Setia dengan iman

Muka masam mencuka. Teman di sebelah sudah menarik muka.

“Dia ni.. Janji nak gerak pukul 9 pagi. Ni nak dekat pukul 10 pagi tak sampai-sampai lagi! Semua orang pun ada kerja lain lah….”

Kepercayaan mulai memudar. Peristiwa yang berlaku mencalarkan peribadi yang memungkiri janji. Bilamana kepercayaan runtuh, bukankah sulit untuk membinanya kembali.

Dan pasti, tiada yang suka dengan peribadi yang sering memungkiri janji. Serik bukan?

“Aku tak percaya dia dah!”

Bagaimana pula jika perjanjian yang diikat itu adalah antara diri si hamba dengan Tuhan yang Menciptakan? Dan yang berjanji dan memungkiri janji itu pula adalah diri si hamba? Yang diingkari adalah Tuhan?

Berjanji, kemudian memungkiri. Berjanji lagi lalu memungkiri lagi. Berkali-kali. Justeru apakah nilainya janji yang diungkapkan? Apakah nilai iman yang ingin dipersembahkan kepadaNya di saat tibanya Hari Pertemuan? Kerana, syahadah dan iman itu adalah perjanjian antara diri si hamba dengan Tuhan.

Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)” Mereka menjawab “Kami dengar dan kami menderhaka ” Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka . Katakanlah (Wahai Muhammad) “Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman.”

Al-Baqarah, 2 :93

Umat Islam zaman dahulu yakni mereka yang diberikan kitab (Bani Israel, Ahli Kitab etc), memilih untuk mendengar dan menderhaka terhadap kandungan kitabnya. Janji syahadah dan iman yang diungkapkan seakan-akan kata-kata tiada makna. Tiada nilainya. Bolehkah kualiti iman sebegitu menjamin diri menempati syurga?

“Eh, itu cerita orang Islam zaman dulu. Apa kena mengena dengan saya? Mereka memang sesat.”

Allah merakamkan kisah kederhakaan mereka yang terdahulu agar umat Islam di zaman ini mengambil iktibar dan tidak mengulang perilaku golongan yang Dia murkai dan sesat. Umat Islam zaman dahulu telah memilih untuk mendengar Kitab yang dikurniakan, kemudian memilih untuk menderhaka.

Kita?

Renungkan situasi ini. Ketika Solat, setiap kita mengungkapkan syahadah dalam tahiyat awal & akhirnya. Memperbaharui janji dengan Tuhan. Mengulang kembali lafaz janji “Engkau Tuhanku dan Nabi Muhammad itu pesuruhMu.”

Namun, selesai solat … lantas :

Mengumpat

Memanipulasi wang syarikat.

Menonton sehingga larut dengan cerita atau filem yang mengandungi nilai mungkar.

Membuang masa ibarat Hari Qiamat itu tidak akan berlaku.

Dan entah, macam-macam lagi maksiat yang dilakukan. Seakan-akan janji yang baru sahaja dilafazkan di dalam tahiyat awal dan akhir sekadar kata-kata yang tidak bermakna.

“Saya lafaz je syahadah tu. Tak betul-betul serius berjanji dengan Tuhan.”

Eh?

Sedangkan saat ini yang telah memasuki fasa akhir syawal, apakah bekalan Ramadhan baru-baru ini tidak memberi erti? Hilang lenyap dengan berlabuhnya tirai Ramadhan?

***

Iman bukan sekadar iman.

Tetapi harus diteguhkan dengan istiqamah

Untuk setia dengan iman

Sesungguhnya orang-orang yang berkata “Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata) “Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati, bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu.”

Fussilat, 41 : 30

Mengimani Allahlah Rabb. Kemudian, istiqamah. Kedua-duanya memberikan nilai terhadap syahadah yang menjadi kunci kepada bangunan Islam.

Bayangkan sahaja anda terjumpa sekeping syiling 50 sen di pejabat. Apa yang hendak dilakukan? Membiarkannya sahaja atau mengutip dan mengisi di dalam tabung surau? Nilainya kecil bukan. Tidak perlu dirunsingkan. Bahkan boleh diabaikan.

Bagaimana pula seandainya anda terjumpa 5 keping duit kertas RM100 membuatkan jumlahnya RM500. Apa yang hendak dilakukan? Mengumumkan kepada ahli pejabat? Mengenalpasti dan menganalisa bahawa dia yang mengaku sebagai tuan pemilik benar-benar adalah pemiliknya?

Perbezaan tindakan terhadap dua situasi ini bertitik tolak daripada perbezaan nilai wang. Nilai yang kecil, tidak perlu bersusah payah memastikan kepemilikannya. Namun, nilai yang besar, harus benar-benar mengenalpasti siapa pemiliknya.

