untuk dipulihkan.

Terkait isu akidah.

Kerana seandainya akidah itu dimurnikan, derap langkah kaki itu lebih mudah keluar daripada lubang mangsa yang amat dalam dan gelap.

“Saya bukan mangsa keadaan. Bahagianya saya bukan bergantung pada dia. Saya sentiasa ada harapan untuk hidup bahagia, dengan apa-apa yang Dia kurniakan.”

Skrip ini, sulit didapatkan daripada mereka yang diuji teruk tanpa menyedari telah membiarkan atau memposisikan diri sebagai “mangsa”. Meletakkan bahagia pada “kawalan” manusia lain, bukan atas pilihan diri sendiri.

Disakiti itu realiti, tetapi untuk rasa disakiti itu tetap pilihan.

Diabaikan itu realiti, tetapa untuk rasa diabaikan itu tetap pilihan.

Bilamana ada selain “dia” untuk diharapkan. Kerana ada Dia selain dia.

***

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan daripada sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman) “Bukankah Aku ini Robbmu?” Mereka menjawab “Betul (Engkau Robb kami), kami bersaksi.” (Kami lakukan yang demikian itu ) agar di hari Kiamat kamu tidak mengatakan “Sesungghnya ketika itu kami LALAI terhadap ini.”

Al-‘Araf, 7 : 172

 

Menerima bahawa Dialah Robb, bukan semudah menghafal apa yang tertera dalam buku teks pendidikan Islam sekolah menengah. Pengakuan tauhid bahawa Dialah Robb, menuntut pembuktian sikap.

Terlebih dahulu, “Robb itu apa ya?”

Bila menyebut kalimah Robb, seharusnya seorang hamba itu dapat menangkap bahawa Dialah yang menciptakan [2:21 ; 2:260 ]. Dialah yang memberi rezeki [2:126 ; 2 : 22]. Dialah yang mengurus dan mentadbir alam [2:258 ; 6:60 ]. Pendek kata, Dialah segala-galanya.

Apa kesannya tidak melalaikan bahawa Dialah Robb?

Tatkala terlihat seorang yang hebat berketerampilan bersaing dengan dirimu, lantas terus teringat akan Dia. Allah yang menciptakan dia. Di sebalik kehebatan makhluk, menjadi bukti kehebatan Dia yang menciptakan. Lalu hati itu tenang, tunduk dengan jiwa syukur. Meraikan kehebatan teman-teman yang lain. Mencari ruang bersinergi. Bukan untuk saling menjatuhkan. Kerana mengerti bahawa Dialah Rabb yang menciptakan.

Tatkala si dia yang diharap-harapkan memberikan kebaikan dan membantu kewangan tiba-tiba tidak lagi melaksanakan apa yang diharap-harapkan. Bagaimana merespon terhadap situasi sebegitu? Merajuk dan terus gundah gulana seakan-akan hidup telah gelap tiada lagi cahaya untuk bangkit? Bagaimana untuk membuktikan bahawa Dialah Robb, Maha Pemberi Rezeki? Atau memang hakikatnya si dialah Pemberi Rezeki justeru bilamana si dia enggan melaksanakan tanggungjawabnya… habislah hidup saya.. gelaplah hidup saya… saya tidak akan bahagia selama-lamanya..

Parah, bilamana meletakkan makhluk sebagai Robb tanpa sedar.

Tatkala diuji dengan kemalangan sehingga kehilangan salah satu anggota. Terbentang pilihan untuk merespon. Menjadi hamba yang lupa kepadaNya lalu terus menerus menyalahkan taqdir, merasakan diri mangsa, merasakan tidak berkecukupan lalu menghadapi hidup dengan penuh dukacita. Atau, menjadi hamba yang bersyukur terhadap Dia Ar-Razzaq, Al-Khaliq. Allah, aku syukuri kerana Engkau hanya mengambil satu salah satu anggota jasadku dan masih memelihara anggota jasadku yang lain.

Image result for nick vujicic

 

Dan begitulah seharusnya manifestasi seorang yang benar-benar melafazkan Alhamdulillahi Robbil ‘Alamin di setiap solatnya sehari-hari.

Segala pujian kesyukuran bagi Allah, Robb seluruh alam.

Al-Fatihah, 1 : 2

 

Alhamdulillahi Robbil ‘Alamin, impaknya besar. Andai difahami dalam erti kata sebenar.

