Tergelincir
“Saya bergurau dengan dia je.”
Berita menyayat hati menukar gurauan kepada tragedi. Kanak-kanak 2 tahun yang ditinggalkan di tingkat 14 oleh temannya berusia 5 tahun itu, ditemui mati apabila jatuh dari apartment kediamannya setelah tergelincir dari tingkat atas.
Siapa yang harus dipersalahkan?
Lantai yang licin? Atau temannya yang juga masih kecil? Atau ibu bapa yang membiarkan si anak bermain di tempat yang tidak selamat?
Tergelincirnya si anak mengakibatkan kesan yang sangat merugikan.
Ini, berita tempoh hari di negara China.
Dan buat setiap muslim, bagaimana jika isu tergelincir ini berlaku berkali-kali?
Lalu, syaitan memperdayakan mereka sehingga mereka tergelincir dari sana (syurga). Dan Kami berfirman, “Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain. Dan bagi kamu ada tempat tinggal dan kesenangan di muka bumi sehingga waktu yang ditentukan.”
Al-Baqarah, 2 : 36
Tergelincirnya manusia pertama daripada syurga merupakan sejarah yang harus terus direnung dan dihayati. Impaknya besar. Puncanya adalah tipu daya syaitan yang mengaburi keinginan Nabi Adam dan Hawa untuk kekal di syurga, sehingga menampakkan pengingkaran kepada Tuhan sebagai jalan memperoleh cita-cita murni.
Dan liciknya musuh durjana ini akan terus dan terus menggelincirkan umat manusia daripada landasan kebenaran agar bersama dengannya menempati neraka.
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, dia adalah musuh yang nyata bagimu. Tetapi jika kamu tergelincir setelah bukti-bukti yang nyata sampai kepadamu, ketahuilah bahawa Allah ‘Azizun Hakiim (Maha Perkasa, Maha Bijaksana).
Al-Baqarah, 2 : 208-209
Pernahkah berlaku dalam hidupmu? Keterangan-keterangan dari Dia jelas di hadapan matamu. Nasihat demi nasihat semakin tepu di benakmu. Namun masih dan masih tergelincir daripada landasan lurus yang dilorongkan Tuhan untukmu, terikut-ikut arah yang dilorongkan musuhmu (syaitan).
Mengapa masih membiarkan diri tergelincir?
Atau apakah engkau tidak mengenali TuhanMu? Tidak mengenali Dia Al’Aziz, Yang Maha Mulia dan Maha Perkasa. Tidak cukup rasa tunduk di hadapan Al-‘Aziz? Tidak cukup rasa kebergantungan dan memerlukan Al-‘Aziz sehingga sewenang-wenangnya mengingkari apa yang dikehendakiNya?
Atau apakah masih tidak mengenali Dia Al-Hakiim? Sulit merasai bahawa setiap ancaman, perintah mahupun laranganNya adalah sebaik-baik pedoman kerana Dialah Yang Maha Bijaksana. Atau apakah masih meragui kebijaksanaan Tuhan? Masih mahu percaya kepada apa yang disukai dan menjadi norma masyarakat meskipun bertentangan dengan panduan penuh kasih dari Dia Al-Hakiim? Hey! Siapa yang lebih bijaksana? Manusia atau Tuhanmu? Syaitan atau Tuhanmu? Justeru mengapa masih ragu sehingga memilih untuk mengingkari?
Apakah dirimu masih belum mengenali Tuhan sehingga hilang rasa kesungguhan untuk berpegang pada KitabNya, membiarkan diri tergelincir berkali-kali?
Sudahlah syaitan punyai misi menjatuhkanmu. Usah menambah “minyak pelincir” sehingga memudahkan lagi usaha musuhmu dalam menggelincirkanmu.
Sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Ghafurun Haliim (Maha Pengampun lagi Maha Penyantun)
Ali-Imran, 3 : 155
Tergelincirnya daripada kebenaran, berpunca daripada dosa-dosa terdahulu yang pernah dilakukan.
Usah menuding jari lagi.
“Mak ayah saya tak ajar pun saya benda ni.”
“Dulu ustaz tak pernah tegur pun.”
Sedangkan yang paling utama adalah menginsafi diri, kembali kepadaNya, kerana sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyantun. Kerana membuat kesilapan itu lumrah. Kerana Nabi Adam juga pernah tergelincir.
Dan Dia memilih untuk kembali bertaubat, mengenali Tuhan Yang Maha Pengampun.
Sedangkan, ada manusia yang tidak mengenali Dia Al-Ghafur Al-Haliim, lalu di saat tergelincir membuat dosa, pemikiran dangkal itu terus mengelabui.
“Dah alang-alang buat jahat ni, jalan je lah terus. Esok baru taubat mula muka surat baru.”
“Aish. I hate myself. Kalah lagi dengan kehendak sendiri. Terus je lah, nanti taubat.”
Begitukah seharusnya seorang mukmin? Di saat tergelincir, terus membiarkan diri terperosok. Bukankah Dia Ghafurun Haliim?
Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa…
(iaitu) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingat Allah, lalu memohon keampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedangkan mereka mengetahui.
Ali-‘Imran, 3 : 133, 135
Justeru, andai dirimu rasa tergelincir berkali-kali,
Semak kembali sejauh mana usahamu mengenali Penciptamu. Sudahkah taaruf dengan Dia ‘Azizun Hakiim dan Ghafuurun Haliim?
Sedangkan seorang hamba yang mengenali Tuhannya, amat menyedari kebergantungannya kepada Al-‘Aziz, sangat mempercayai segala panduan yang dibentangkan Dia Al’Hakiim, penuh harap akan Dia Al-Ghafur serta tidak berputus asa daripada Dia Al-Haliim. Akankah seorang hamba yang benar-benar mengenali Tuhannya sanggup mengingkari dan membiarkan dirinya tergelincir berkali-kali?
Ya Robb, bantu aku mengenaliMu.
Aku mahu taaruf denganMu. Dan izinkan aku belajar mencintaiMu dan takut kepadaMu .
Mustahil anda mengenalNya tetapi tidak mencintaiNya, mendengar seruanNya tetapi tidak memenuhinya, mengetahui kebaikan berhubungan denganNya tetapi menyekutukanNya, mengetahui murkaNya tetapi menentangNya, merasakan pedihnya derita akibat maksiat kepadaNya tetapi tidak memohon ampun kepadaNya dan mentaatiNya, merasakan kesempitan hati ketika tidak menyebut namaNya, tetapi tidak merindukan kelapangan dada dengan bermunajat kepadaNya. Mustahil juga anda merasakan siksa saat hati bergantung kepada selainNya tetapi tidak segera berlari menuju nikmat kedekatan denganNya. Dan sungguh aneh jika mengetahui bahawa anda sangat memerlukanNya tetapi anda terus menjauh daripadaNya tanpa berusaha melakukan apa pun yang dapat mendekatkan diri kepadaNya.
Prof. Dr. Muhammad Ratib Al-Nabulsi, Mengenal Allah (2007).
Ya Allah…janganlah dekatkan kami dengan kegelinciran….
Aamiin…
Tq kak for sharing