Dibersihkan untuk melepaskan

Pagi Ahad. Kecoh dalam kumpulan Whatsapp teman-teman perihal keputusan peperiksaan. Jauh di sudut hati, terlintas kemungkinan untuk gagal kedua-dua subjek. Namun realiti harus dihadapi. Lalu, terus menjemput keputusan melalui servis atas talian (online).

Allah

Alhamdulillah 1 lulus.
Yang satu lagi gagal, seperti yg dijangka. Terus berlari mendapatkan ibu & ayah yang sedang berehat pada pagi hujung minggu itu. Dengan emosi yg agak bercelaru, benar-benar mengharapkan ibu & ayah memujuk, menenangkan rasa hati.

Namun.
Sebaliknya.

Ibu menunjukkan riak terkejut & sedikit marah. Ayah spontan bertanya.

“Dah tu, nak buat apa lepas ni?”

Allah

“Saya belum habis hadam lagi result ni. Masih terkejut. Ayah dah tanya nak buat apa? Repeat next sem lah”

Hatinya remuk. Bergegas kembali ke bilik. Terus bersiap & mengemas utk kembali ke kolej. Kebiasaannya, ayah yg akan hantar kembali ke kolej. Tapi hari itu, dia mahu menaiki LRT sahaja, memujuk hati.

Saya nak down berapa hari ni? Dua hari, tiga hari? Allah, saya sedih. Kenapa saya dapat result sebegini? Allah tak sayang saya?

Dan malam itu, bertemu teman-teman berbicara tentang Tuhan, merawat hati yang sedang parah terluka, sulit meredhoi “hadiah” dariNya.

“Saya stress.”

Teman yang lain menyampuk “Saya pun pernah macam tu dulu. Down sangat macam nak murung. Awak jgn lama sangat macam ni.”

– “Mak saya selalu cakap, mesti ada hikmah ni. Cuma kita tak nampak lagi.”

“Susah nak nampak hikmah”

Seorang lagi mula bercerita.

– “Nak bagi perumpamaan sikit. Bayangkan seorang anak, kaki dia dijangkiti kuman sampai merebak naik ke atas. Doktor nasihat suruh potong. Si ibu terkejut. Enggan membenarkan. Tapi si ayah lebih rasional. Bersetuju utk membenarkan doktor memotong kaki anaknya. Sebenarnya, ayah dia sayang tak anak dia?”

“Mestilah sayang”

-“Tapi, kenapa nak potong kaki anak?”

“Kalau tak potong. Nanti makin teruk. Biarlah lepaskan sikit kaki yang sakit tu, daripada seluruh badan sakit”

 

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.
As-Sajdah,32:21

“Jadi, apa pendapat kalian kalau Allah bagi ujian kat dunia ni sikit, sucikan dan bersihkan kita, supaya kat akhirat tak masuk neraka?”

-“Fuhh.. Kenapa tiba-tiba cerita neraka ni? “

“Ada satu dosa ni, tak akan diampunkan Tuhan. Dosa apa tu.?

-“Syirik?”

“Yup. Syirik tu macammana?”

-“Tidak mengesakan Allah?”

“Tu jawapan buku. Macammana tu?”

-“Haha. Tak sembah patung?”

“Syirik tu, menduakan Allah. Meletakkan sifat-sifat rabb pada selainNya. Bergantung pd selainNya. Berharap rezeki pada selainNya. Tahu kenapa riak tu dikira syirik kecil & halus?”

-“Kenapa?”

“Sebab riak itu mensyirikkan Allah dgn diri sendiri. Melihat diri hebat. Mahu manusia melihat diri hebat.”

– “Ouch”

“Nmpk tak kaitannya dgn semua ujian yg Dia bg?”

– “Tak.”

“Begini, bila Dia menarik nikmat, org yg beriman akan tersentak & menyedari, bahawa dirinya tak punya apa. Kalau selama ini mengharap ibu ayah, bila tiba saat diuji, baru sedar bahkan terhadap ibu ayah juga harus dilepaskn pergantungan, kembali bergantung pd Tuhan. Bila diuji kegagalan, kalau selama ini bergantung pd diri sendiri, belajar dan bijak konon kerana usaha sendiri, tiba waktunya untuk kembali. Bahawa diri tak mampu, kembali meluruskan akidah, kembali kepadaNya, kmbali tawakal kepadaNya”.

Sulit bukan. Tapi itulah proses. Itulah peluang mensucikan akidah drpd syirik yg sangat halus. Bayangkn kalau Allah tak uji. Silap-silap sampai mati kita sombong, perasan yg “bijak” ni kerana diri sendiri. Kalau Allah tak uji, risau sampai mati hati itu bergantung harap pada manusia, pada ibu bapa,pada pasangan, pada kawan-kawan bukan kepada Tuhan.

