Tuhan tak pernah meninggalkanmu… Benarkah?
“Penatnya hidup ni. Lepas satu, satu aku kena hadap. Semalam dengan diberhentikan kerja, dah takde duit, harini kemalangan pulak. Pegi hospital, doktor buat rawatan cuci luka, tiba-tiba aku kena allergic, doktor ni pun, kenapa tak tanya dulu aku ada allergic ubat ke tak, main cucuk je. Ingat aku ni bahan eksperimen ke?? Esok lusa, tak tahu aku kena apa plak”!
Situasi ini sering juga kita dengar dari mulut manusia yang diuji. Mahu bersabar ketika diuji bukan senang. Bila sudah kena, baru kita tahu langit ini tinggi atau rendah.
Ketika kita diuji bertimpa-timpa, selepas satu satu, itu sebenarnya petanda Tuhan masih menyayangi kita. Saya nak bercerita satu cerita.
**
(Gambar ihsan google)
Di dalam satu tapak pembinaan, ada seorang pekerja yang berada di atas bangunan mahu memanggil kawannya yang berada di bawah. Dia ingin memesan sesuatu untuk dilakukan oleh kawannya itu. Saya namakan pekerja yang berada di atas bangunan dengan Ahmad dan kawannya yang di bawah dengan Muhammad.
Dalam hingar bising, si Ahmad melaung memanggil temannya ini berkali-kali. Namun, si Muhammad tidak mendengarnya, tidak langsung diendahkan malah meneruskan kerja-kerjanya di bawah. Si Ahmad tidak tahu apakah cara yang terbaik untuk memanggil temannya itu. Tiba-tiba, dia mendapat satu idea. Dia membaling syiling 50 sen ke bawah, dan nasib menyebelahinya. Syiling itu mengena kepala Muhammad. Ting… Muhammad terkejut menerima syiling tersebut, lantas berkata: “waaah rezki turun dari langitt…” Dia menyangka bahawa ia rezeki dari langit, lantas dia memasukkan duit itu ke dalam kocek.
Situasi itu berlaku dua, ketiga sehingga keempat kalinya. Si Ahmad sudah buntu, mati akal. “Macamana lagi caranya aku nak panggil Muhammad niii..” keluhnya. Lantas, dia mendapat satu idea lain. Dia mencari batu kecil yang terdapat di sekitarnya, dan membaling ke bawah, sekali lagi mengena tepat kepada si Muhammad.
Si Muhammad terkejut, lantas mendongak ke atas, mencari gerangan diri siapakah yang membaling batu itu kepadanya. Ketika ini, Ahmad berasa gembira, lantas berkata “Akhirnya, aku berjaya jugak panggil si Muhammad ni…”
Maka, kini dia boleh memberitahu pesanan penting itu kepada Muhammad.
**
Begitu juga kita. Berkali-kali, Tuhan mahu memanggil kita, dengan memberi kita pelbagai nikmat. Namun, kita sering lupa ‘mendongak’. Menerima nikmat-nikmat ini, dan memasukkanya ke dalam ‘kocek’, tanpa mahu bertanya/bercakap/berhubung dengan si pemberi syiling, Yang Maha Memberi Nikmat. Maka, diturunkan sedikit ‘batu-batu kecil’ supaya kita kembali mendongak kepadaNya.
Namun, dalam menghadapi ujian yang merupakan batu-batu kecil dalam hidup, Tuhan tidak pernah meninggalkan kita apatah lagi membenci.
مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى
(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik) (ad-Dhuha, 93:3)
Jika kita perhatikan ayat ini, Allah menyatakan bahawa وَدَّعَكَ iaitu meninggalkanmu, namun pada َقلى iaitu membenci, Allah menghilangkan perkataan mu. Menunjukkan bahawa, Allah tidak pernah membencimu(Muhammad). Allah tidak pernah membencimu(Wan). Sehingga Allah senyapkan perkataan mu menunjukkan bahawa, Allah benar-benar tidak membencimu.
Sepatutnya ayat ini menjadi “Tuhanmu tidak pernah meninggalkanmu dan tidak pernah membencimu”. Namun yang berlaku selainnya. Allah menghilangkan perkataan ‘mu’ pada perbuatan benci, membuktikan bahawa, benar sungguh Allah tidak pernah membencimu, membenci kita.
Ujian ini adalah supaya engkau kembali mendongak Dia, Yang Maha Memberi Nikmat. Supaya engkau tidak lagi memasukkan kesemua nikmat ini sewenangnya ke dalam ‘kocekmu’. Dia tidak pernah membencimu kerana, bukankah sebelumnya Dia juga yang pernah melindungimu ketika engkau dalam keadaan yang putus harap sebagaimana si yatim yang tidak beribu dan berbapa?
أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَى
Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
(Ad-Dhuha, 93:6)
Kerana, sebelumnya Dia juga yang telah memberimu petunjuk ketika engkau tersesat?
وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَى
Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran) (Ad-Dhuha, 93:7)
Dan, kerana sebelumnya Dia juga yang pernah mencukupkanmu, memberi pakaian, pekerjaan, makanan ketika dirimu berada dalam serba kurang?
وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَى
Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan? (Ad-Dhuha, 93:8)
Tuhan Allah tidak pernah meninggalkanmu, apatah lagi membenci. Dia memberi perlindungan saat engkau berputus harap, Dia juga memimpin tanganmu saat engkau buta tersesat, dan Dia juga yang telah mencukupkanmu ketika engkau merasa serba kurang.
Maka, sekarang, apa pilihanmu? Bagaimana engkau mahu ‘hadapi batu-batu kecil’ ini? Masih merasa Dia meninggalkanmu atau apa tindakanmu?
Bahasa cinta Tuhan kepada HambaNya . Sangat halus untuk diselami. Setiap baris, setiap huruf, memberi makna yg sangat mendalam .
Dalam segala kesulitan, sedari, selagi dikurniakan nyawa untuk hidup, selagi itulah harus bersyukur. Hidup itu sendiri adalah nikmat terbesar. Nikmat yg tiada gantinya. Kerana yg telah mati, begitu menginginkan utk kembali beramal dgn sebarang daya.
Teringat pula saya pada ayat ini:
قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ أَهْلَكَنِيَ اللَّهُ وَمَنْ مَعِيَ أَوْ رَحِمَنَا فَمَنْ يُجِيرُ الْكَافِرِينَ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
Tanyalah (wahai Muhammad, kepada mereka): “Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku dan orang-orang yang bersama-sama denganku (sebagaimana yang kamu harap-harapkan), atau Ia memberi rahmat kepada kami (sehingga kami dapat mengalahkan kamu), – maka siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”(al-Mulk, 67:28)
Allah menggandingkan perbuatan -ahlak-binasakan daku- iaitu (mematikanku), dengan perbuatan -rahimana-memberi rahmat (menghidupkan). Sepatutnya kebinasaan iaitu kematian digandingkan dengan kehidupan, namun Allah menyatakan selainnya.
Allah menggandingkan kebinasaan dengan rahmat instead of hidup. Dengan membawa erti bahawa, sebenarnya kehidupan kita harini, nafas yang kita dapat sedut, doa bangun pagi yang dapat kita baca selepas bangun tidur adalah manifestasi cinta (rahmat) Allah pada kita, kerana masih memberi peluang untuk kita hidup.
Berbelit sikit. Harap saya dapat menjelaskannya dengan bahasa yang mudah faham.
tq kak..jzkk