Begitulah nilai iman dan syahadah yang ada dalam diri setiap muslim. Sejauh manakah bernilainya syahadah dan iman ini sehingga melayakkan diri menjemput redha Tuhan dan kembali ke kampung syurga yang abadi? Apakah harus membuktikan kepada Tuhan bahawa diri ini benar-benar beriman. Bukan sekadar mengungkapkan perjanjian keimanan berbasa-basi tanpa serius taat akan perintahNya?

“Eih, saya dah mengucap syahadah. Oklah tu. Ingkar, buat dosa, nanti masuk neraka sekejap. Hujung-hujung masih boleh masuk syurga.”

Dan mereka berkata “Neraka tidak akan menyentuh kami kecuali beberapa hari sahaja” Katakanlah “Sudahkah kamu menerima janji daripada Allah sehingga Allah tidak akan mengingkari janjiNya, ataukah kamu mengatakan tentang Allah, sesuatu yang tidak kamu ketahui?” Bukan demikian! Barangsiapa berbuat keburukan dan dosanya telah menenggelamkannya maka mereka itu penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya.

Al-Baqarah, 2 : 79-80

 

Iman dan istiqamah, kedua-duanya harus seiring. Kerana bicara soal istiqamah bukan sekadar isu remeh yang boleh dipilih-pilih “Nak istiqamah ke tak?”.

Nilainya lebih penting daripada urusan pelajar SPM yang mengharapkan kecemerlangan sehingga dapat meraih biasiswa.

Nilainya lebih penting daripada urusan staf Hospital mengumpul prestasi sehingga berpeluang meningkat tangga gaji.

Kerana yang ingin diraih adalah syurga yang tidak terbanding nikmatnya dan harganya. Kerana yang ingin dibuktikan adalah nilai janji iman antara diri si hamba dengan Tuhan. Apakah nilai iman ini sekadar berharga 50 sen, tidak bererti, sehingga Allah tidak perlu bertanya perihal dosa-dosa (nilai yang terlalu rendah sehingga boleh diabaikan sahaja)?

Dan orang-orang yang berdosa itu tidak perlu ditanya tentang dosa-dosa mereka.

Al-Qosas, 28 : 78

Mereka berkata “Ya Tuhan kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami, dan kami adalah orang-orang yang sesat.Ya Tuhan kami, kembalikanlah kami ke dunia, jika kami masih juga tetap dalam keingkaran, sesungguhnya, kami adalah orang-orang yang zalim.” Dia (Allah) berfirman “Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.”

Al-Mukminun, 23 : 106-108

 

atau apakah iman ini benar-benar sarat terbukti di sepanjang rentang kehidupan melalui kekuatan istiqamah yang ada dalam diri? “Allah, imanku ini benar. Janji syahadahku denganMu adalah benar. Bukan main-main.”

Maka istiqamahlah engkau sebagaimana yang telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang-orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa yang kamu lakukan.

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka, sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kelak kamu tidak akan diberi pertolongan.

Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan amalan-amalan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu mengingati (Allah).

Dan bersabarlah , kerana sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikan.

Hud, 11 : 112-115

Rukun istiqamah (Hud, 11 : 112-115):

  1. Jangan melampaui batas
  2. Jangan cenderung kepada orang yang zalim
  3. Dirikanlah solat.
  4. Sabar

 

Mahu menelusuri formula istiqamah melalui didikan surah Huud dari Tuhan? Agar nilai syahadah dan iman itu benar-benar bererti. Bukan lagi sekadar olok-olok dengan Tuhan.

_____

Info program : http://bit.ly/2tWUsN4

Buat anda yang berjaya membaca post ini sehingga akhir, ini hadiah diskaun untuk anda.

Kod kupon (50% diskaun) : istiqamah50

Terima kasih (^_^)

2 thoughts on “Setia dengan iman

  • July 22, 2017 at 8:57 am
    Permalink

    Tq kak yat….cmne la kak ayat ley nk tulis pnjg2…dan nilai spiritual dan emosi dalam penulisan kak yat mmg tggi…of course…including intelek

    Reply
  • July 22, 2017 at 10:53 am
    Permalink

    Iye? Kena mengajar Aiman. Jadi naqib usrah. Lagi byk mengajar, lagi byk kena fikir, lagi byk kena fitkan isu manusia dgn solusi quran.

    Topik ni sebenrnya akak dok ajar anak usrah sejak tahun 2005. Bila nak ajar manusia tak leh bg input . mmg kena sesuaikn dgn emosi mereka. Sbb mengajar bukan utk bagi input. Kita mengajar utk membentuk akhlaq n peribadi.

    Selamat mengajar Aiman

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.