“Bergantung pada manusia itu salah ke?

 

***

 

Aisyah yang diuji dengan fitnah bersama Safwan, mengharungi hari yang amat perit di Kota Madinah. Bahkan Rasulullah dan ibu bapanya tidak benar-benar mempercayainya. Di saat Aisyah hilang pergantungan kepada semua termasuklah suaminya Rasulullah, penuh tulus Aisyah mengadu pada Tuhan, kembali bergantung kepadaNya. Dan turunlah Surah An-Nur, membersihkan nama Aisyah. Lalu ibu dan bapanya menyerunya untuk bersegera mendapatkan Rasulullah. Namun, penuh tenang Aisyah menjawab bahawa dirinya tidak perlu berterima kasih kepada Rasulullah. Kerana Allahlah yang telah membersihkan namanya di saat seluruh manusia tidak mempercayainya.

Satu ujian perit yang hadir, membersihkan akidah agar terus murni, mengagungkanNya, bergantung harap hanya kepadaNya. Melepaskan tawakal kepada sesama manusia.

***

Hajar yang diuji perintah Tuhan untuk ditinggalkan di tempat yang gersang bersama anak kecil, teguh mencari air berkali-kali dari Safa ke Marwa. Pergantungan yang tinggi kepada Allah, menjemput barakah dengan dikurniakan air zam-zam. Keyakinan dan kepercayaan kepada Tuhan sehingga sanggup melepaskan pergantungan kepada suami (Nabi Ibrahim), adalah nilai akidah yang mahal, menjadi iktibar buat umat akhir zaman.

***

Maryam, seorang wanita perawan yang memelihara kehormatan diri, diuji Tuhan dengan dikurniakan anak tanpa suami. Sabar menghadapi masyarakat yang memandang hina dirinya, menuduhnya perempuan tidak bermaruah, sehingga mereka enggan menyebut namanya kerana terasa jelek. Akhirnya “saudara perempuan Harun” menjadi gelarannya akibat keengganan masyarakat menyebut namanya kerana rasa hina.

Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat.

Maryam, 19 : 28

Dan tatkala seluruh manusia menafikan kesucian Maryam, enggan menyebut namanya, Maryam hanya ada Tuhan tempat berharap dan mengadu segala rasa. Dia melabuhkan sepenuh pergantungan kepada Robb. Dan akhirnya, Allah menukilkan nama Maryam dalam kitab akhir zaman, sebagai satu-satunya nama perempuan yang ada dalam Al-Quran, terus dan terus disebut namanya sehinggalah ke akhir zaman.

***

Seorang teman yang diuji penyakit OCD, tegar mengharungi hidup sehari-hari dengan melawan pemikiran yang berulang kali muncul tanpa diundang. Terpaksa membasuh baju 2 baldi sehari. Terpaksa membasuh tandas setiap hari. Dan paling parah, sulit mengerjakan solat 5 kali sehari semalam sehinggakan pernah berdiri di tikar sejadah dari maghrib hingga ke subuh tanpa mampu mendirikan walau 1 solat sekalipun. Puncanya, sentiasa hadir di dalam pemikirannya berulang kali “Aku tak nak solat.” Lalu ujian perit ini mengajar pergantungan kepada Tuhan. Bahkan untuk solat sekalipun, engkau memerlukan Tuhan, tidak boleh bergantung kepada diri sendiri. Merasai bahawa solat itu sendiri adalah anugerah agung dari Tuhan dan harus memohon bantuanNya setiap kali mahu mendirikannya.

***

Justeru, setiap ujian yang hadir, jika dengan ujian itu meluruskan aqidahmu, memurnikan imanmu, membersihkan jiwa daripada kesyirikan dan pergantungan kepada sesama manusia juga pergantungan kepada diri sendiri, bahkan itulah hadiah termahal buatmu dari Tuhan. Agar pulangnya kelak menemuiNya dengan jiwa yang tenang, penuh selamat daripada noda-noda kesyirikan.

Bila ujian itu mengajarmu untuk mengenal Tuhan. Bahawa engkau memerlukan Tuhan. Itulah hadiah termahal dariNya khusus untukmu.

2 thoughts on “Dibersihkan untuk melepaskan

  • July 26, 2017 at 9:56 pm
    Permalink

    Terima kasih untuk nota kecil ini Maryam. Semoga Allah terusan memberimu keberkatan

    Reply
  • August 7, 2017 at 9:01 am
    Permalink

    MasyaAllah….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.