Sehingga akhirnya, kesulitan yang dihadapi, tidak lagi dilihat sebagai ujian. Bahkan sebagai Rahmat. Kerana kesemuanya adalah peluang untuk meluruskan aqidah, memurnikan iman, agar pulang kelak bertemu denganNya dalam keadaan benar-benar mensucikan bahawa Dialah Robb.

Adakah manusia fikir bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji?

Al-‘Ankabut, 29 : 2

Ketika diuji dengan pasangan yang enggan memberikan nafkah, di saat hati begitu sesak, bukan mudah untuk melihat dari perspektif kesyukuran. Allah, Engkau mahu mendidikku bergantung padaMu? Di saat Engkau menarik sumber pergantunganku kepada manusia, ketika itulah Engkau memberiku peluang untuk kembali bergantung harap padaMu Ya Razzaq.. Mampukah menjadi setegar Hajar, sehingga Allah mengurniakan air zam-zam buat dua jiwa murni itu di saat dipaksa melepaskan pergantungan hidup terhadap suaminya, Nabi Ibrahim.

Ketika diuji dengan hilangnya aset rumah dan perniagaan dek banjir besar yang melanda, mampukah melihat dari perspektif kesyukuran? Alhamdulillahi Robbil ‘Alamin? Di saat Allah menarik sumber pergantungan terhadap diri sendiri melalui hilangnya segala yang dimiliki hasil usaha tangan sendiri. Di saat itu sebenarnya peluang yang diberikan Dia agar meluruskan aqidah, kembali kepada Robb. Ya Robbi, Engkaulah Maha Pemberi Rezeki. Aku tiada daya tanpaMu. Dengan segala kudrat ini, aku memohon kepadaMu, penuh kesyukuran. Mampukah menjadi setegar Nabi Musa yang menjadi pelarian di negeri orang, meninggalkan istana Firaun tempatnya membesar, dan terus memohon kepada Tuhan tanpa mengharapkan dan bergantung kepada masyarakat tempatan, bahkan kepada manusia yang pernah dibantunya.

Maka dia (Musa) memberi minum ternakan kedua-dua perempuan itu, kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”

Al-Qosas, 28 : 24

 

***

Ujian hidup, mencambahkan banyak penyakit mental. Bilamana tidak menemui solusi dari Dia Yang Menghidupkan dan Mematikan.

Kami berfirman “Turunlah kamu semua daripada syurga! Kemudian jika datang kepadamu petunjukKu, maka barangsiapa mengikuti petunjukKu, nescaya tiada ketakutan dan dukacita ke atas mereka.

Al-Baqarah, 2 : 38

 

Di 10 malam terakhir Ramadhan. Dengan esakan, tangis wanita dan teman-teman dalam diamnya bersujud. Setulus hati memohon Rahmat dari Robb.

Ya Robb, Engkau sembuhkanlah penyakit mereka yang diuji dengan kesakitan. Engkau lapangkanlah rezeki mereka yang diuji dengan kesempitan hidup. Engkau tenangkanlah dan damaikanlah hati mereka yang dicederakan emosinya berkali-kali. Engkau bahagiakanlah jiwa-jiwa yang kesunyian dan sering terasa sepi.

Ya Robb, Yang menurunkan Al-Quran di bulan Ramadhan. Bantulah kami memfungsikan Al-Quran sehingga menjadi petunjuk, penjelasan dan furqan.

Agar kami tidak lagi takut dan berdukacita.

Agar kami kembali kepadaMu dalam keadaan yang benar-benar menerima bahawa Engkaulah Robb.

3 thoughts on “Sempit : Di saat terlupa Dialah Rabb.

  • June 14, 2017 at 12:07 pm
    Permalink

    Ameen ya Rob.

    Robb, dari sudut bahasa ada 7 maksud :
    Pentadbir, Pengurus, Raja, Tuan, Pembaikpulih,Pemberi nikmat, Pendidik. Semoga di akhir-akhir Ramadhan ini, aku benar-benar menjadikan Allah Robbku bekalan 11 bulan akan datang.

    Reply
  • June 14, 2017 at 12:31 pm
    Permalink

    Terima kasih..

    Amiin.

    Reply
  • June 14, 2017 at 1:12 pm
    Permalink

    Jzkk penulis.. 💐💐

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.